Blok Pembangkang Senyap Berhubung Kes Mahkamah UMNO, Diam Tanda Setuju?

Blok Pembangkang Senyap Berhubung Kes Mahkamah UMNO, Diam Tanda Setuju?

Beberapa siri keputusan mahkamah berpihak kepada UMNO memberikan kemenangan moral kepada parti tersebut, lebih penting lagi blok pembangkang yang kini senyap dan diam ia bermakna tanda setuju dengan kemenangan kes mahkamah yang menyebelahi UMNO.

Sejak UMNO kembali menjadi dominan di Putrajaya selepas pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri (PM) baharu, terdapat beberapa kes berprofil tinggi melibatkan pemimpin kanan parti yang melibatkan kepentingan awam.

Paling mendapat perhatian pastinya kes perbicaraan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang ditangguhkan seperti disengajakan dan seakan-akan kini tidak ada lagi rasa hormat terhadap institusi kehakiman serta perundangan negara.

Zahid yang pada awalnya dikatakan sedang menerima rawatan sakit belakang tidak dapat hadir ke mahkamah tetapi sehari kemudiaan boleh pula mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO selama berjam-jam.

Terbaharu, semalam Zahid juga tidak hadir ke mahkamah di Shah Alam kerana masih sedang bercuti sakit.

Semalam juga, seorang lagi pemimpin UMNO yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas 29 pertuduhan rasuah, selepas pihak pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan itu.

Noor Ehsanuddin didakwa atas pertuduhan semasa memegang jawatan ahli Lembaga Pengarah FELDA.

Perbicaraan kes itu bermula pada Ogos 2019 dan seramai 24 saksi pendakwaan, antaranya pegawai bank dan pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia, telah memberi keterangan.

Selain itu, UMNO juga memfailkan notis untuk tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung samannya bagi menuntut semula wang berjumlah RM116.7 juta yang disita polis ketika serbuan di Pavilion Residences.

Menurutnya, kes saman membabitkan RM116.7 juta itu sudah selesai manakala isu sama membabitkan OBYU Holdings Sdn Bhd.

Dalam kes OBYU Holdings, wang berjumlah RM114 juta yang disita daripada Pavilion Residences telah dikembalikan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan UMNO susulan keputusan kerajaan untuk tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk melucut hak wang itu.

Hari ini pula, pasukan pendakwaan gagal dalam rayuan berhubung kes melucut hak wang jutaan ringgit milik UMNO dan Wanita MCA serta enam entiti lain selepas permohonan ditolak Mahkamah Rayuan hari ini.

Pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonannya untuk melucut hak wang RM192,965,413.61 milik UMNO; Wanita MCA (RM300,000), Perano iaitu sebuah syarikat menjual hijab dan Binsabi Sdn Bhd, yang membekalkan khemah, masing-masing membabitkan jumlah RM337,634.78 dan RM827,250; Habib Jewels Sdn Bhd (RM100,000); K&Z Enterprise Sdn Bhd (RM138,359.60); Badan Perhubungan UMNO Kedah (RM1.05 juta) dan Hattatex Trading (RM111,590).

Satu persatu kes mahkamah yang dikaitkan dengan UMNO dan pemimpin kanan parti berjaya diselesaikan.

Daripada satu sudut, ia merupakan kemenangan moral buat parti tersebut memandangkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sendiri pernah berkata kes mahkamah yang dihadapi pemimpin parti itu adalah zalim. perjanjian kepercayaan dan bekalan

“Kes-kes yang dibawa ke mahkamah ini ialah kezaliman zaman (bekas perdana menteri) Dr Mahathir Mohamad, (bekas peguam negara)Tommy Thomas dan (bekas ketua pesuruhjaya SPRM) Latheefa Koya.

“Mahathir dah tak ada dalam kerajaan, Tommy Thomas tak tahu ke mana, Latheefa Koya pun tak tahu pergi mana. Tetapi kenapa kes yang mereka bawa ini diteruskan?” katanya dipetik semasa satu dialog pada Januari tahun ini.

Bagi Ahmad, semua pendakwaan yang dihadapi pemimpin UMNO adalah satu kezaliman dan didakwa bermotif politik, ia terbukti hari ini apabila satu persatu kes-kes melibatkan pemimpin UMNO dan parti itu yang tidak dijatuhi hukuman dan ada juga yang terlepas daripada diteruskan pendakwaan mereka.

Persepsi orang ramai akan menjejaskan kredibiliti dan integriti kerajaan yang sedang dipimpin Ismail Sabri, tidak sampai sebulan UMNO kembali ke tampuk kuasa pelbagai kontroversi melibatkan keputusan mahkamah yang boleh dipertikaikan.

Bagaimanapun, lebih menarik lagi blok pembangkang membisu dalam kes mahkamah yang memihak kepada UMNO dan pemimpinnya, malah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum lantang bercakap soal integriti dan ketelusan juga tidak berkata apa-apa. Adakah diam itu tanda setuju?

Anwar yang dianggap sebagai cikgu kepada Zahid, tidak ada sebarang kenyataan dikeluarkan berhubung kes melibatkan anak muridnya tersebut, mungkin bersimpati dengan sakit yang dialami oleh Presiden UMNO itu.

Dalam keadaan Anwar gagal menjadi Perdana Menteri selepas ditipu Zahid, nampaknya Presiden PKR itu masih sayang dan mempertahankan anak muridnya itu walaupun orang ramai mengkritiknya kerana tidak hadir semasa perbicaraan kesnya.

Lebih membingungkan, pemimpin DAP turut sama diam dan tidak lagi membicarakan salahlaku dan salahguna kuasa pemimpin UMNO, ia juga seakan diam tanda bersolidariti dengan rakan sejawat baharu mereka.

Tindak-tanduk pemimpin pembangkang itu mungkin juga satu solidariti ke arah Perjanjian Kepercayaan dan Bekalan (CSA) yang bakal dimerterai dengan kerajaan.

Sebagai tanda persetujuan, gencatan politik yang dimaksudkan tersebut mungkin ia termasuk dengan tidak lagi membicarakan kes mahkamah dihadapi UMNO dan pemimpinnya.

Pembangkang kini nampaknya sudah sealiran dengan UMNO yang kembali menjadi dominan dan sedia memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kerajaan yang dipimpin oleh Ismail Sabri demi permuafakatan yang lebih kukuh.

Isu Semasa