Maaf Cakap

Maaf Cakap

Saya membaca berita berkenaan seorang wanita yang mencuri wang tabung masjid di Perlis.

Bukan sahaja wang sebanyak RM40, malah, dengan tabung-tabung sekali dia larikan.

Fakta kes yang dinyatakan ialah dia seorang isteri yang sedang menghadapi masalah rumahtangga dan dalam proses perceraian.

Dia juga positif dadah, selepas dilakukan ujian air kencing, sejurus dia ditangkap.

Info lain ialah, pegawai masjid berkenaan mendakwa wanita itu telah datang dua jam sebelum kejadian bagi meminta bantuan makanan.

Wanita itu ditawarkan lima barangan, tetapi beliau hanya mengambil satu jenis barangan sahaja, iaitu Milo, menunjukkan dia tiada masalah kewangan yang kritikal.

Ketika jemaah sedang solat isyak, dia datang kembali dan melarikan tabung masjid.

Beliau ditangkap dan didakwa atas kesalahan itu.

Beliau mengatakan beliau menggunakannya membeli makanan, minyak, kredit telefon dengan wang itu.

Maka, bermula lah episod kisah sedih, kutuk mengutuk, hina menghina kepada kedua-dua belah pihak oleh siapa lagi kalau bukan netizen kita yang arif lagi bijaksana.

Terlebih pula kutukan dan hinaan mereka kepada pegawai masjid apabila dia tidak mahu menarik balik laporan polis itu.

Ada ahli politik yang telah membayar wang jaminan wanita itu dan beliau bebas sementara menunggu perbicaraan.

Ada juga yang meminta pihak masjid menarik semula laporan dan akan menggantikan wang yang diambil sebanyak RM40 itu dengan sepuluh kali ganda.

Ada juga bandingan yang fungsi masjid tidak menepati kehendak agama.

Ada yang hairan kenapa perbicaraan ini sangat cepat dilakukan berbanding dengan kes rasuah orang-orang besar.

Kenapa payah mahu mendapatkan bantuan dari masjid.

Kenapa pegawai masjid itu kedekut bagaikan wang derma masjid itu seperti wang dia.

Saya hanya ingin berkongsi sedikit maklumat jika ia sesuai.

Jika tidak, boleh abaikan.

Wang masjid memang benar, ia hak orang ramai, bukan hak pegawai masjid yang menguruskannya.

Oleh kerana ia wang orang lah, maka pegawai masjid tidak boleh memberikannya sewenang-wenangnnya kepada sesiapa, walaupun ada budi bicara.

Ada dosa dan pahala menjaga wang orang ramai.

Kalau wang itu hak dia, sudah tentu lebih mudah, dia boleh bagikan kepada sesiapa yang dia mahu.

Lagipun wanita itu adalah penagih dadah.

Saya tiada niat menghina perbuatannya, tetapi adakah orang bersetuju yang penagih boleh diberikan wang untuk kegiatannya?

Apa jaminan yang dia tidak membeli dadah jika diberikan wang.

Jika anda rasa setuju, sila lah berikan mereka wang bantuan. Itu duit anda.

Kes mahkamah orang besar kenapa lambat.

Saya rasa ramai yang salah faham.

Kes berprofail tinggi adalah kes yang memerlukan penyiasatan dan pengumpulan bukti yang rapi dan teratur.

Semua kerja-kerja ini bukan hari ini buat, esok tangkap, lusa dakwa, tulat jatuh hukuman.

Yang kita tidak tahu ialah semua siasatan itu telah bertahun-tahun dilakukan sebelum ditangkap untuk didakwa.

Perompak atasan ini juga, bukan mencuri ‘straight forward’ seperti wanita itu, masuk masjid, ambil duit, lari, kemudian tak sedar ada CCTV.

Mereka lakukan berlapis-lapis dengan tangan mereka sentiasa bersih, ada orang lain yang menjadi balaci mereka.

Bermain juga dengan kuasa, maka kes mereka akan lambat dibicarakan.

Itu belum dikira yang kumpulan peguam mereka sentiasa mencari alasan bagi menyelamatkan pelanggan mereka dengan berbagai taktik dan tipu daya.

Melambat-lambatkan kes, tak sakit, kata sakit dan macam-macam lagi.

Apa lagi kalau ada kuasa, makin lah payah untuk didakwa.

Ia berlaku kepada semua.

Berapa lama kes pimpinan Umno diambil untuk dibicarakan dan dihukum?

Berapa lama pula bagi kes bos PKR, Anwar yang telah berjalan sebelum diputuskan beliau bersalah.

Masuk ke Mahkamah Rayuan, Persekutuan.

Walau sudah bersalah, masih dia tidak mengaku.

Bila diampunkan, tidak mahu pula dibicarakan kembali.

Kes pemimpin MCA, Tan Koon Swan, Ling Liong Sik. MIC dengan isu Maika Holdings nya.

Skandal BMF juga sehingga kini orang masih tertanya-tanya.

Kes ‘Terowong’ Lim Guan Eng masih belum dibicarakan.

Semua ini adalah kerana mereka orang besar dan kes ini adalah rumit.

Mereka semua ini dari berbagai latar belakang parti.

Semua hal ini mungkin pandangan yang tidak diambil kira dalam membandingkan keadaan kes-kes jenayah.

Ya, tidak dinafikan akan ada ketidakadilan dalam proses keadilan kerana asas kepada perundangan itu sendiri bukan dari Islam mahukan dan juga pengendali undang-undang ialah manusia.

Tetapi jika dineutralisasikan asal mencuri duit masjid, maafkan mereka, asal ada kecurian di masjid, kerana pegawai masjid yang gagal menjalankan amanah membantu, sewajibnya dihentikan.

Maaf cakap, nanti sedap lah pencuri, asal mencuri duit masjid, menangis, sedih, tularkan.

Tunggu satu dua jam, akan ada lah pendokong ‘keadilan’ yang akan ‘back up’ dia.

Yang salah, ialah orang yang halang pencuri.

Yang sentiasa betul, si pencuri.

Silap-silap dapat banyak lagi duit ‘kesian’ netizen yang maki tidak pernah lekang dari hujung jari mereka, sambil mendakwa mereka lah pengikut Rasulullah yang tulen.

Anda boleh bantu wanita itu dengan menghalang kezaliman yang dia lakukan ke atas dirinya sendiri.

Bantu lah dengan segala kepakaran yang ada.

Atau jika tiada apa-apa mahu dibantu, baik duduk diam sahaja.

Itu juga sudah besar bantuannya kerana tidak mengeruhkan suasana.

Tapi bukan dengan mengutuk pegawai masjid yang menjalankan amanahnya.

Sebelum saya tamatkan tulisan ini, saya nak maklumkan, hanya satu sahaja orang besar yang didakwa lebih awal dari rakyat biasa.

Mereka ialah ‘orang besar’ dari PAS.

Belum buat lagi, bukan barang mewah mereka, bukan apa-apa lagi, bukan curi balak, tidak seleweng kuasa, PAS sudah kena tuduh, dibicarakan dan dihukum oleh pembenci agama.

Makian dan cacian, usah cakap lah.

Tapi akhirnya, tiada kes pun.

Betul tak?

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis