Cerita Lama Lapangan Terbang

Cerita Lama Lapangan Terbang

Apa signifikan tentang keputusan Kerajaan Pusat mahu menjadikan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Pengkalan Chepa sebagai lapangan terbang bertaraf antarabangsa?

Pandangan saya, ia adalah patut kerana jumlah penerbangan domestik yang dikendalikan oleh MAB di sana, adalah ketiga terbesar di Malaysia.

Apa kesannya kepada Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Seberang Takir yang telah dinaik tarafkan sebagai lapangan terbang antarabangsa semenjak tahun 2010?

Saya berpandangan tiada kesan ketara kerana LTSM, walaupun telah dinaikkan taraf, tidak mampu memberikan pulangan sebagaimana yang diharapkan.

Yang masih kekal mungkin penerbangan antarabangsa ke Mekah. Itu pun setahun sekali.

Manakala yang lain-lain, tidak beroperasi lagi, atau jika ada, hanyalah diibaratkan hidup segan, mati tak mahu.

Sudah berapa banyak penerbangan dari LTSM yang sedia ada disediakan kerajaan terdahulu, telah ditamatkan perkhidmatannya atas alasan tidak laluan yang tidak lagi menguntungkan.

Contohnya ke Johor Bahru, Tawau dan beberapa destinasi lagi.

Maaf jika saya salah, setahu saya, tidak ada penerbangan terus ke Sarawak dari LTSM.

Mesti pergi ke KLIA dahulu walaupun jarak Terengganu ke Sarawak lebih dekat jika dibuat penerbangan terus ke sana.

Tujuan utama menaik taraf LTSM dahulu antaranya ialah kerana ingin menjadikan Terengganu sebagai pintu masuk antarabangsa untuk Pantai Timur.

Dengan lokasinya di tengah-tengah antara tiga negeri itu, ia dianggap sesuai bagi tujuan itu.

Dan Kerajaan Terengganu di bawah pimpinan Dato’ Seri Ahmad Said ketika itu juga merancang mahu membina Pulau Bebas Cukai di Kenyir, konon bagi menambahkan lagi kerancakan ekonomi di Terengganu.

Dan malangnya seperti diketahui dunia, ia projek gagal dan memalukan bagi manusia yang mempunyai maruah.

Dalam masa yang sama, Kerajaan Terengganu ketika itu, sudah menyedari tentang pembinaan LPT2 semenjak tahun 2005 itu.

Tidak pasti bagaimana kajian dilakukan, tetapi penyediaan kedua-dua fasiliti yang menggunakan wang rakyat (dipinjam dahulu wang royalti oleh Kerajaan Pusat untuk LPT2) yang sangat besar.

Dengan adanya LPT2 yang hanya memerlukan mungkin hanya empat jam perjalanan (450km dengan kelajuan maksima 110km/j) dan juga mungkin kos perjalanan lebih murah dari tambang kapal terbang, ia menjadi pilihan ramai.

Untuk rekod, jumlah pengguna harian LPT2 sebelum pandemik ialah sebanyak 13 ribu kenderaan.

Berbeza dengan Kelantan, selain daripada diskriminasi pembangunan dahulu serta jarak yang lebih jauh dari Kuala Lumpur, rakyat Kelantan juga tidak lokek berbelanja kerana ramai antara rakyat mereka adalah ahli perniagaan yang berjaya.

Bukan ego, tetapi mereka berduit, mampu dan ada urusan penting perniagaan, maka penerbangan adalah pilihan utama mereka.

Manakala orang Pahang pula, tidak mempunyai masalah langsung melalui darat, untuk ke Kuala Lumpur kerana jarak mereka lebih dekat.

Jadi amat lah baik jika LTSIP dinaikkan taraf menjadi lapangan terbang antarabangsa menjadi pintu masuk ke Pantai Timur.

Orang Besut dan sebahagian orang Setiu, akan pasti ke LTSIP.

Orang Kemaman, pastinya memilih Kuantan atau terus ke Kuala Lumpur.

Jadi berapa orang lagi yang tinggal untuk menggunakan perjalanan melalui udara ini?

Maaf juga, ditambah baki orang Terengganu yang tinggal, dari Dungun ke Setiu, kurang suka menggunakan penerbangan kerana kurang suka berbelanja lebih.

Orang Terengganu akan tahu sikap berbelanja orang Terengganu.

Dan atas semua alasan itu, mungkin kita boleh faham, kenapa dahulu ada pihak beriya-iya mahu menaik tarafkan LTSM dan juga kenapa Projek Pulau Bebas Cukai Kenyir diberikan perhatian walaupun tidak dapat dilihat di mana keutamaannya.

Malahan LPT2 itu juga gagal menepati masa untuk disiapkan selain itu kosnya naik, bertambah hampir RM1 bilion.

Semua kos ini, ada direkod dalam perbahasan di Sidang Dun Terengganu dahulu.

Dan sekarang, mereka datang lagi, dengan soalan mahu kekalkan lagi pemerintahan PAS di Terengganu kah?

Setelah jelas semua najis dan tahi mereka rakyat Terengganu terpaksa hidu busuknya.

Semua kegagalan mereka, terpaksa PAS Terengganu baiki.

Hutang dengan Pusat hampir RM1 bilion, ditambah lagi dengan ‘differred payment’ projek bagi Bandar Baru Kuala Nerus, Loji Air Bukit Sah, Kemaman, PAS kena bayar dengan duit rakyat.

Kemudian mereka dengan muka bodoh bertanya, mana pembangunan?

Kerajaan Negeri sekarang melalui YAB MB dan Exco Pelancongan telah berusaha mengadakan kerjasama dengan Air Asia untuk penerbangan ke China dan juga dengan Malindo bagi menyediakan beberapa destinasi terus dari LTSM ke beberapa bandar utama di Malaysia, selain Kuala Lumpur.

Mungkin ada yang akan bertanya habis kenapa guna juga LTSM yang sudah diperbesarkan yang dikata membazir itu?

Kenapa masih mengagung-agungkan ‘Drawbridge’ hasil kerja tangan Umno itu?

Jawapannya mudah.

Duit yang Umno Terengganu guna itu, bukan duit dari poket dia, tetapi duit rakyat.

Dan apabila semua sudah siap atau hampir siap, hanya orang gila sahaja yang akan musnahkan binaan yang berharga jutaan ringgit menggunakan duit rakyat itu.

Sudah semestinya Kerajaan Negeri mesti memikirkan bagaimana mahu memanafaatkan duit rakyat yang telah diguna itu.

Lain lah kalau yang rosak, payah nak baiki macam bas dua alam tu….kan?

Itu pun Kerajaan Terengganu masih cuba baiki.

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis