Malaysia Rekodkan Pelaburan Asing RM7.7 Bilion Bulan Lalu

Malaysia Rekodkan Pelaburan Asing RM7.7 Bilion Bulan Lalu

Pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) kini mula menampakkan hasil positif apabila Malaysia merekodkan pelaburan asing bernilai RM7.7 bilion pada bulan lalu

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pelaburan baharu berkenaan dapat mengimbangi aliran keluar modal asing bagi dua bulan sebelum ini.

Beliau berkata, Ogos juga adalah bulan pertama mencatat pembelian bersih pelabur asing di pasaran ekuiti negara.

“Perkembangan positif itu hasil daripada situasi lebih baik sistem kesihatan awam dan pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Kami menjangkakan pemulihan lebih kukuh bagi suku keempat 2021,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, biarpun tinjauan ekonomi Malaysia terus berhadapan dengan cabaran, kemajuan positif vaksinasi dan pengawalan kes Covid-19 dijangka mendorong kepada pertumbuhan itu.

Tengku Zafrul berkata, prospek pertumbuhan yang lebih baik itu mengembalikan keyakinan pelabur terhadap pasaran modal Malaysia.

“Dari segi pasaran bon ringgit pula, aliran masuk pelabur asing pada bulan lalu tertumpu kepada terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) bernilai RM3.1 bilion.

“Prospek bagi suku ketiga 2021 dijangka terus mencabar ekoran Fasa 1 yang berpanjangan bagi beberapa negeri seperti Selangor yang merupakan penyumbang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

“Bagi suku keempat pula, prospek dijangka lebih cerah kerana kadar vaksinasi terus dipertingkatkan membolehkan pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi,” katanya.

Beliau berkata pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Bajet 2022 kelak memberikan gambaran lebih jelas mengenai hala tuju dasar kerajaan.

Ekonomi