Pengajaran Pertama Untuk Ismail Sabri

Pengajaran Pertama Untuk Ismail Sabri

Setakat ini Ismail Sabri Yaakob seperti diberi peluang oleh rakyat untuk bebas mencorakkan kepimpinan beliau.

Belum kelihatan lagi kritikan yang tajam terhadap apa yang beliau lakukan.

Ismail bernasib baik kerana mewarisi Pelan Pemulihan Negara yang holistik.

Pelan tersebut dirancang oleh Muhyiddin Yassin dan sebelum ini Ismail sendiri merupakan salah seorang pelaksananya.

Kita semua masih ingat bagaimana Ismail berdiri di hadapan kamera televisyen setiap hari membuat pengumuman berkaitan perubahan SOP dan penguatkuasaan SOP.

Walaupun Ismail yang membuat pengumuman, dia terselamat dari kecaman kerana para pengkritik memusatkan tumpuan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Hasil tangan Muhyiddin itulah yang diteruskan oleh kerajaan Ismail hari ini.

Para pengkritik Muhyiddin seperti Najib Razak, Zahid Hamidi, dan Ashraf Wajdi Dusuki sekarang sudah diam.

Ini menunjukkan bahawa tiga serangkai ini tidak pernah ikhlas mahu membawa pembaikan terhadap usaha kerajaan dan bukan juga mahu menjaga rakyat.

Tetapi mereka mengkritik kerana mahu menyerang peribadi Muhyiddin sahaja.

Sebab itulah walaupun hasil tangan Muhyiddin terus dilaksanakan oleh Ismail, tiga serangkai ini jadi bisu dan tuli tiba-tiba.

Bagaimanapun Ismail melakukan satu kesilapan besar apabila mengikut kehendak kluster mahkamah pimpinan Najib dan Zahid dalam mencalonkan Ahmad Maslan sebagai Timbalan Speaker.

Harga yang dibayar untuk menebus kesilapan Ismail ini juga amat mahal.

Ismail seolah-olah terlupa bahawa beliau menjadi Perdana Menteri bukan atas pencalonan UMNO.

Pencalonan Ismail sebagai Perdana Menteri bukan dimulakan oleh UMNO.

Sebaliknya yang mencalonkan Ismail adalah blok terbesar dalam kerajaan, iaitu Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Muhyiddin.

Ismail sebenarnya adalah calon Perdana Menteri daripada PN, bukan daripada BN.

UMNO hanyalah menyokong selepas pencalonan itu dibuat oleh PN.

Bagaimanapun, dalam menamakan Ahmad Maslan sebagai calon Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ismail terlupa bahawa dia sepatutnya merujuk dahulu kepada blok terbesar dalam kerajaan iaitu PN.

Akibatnya, cadangan Ismail itu tidak mendapat sokongan bulat daripada PN.

Benar, memang ada beberapa orang ahli parlimen PN yang menyatakan mereka akan menyokong cadangan Ismail.

Tetapi itu hanyalah pandangan peribadi mereka atas dasar menghormati Perdana Menteri, sebelum parti masing-masing membuat keputusan.

Apabila parti masing-masing dalam PN membuat keputusan, apa yang berlaku ialah Ismail terpaksa menarik balik pencalonan Ahmad Maslan.

Jelas sekali pencalonan itu tidak mendapat sokongan yang bulat daripada kerajaan sendiri.

Sepatutnya Ismail tahu dari awal lagi bahawa PN, terutamanya Bersatu dan Muhyiddin, tidak akan bersetuju dengan Ahmad Maslan.

Malahan Bersatu dan Muhyiddin kemungkinan besar akan menolak sebarang usaha menaikkan kluster mahkamah dan kluster 15 orang ahli parlimen UMNO yang dianggap pembelot kepada agenda penyatuan bangsa yang diperjuangkan oleh Bersatu.

Sebagai orang UMNO yang menjadi Perdana Menteri atas ihsan pencalonan daripada Presiden Bersatu, Ismail tidak boleh terlupa untuk memeriksa dahulu sikap Bersatu apabila membuat apa-apa tindakan yang besar.

Kini, akibat daripada kesilapan Ismail, kelihatan seolah-olah harga yang terpaksa dibayar oleh kerajaan ialah mewujudkan kuota untuk seorang lagi Timbalan Speaker daripada pembangkang.

Ini harga yang amat mahal yang boleh merencatkan kelicinan perjalan Dewan Rakyat, serta menambah kos kewangan kepada negara.

Harga ini terpaksa dibayar kerana menarik balik usul pencalonan itu bukan perkara yang “straightforward”.

Ada peraturan mesyuarat yang perlu dipatuhi dan jika tersalah aturan, kemungkinan wakil DAP akan terpilih setelah nama Ahmad Maslan ditarik balik.

Ini kerana PH boleh sahaja meneruskan pencalonan Nga Kor Meng, dan tanpa Ahmad Maslan maka Nga akan menang tanpa bertanding.

Maka untuk memujuk PH menarik balik pencalonan Nga, mungkinkah ada kompromi yang terpaksa diterima oleh kerajaan akibat daripada kesilapan ini?

Dan adakah kompromi itu ialah persetujuan untuk mewujudkan jawatan Timbalan Speaker 3 daripada pembangkang?

Kita semua tahu Pakatan Harapan ini adalah golongan oportunis.

Apabila mereka diminta berbuat sesuatu, sudah pastilah mereka ambil peluang menuntut sesuatu.

Dan kini mereka telah berjaya menuntut kuota untuk Timbalan Speaker.

Kegelojohan Ismail mencalonkan Ahmad Maslan tanpa merujuk kepada Bersatu dan PN menyebabkan Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng mendapat habuan baru.

Kesilapan Ismail menyebabkan DAP akan menjadi Timbalan Speaker.

Ini harga yang amat mahal disebabkan oleh kesilapan Ismail.

Seharusnya Ismail menanamkan sedalam-dalamnya dalam fikiran beliau bahawa BN adalah parti minoriti dalam kerajaan hari ini.

Perikatan Nasional dengan sokongan GPS adalah blok yang hampir dua kali ganda lebih besar daripada UMNO.

Dalam keadaan UMNO adalah parti minoriti, Ismail jangan ulangi kesilapan amatur sebegitu lagi.

Kelak nanti mahal harga yang terpaksa dibayar, bukan oleh Ismail sendiri, tetapi oleh seluruh kerajaan.

ADAM AIMAN ABDULLAH merupakan seorang penganalisis politik yang pernah berkhidmat di beberapa institusi kajian di dalam dan luar negara.

Kolumnis