Terengganu Dijangka Masuk Fasa 4 PPN Penghujung Oktober

Terengganu Dijangka Masuk Fasa 4 PPN Penghujung Oktober

Kerajaan Terengganu menaruh keyakinan tinggi bahawa negeri ini bakal beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) selewat-lewatnya pada penghujung Oktober depan.

Menurut Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, keyakinan itu berdasarkan pencapaian terkini tiga ambang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu kadar vaksinasi penduduk, penggunaan katil pesakit Covid-19 terutama di unit rawatan rapi (ICU) dan kadar jangkitan Covid-19 bagi setiap 100,000 penduduk di negeri ini semakin menggalakkan.

Menurutnya, setakat ini masih belum ada ketetapan mengenai perkara itu, namun beliau percaya berdasarkan data sedia ada Terengganu mampu beralih ke Fasa Empat PPN dalam masa terdekat.

“Kita akan perhalusi perkara ini menerusi mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang akan diadakan pada Rabu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat program vaksinasi pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Berangan, Marang, hari ini.

Pada program itu, seramai 1,470 pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga melibatkan empat sekolah iaitu SMK Pengkalan Berangan, SMK Durian Guling, SMK Wakaf Tapai dan SMA Imtiaz Marang menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19.

Menurut Ahmad Samsuri, sehingga ini sebanyak 82.7 peratus populasi dewasa di Terengganu sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin, manakala 91.2 peratus lagi telah mendapatkan suntikan dos pertama.

Katanya, bagi kadar penggunaan katil pesakit Covid-19 membabitkan hospital di seluruh negeri ini pula, ia sudah mencapai sebanyak 65.6 peratus.

Selain itu, Ahmad Samsuri turut meminta supaya semua jentera kerajaan dan rakyat di negeri ini agar bersedia untuk berhadapan dengan era endemik Covid-19.

“Kita perlu bersedia kerana apabila tiba masanya nanti, kita akan beralih dari pandemik ke endemik dan kita perlu bersedia untuk belajar hidup dengan Covid-19.

“Itulah betapa pentingnya proses vaksinasi ini supaya kita boleh meneruskan kehidupan seperti biasa,” jelas beliau.

Terengganu