Alhamdulillah, segala puji dan syukur kepada Allah apabila menerima berita berkenaan beberapa projek perumahan yang terbengkalai melibatkan ramai rakyat Terengganu dengan syarikat swasta, berjaya diselesaikan.
Sungguh bertuah pemilik rumah-rumah ini kerana setelah bertahun-tahun kecewa dengan kegagalan mereka menduduki, akhirnya, saat gembira ini tiba akhirnya.
Dan lebih manis, Kerajaan Terengganu di bawah penguasaan PAS yang membantu merealisasikannya, tanpa bertanya dari parti mana kah semua pemilik rumah itu.
Sekadar menoleh sedikit ke belakang, PAS Terengganu telah berjaya dengan hampir kesemua janji 20 manifesto yang dibuat sebelum PRU dahulu, sudah ditunaikan.
Tetapi janji membantu rakyat dalam isu perumahan terbengkalai ini, tiada di dalamnya.
Antara projek perumahan rakyat yang gagal disiapkan oleh pihak swasta dan mendapat perhatian kerajaan ialah seperti Padang Setengge, Kuala Berang, Taman Seri Bucu, Batu Rakit, Gong Chempedak Marang.
Ia adalah satu tanggungjawab sosial sebagai pemerintah yang bertanggungjawab dan memahami denyut perit rakyat, maka ia diusahakan juga.
Sewaktu wang royalti dipanggil Dana Khas Persekutuan, ia digunakan bergilir-gilir dengan rakusnya oleh pihak lain yang bukan pemilik mutlaknya.
Antara yang masih diingat ialah berbilion RM dipinjam untuk projek LPT2, ratusan juta RM itu juga telah dipinjam oleh Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) bagi beberapa projek perumahan di seluruh negara.
Dan sungguh malang, bagi projek perumahan rakyat Terengganu sendiri yang terbengkalai, pemerintah ketika itu, langsung tidak membantu mereka, tiada peruntukan dari Dana Khas untuk rakyat sendiri. Kasihan.
Tidak juga termasuk dalam manifesto, ialah mahu membaiki atau meneruskan semua projek-projek yang gagal kerajaan terdahulu seperti Kenyir, bas dua alam, Taman Ilmu dan banyak lagi.
Tetapi, kerajaan yang waras, tidak akan membiarkan wang rakyat dibuang begitu sahaja.
Membazir amalan syaitan. Jika kita membiarkannya konon untuk balas dendam, nanti sama sahaja perangai kita dengan pembaziran mereka.
Justeru, segala projek gagal itu, menjadi tanggungan Kerajaan Terengganu sekarang bagi disiapkan.
BPMS, tiada politik dendam yang dijanjikan oleh PAS.
Kemudian selepas disiapkan, ada pula suara yang melaung-laungkan, projek itu mereka punya.
Mengaku masa hampir siap, tetapi tidak mahu mengaku semasa projek hendak mati.
Duit yang digunakan dahulu bagaikan duit pusaka orang tua mereka, sedangkan itu adalah duit rakyat.
Dia tanya pula kita, dahulu dimarah projek itu, kenapa sekarang bangga?
Kita jawab, marah dahulu sebab projek tidak menjadi, habiskan duit rakyat dan kita rasa bangga selepas projek disiapkan dengan wang rakyat dan usaha kita itu.
PAS dihina dengan begitu teruk, dituduh tidak memberikan pembangunan sewaktu pemerintahan mereka ketika ini di Terengganu.
Sedang dalam masa yang sama, semua rakyat sedar yang selain projek gagal, tahi hutang orang, kita terpaksa mencucinya.
PAS bukan pendendam sebagaimana kerajaan dahulu, apabila berusaha menghapuskan jasa-jasa PAS supaya tidak di kenang orang.
Ada yang kemudiannya dijual setelah PAS kalah.
Itu politik cara Enam Jahanam.
Sama dengan isu tanah, PAS tidak merampas pun tanah yang telah dikurniakan oleh Kerajaan terdahulu kepada orang-orang mereka.
Ada juga serangan dari segelintir rakyat yang membenci PAS mengenai Dana Raya, kononnya tidak prihatin terhadap orang susah.
Yang tidak mereka sebut ialah bantuan yang lebih baik, bersasar yang dirancang oleh Kerajaan Negeri seperti lesen motor, pengecualian bayaran wad kelas tiga, bantu petani-petani melalui rancangan pertanian jangka panjang dan pendek.
Alhamdulillah, dengan adanya wang royalti, Kerajaan Terengganu berjaya melaksanakan kebaikan yang sangat banyak kepada rakyat.
Ini lah pentingnya apabila wang diberikan kepada pihak yang betul bagi diuruskan dan PAS akan bantu semaksimanya.
Jelas menunjukkan bahawa PAS tidak menghiraukan kecaman-kecaman dari golongan yang tidak pernah senang dengan PAS.
Kebaikan rakyat jadi keutamaan.
PAS sebaliknya telah membalas segala kebencian itu yang diibaratkan sebagai lontaran batu-batu kepada PAS dengan buah-buah yang enak, ranum siap dimakan oleh semua.
Terkadang lontaran itu datangnya dari orang PAS sendiri.
Begitu lah PAS menjadi pokok yang rendang, berbuah enak yang lebat, tempat berteduh sesiapa sahaja yang ada di bawah naungannya.
Tidak memilih sesiapa.
Yang PAS tahu, amanah wajib ditunaikan, bukan kerana mahu menggembirakan manusia sahaja, tetapi lebih utama, sebagai jawapan kepada Allah di akhirat nanti.
Mohd Nasir Abdullah



