Satu persatu aset negara dirosakkan bekas Perdana Menteri (PM) yang sedang berdepan puluhan kes di mahkamah ketika ini, tidak cukup dengan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditinggalkan kini terbaharu kompleks Seri Perdana pun dihancurkan.
Kompleks Seri Perdana kebiasaannya digunakan dalam acara rasmi menyambut tetamu kehormat, sama ada duta atau ketua-ketua negara luar selalunya akan diraikan disini, bagaimanapun semasa era PM terdahulu ia digunakan seolah-olah kediaman milik sendiri.
Selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu PM Ke-7 juga tidak sanggup untuk duduk di Seri Perdana dan ia terbiar kosong begitu sahaja.
Kenapa Dr Mahathir tidak mahu langsung untuk kembali menetap ke rumah agam yang beliau bina sendiri? Elok juga Dr Mahathir menjawabnya, adakah beliau bimbang atau ngeri melihat keadaan kompleks tersebut walhal penghuni pertama disitu adalah bekas PM sebanyak dua kali itu sendiri sebelum ini.
Malah, acara-acara rasmi kerajaan yang kebiasaannya berlangsung di Seri Perdana juga dipindahkan ke lokasi lain kerana tidak sanggup melihat keadaan usang dan terbiar yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.
Kompleks ini dibina pada 1997 dan siap pada 1999, di atas tapak seluas 42.5 ekar mengikut kontur anak bukit dengan mengekalkan struktur geografi alam semula jadi selaras dengan konsep perancangan Putrajaya sebagai sebuah Bandaraya Taman.
Kos pembinaannya juga mencecah puluhan juta ketika itu, malah kompleks sebesar itu juga pastinya memerlukan penyelenggaraan dan penjagaan yang menelan belanja tinggi. Jurutera pembinaan pasti tahu kos dan belanja yang diperlukan untuk memastikan bangunan sebesar itu dapat bertahan lama.
Bagaimanapun selepas PH menang di Putrajaya, mereka tidak pernah mengambil tahu atau sekurang-kurangnya cuba meneliti aset milik kerajaan yang sangat bernilai tersebut.
Mungkin kerana waktu itu kerajaan PH terlalu sibuk mengendalikan hutang-hutang 1MDB yang ditinggalkan oleh bekas PM waktu itu.
Tidak ada siapa yang tahu kos pembinaan Seri Perdana ini yang diilhamkan oleh Dr Mahathir itu, namun kos untuk menyelenggara kompleks sebesar itu pasti juga akan menelan belanja yang tinggi.
Kos pembinaan Seri Perdana ini pernah dibangkitkan seorang pemimpin DAP, tetapi sehingga hari ini tidak diketahui umum kos sebenar pembinaannya.
Namun, tiba-tiba kebelakangan ini kontroversi berhubung Seri Perdana ini dibangkitkan susulan kos penyelenggaraan dan baik pulih yang kononnya agak tinggi, tetapi tidak dipersoalkan pula mengapa kompleks tersebut perlu dibina pada awalnya.
Jika tidak mahu kos baik pulih atau selenggara yang tinggi, mengapa pada awal-awal perlu dibina kompleks sebesar itu? Mungkin Dr Mahathir sahaja lebih mengetahui berhubung kompleks ikonik yang dianggap sebagai legasi pentadbirannya selama 22 tahun.

Bayangkan pula sekiranya Seri Perdana ditinggalkan dan dibiarkan begitu sahaja, pasti keadaan akan bertambah teruk dan akan menjadi usang. Adakah kita mahu lihat satu lagi bangunan berhantu yang terbengkalai milik kerajaan begitu sahaja?
Untuk rekod, Seri Perdana bukan dibina oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, malah PM Kelapan tersebut tidak pernah menetap atau mengadakan sebarang acara rasmi disitu sepanjang menjadi pemimpin nombor satu negara.
Cadangan untuk membalik pulih juga datang daripada agensi bertanggungjawab yang mengendalikan aset kerajaan itu, pastinya aset kerajaan perlu dijaga dengan baik selepas hampir beberapa tahun ditinggalkan begitu sahaja.
Daripada dibiarkan tanpa langkah segera membaik pulih diambil terhadap kompleks tersebut, tidak mustahil kosnya akan meningkat lebih tinggi. Namun, perkara itu tidak diambilkira oleh para pengkritik yang tahu menunding jari kononnya membazir, jika ia membazir mengapa ia dibina oleh Dr Mahathir sebelum ini.

Bagaimanapun, beberapa keping gambar yang tular dalam media sosial menunjukkan keadaan sebenar Seri Perdana yang usang dengan pelbagai kerosakan yang major pada struktur kompleks tersebut.
Untuk membaiki keseluruhan kawasan kompleks sama ada dalaman atau luaran itu bukan sesuatu yang mudah dan menelan belanja dengan kos tinggi, cuma yang menjadi persoalan bagaimana dua orang terdahulu yang menghuni kompleks tersebut boleh mengakibatkan kerosakan yang teruk sebegitu.
Tidak cukup dengan itu, perabot yang terdapat dalam Seri Perdana difahamkan juga diarahkan pindah oleh PM terdahulu. Susulan itu, perolehan perabot baharu terpaksa dilaksanakan supaya tidak lah kosong kompleks yang suatu ketika dahulu menjadi kebanggaan setiap PM baharu dilantik.
Jika sebelum ini legasi hutang 1MDB ditinggalkan dan terpaksa dicuci oleh kerajaan sekarang ini, kini Seri Perdana pula yang dipolitikkan walhal seantero negara mengetahui siapa penghuni paling lama yang tinggal di kompleks tersebut.
Janganlah buat-buat lupa seperti menjawab soalan di mahkamah berhubung isu 1MDB, takkanlah semua perkara boleh jadi nyanyuk tiba-tiba.