Nik Dir Masih Pakai Lampin Lama, Dipenuhi Najis

Nik Dir Masih Pakai Lampin Lama, Dipenuhi Najis

Saya mendengar keseluruhan siaran temubual Ketua Penerangan Umno Terengganu, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku yang disiarkan pada 4 Oktober.

Sejam suku yang membazirkan masa saya, tetapi terpaksa kerana mahu mendengar apa yang dia katakan.

Secara keseluruhan, bual bicara ini, saya bahagikan kepada empat bahagian.

Bahagian pertama ialah bagaimana Nik Dir masih gagal dan terkial-kial untuk membuang lampin lamanya yang masih melekat dengan najis.

Dia menggunakan hampir 40 minit bercakap tentang Amanat Haji Hadi yang sudah lapuk dan tidak menjejaki bumi.

Sehingga kini, tiada ulamak Umno yang berani berdepan dengan Presiden PAS bagi membincangkan isu itu secara ilmiah.

Nik Dir menggunakan hujah kafir mengkafir dalam mempertahankan kenyataannya itu.

Sudah berapa kali debat mahu diadakan, akhirnya dibatal.

Umno sejak dahulu tidak mahu diputuskan apa status Amanat itu kerana jika dikata sesat, bagaimana mahu dibicarakan?

Kalau dikata betul, nanti dia yang malu.

Jadi baik dibiarkan begitu sahaja, ia boleh dikeluarkan bila-bila masa yang mereka mahu sebagai senjata.

Ahmad Said, ‘bos’nya suatu ketika pernah menuduh PAS parti ajaran sesat.

Dan dengan segera, ketika itu, almarhum Dato’ Abu Bakar Chik mengajak Ahmad Said bermuhabalah.

Dalam surah Ali Imran, Rasulullah pernah mengajak wakil Nasrani bermuhabalah kerana aqidah.

Ahmad Said senyap, tidak mampu menjawab cabaran itu.

Cukup lah bukti penakutnya ‘bos’ Nik Dir itu, untuk menjawab isu Amanat dan kafir mengkafir itu.

Isu lapuk kedua yang dibangkitkan Nik Dir ialah tuduhan Presiden PAS mandi di dalam kolah di masjid beliau.

Katanya, dia hanya mendengar cerita itu dari orang kampungnya di Batangan. Tetapi tiada bukti.

Itu sahaja ‘standard’ Ketua Penerangan Umno Terengganu.

Saya, mendengar sendiri dari mulut pembawa fitnah isu ini yang bergelar Datuk, yang telah masuk PAS, pada suatu ceramah di Kampung Tok Dir di Bukit Payong sekitar sebelum PRU13, 2013, bahawa dia lah yang membawa cerita fitnah itu sebagai sangkaan jahat terhadap Presiden PAS.

Dan beliau telah memohon maaf dan dimaafkan oleh Presiden PAS.

Kemudian isu lapuk ketiga ialah berkenaan PAS mengunci balai raya dan menghalau kanak-kanak Tadika Kemas di Dungun.

Rakan lama Nik Dir, Datuk Razali Idris sendiri mengaku dalam satu ceramah di Paka bersama YB Ustaz Satiful Bahari Mamat, bahawa, dia lah ‘mastermind’ dalam lakonan kanak-kanak membawa kerusi dari balairaya itu demi untuk memfitnah PAS.

Nik Dir mungkin ingat ini zaman Tok Kaduk, orang tidak ada internet untuk mencari semula fakta itu.

Bahagian kedua ialah bahagian Nik Dir tidak sedar diri atau lupa.

Dia lupa yang Presiden Umno memohon maaf kepada Presiden PAS atas kejahatan mereka dahulu.

Dia cuba menerangkan kepada pendengar yang kemuliaan sikap Presiden Umno itu.

Apabila Umno mengaku buat salah, ia sekaligus membenarkan kesalahan mereka terdahulu.

Sikap yang mulia ialah Presiden PAS, kerana memaafkan orang yang menzalimi PAS.

Umno buat jahat, dia mengaku baik?

Dia kata PAS dua kali memerintah Terengganu yang sebenarnya tiga kali termasuk 1959 yang mungkin dia malu untuk menyebutnya kerana Umno yang membeli Adun PAS.

Dan kata dia, pada tahun 2004, PAS kalah, perintah hanya sepenggal, menunjukkan bahawa rakyat tidak sukakan PAS.

Nik Dir memang nyanyuk sebab dia sendiri pun, tidak pernah menang di Rhu Rendang.

Habis kenapa masih menjadi penyelaras Dun semenjak dahulu.

Kalah, tanda orang dah bencikan?

Letak lah jawatan kamu tu.

Kata Nik Dir lagi, PAS main banyak kolam.

Dia lupa teruk, di Perak, di Sabah, di Johor, di Melaka, di Kedah, Umno duduk dengan siapa?

Kolam mana yang dia berendam?

Paling kelakar penyakit alzheimer Nik Dir ialah apabila dia mendakwa Umno tidak boleh bekerjasama dengan Bersatu, tetapi dalam waktu yang sama, kabinet TS Muhyiddin sebelum ini, majoritinya ialah dari Umno.

Dan sekarang juga, Ismail Sabri meletakkan menteri dari Bersatu.

Tidak puas lagi menunjuk nyanyuk dia, Nik Dir berulang kali mendakwa Umno bukan menolak Muafakat Naisonal, tetapi beberapa kali juga dia menyebut Pengerusi Umno Terengganu, telah mengumumkan tiada MN di Terengganu.

Sekejap tak tolak MN, sekejap umum tiada MN.

Lupa Nik Dir makin kronik dengan mendakwa pembahagian bantuan Covid tidak adil, tetapi dia tidak menyebut, apa yang dia buat sewaktu menjadi penyelaras Dun, sesen duit pun tidak diberikan kepada Presiden Pas selaku wakil rakyat yang sah yang dipilih rakyat di situ.

Bagaimana pula tindakan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) mengawal wang Terengganu ketika 1999-2004?

Hampir habis duit royalti diguna untuk bina pagar sekolah.

Dia juga lupa menyebut kelulusan bajet RM250 ribu kepada semua Adun pembangkang oleh MB sekarang dalam dua kali bajet lepas yang tidak pernah dirasa ketika PAS jadi pembangkang.

PAS tidak menjadikan wang rakyat sebagai wang pusaka ibu bapa sebagaimana Umno di zaman dahulu.

Dia mendakwa tiada pembangunan di Terengganu tetapi tidak ingat yang projek sakit dan hutang-hutang tinggalan Umno dahulu, terpaksa dibayar PAS.

PAS tidak akan membiarkan wang rakyat dibazirkan sebagaimana Umno.

Banyak lagi kelupaan Nik Dir seperti Ahmad Said yang keluar Umno kerana marahkan pemecatannya sebagai MB dan cuba mengkhianati partinya sendiri dengan membuat undi tidak percaya.

Ahmad Said juga mengamuk dalam Dun, membongkarkan semua kejahatan Umno, menggunakan wang rakyat Terengganu secara salah dan juga telaga minyak Bertam dari Terengganu terlepas kepada Pahang selain isu 1MDB.

Mujur PAS dapat mengembalikan Bertam kepada rakyat Terengganu.

Dan bahagian ketiga Nik Dir gunakan sebagai medan memuji diri sendiri atau naik lif.

Tanpa segan, dia mengatakan bahawa dia bukan jenis yang melawan jawatan kepada ketua seperti Dato’ Abdul Rahman Bakar.

Dia hanya pengikut setia sahaja.

Masalahnya, adakah dia mempunyai akar umbi untuk melawan Dato’ Man?

Apa kekuatan Nik Dir di Marang masa itu?

Kuat buat fitnah kut?

Dia juga mendakwa, jika ada tinggal satu undi sahaja lagi dari Umno, maka undi itu adalah undi dari dirinya.

Konon akan setia bersama Umno hingga akhir, walaupun dia tinggal seorang.

Hampir sama macam yang pernah diucapkan Ku Li sewaktu dalam Semangat 46 dahulu dan juga Mat Sabu ketika dalam PAS.

Tetapi kedua-duanya terlingkup sewaktu berjuang.

Bahagian akhir ialah dia menunjukkan kejahilannya dalam agama.

Apabila ada seruan untuk bersatu bagi orang Islam dan Melayu, maka seruan itu mesti diikuti kerana Islam mengajar perpaduan atas nama mahu menyelamatkan negara.

Nik Dir, sebaliknya mahu mengajak umat Islam berpecah.

Betapa jahatnya hasutan dia ini, menyalahi anjuran Rasulullah.

Dia juga gagal menyebut pengharaman judi dan riba oleh Kerajaan Negeri di bawah PAS.

Yang dia sibuk ialah kemajuan dunia.

Sepatah ayat al-Quran tidak keluar dari mulutnya sedang dia amat galak menyerang ulamak.

Bukan bawa dalil, tapi bawa kebencian.

Cara dia berkomunikasi juga dengan menggunakan bahasa kurang adab seperti bodoh dan juga kepala hotak, tidak melayakkan dia menjadi pimpinan.

Menyerlahkan sikap dan peribadinya.

Berlawanan dengan sikap pimpinan PAS Terengganu yang menutup mulut bagi membalas sebarang provokasi dari orang sejenis Nik Dir ini.

PAS menutup juga lubang fitnah walau ada banyak benda yang boleh diketengahkan bagi menyambung perbalahan, contoh kes rasuah Presiden Umno dan mantannya.

Tetapi pimpinan PAS lebih memikirkan kesatuan ummah ini.

Umno akan lebih baik jika pemimpin seperti Nik Dir ini, tiada dalam organisasi mereka.

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis