1.5 Juta Dijangka Melancong Ke Terengganu

1.5 Juta Dijangka Melancong Ke Terengganu

Pembukaan semula sempadan negeri bermula semalam dijangka meningkatkan sektor pelancongan Terengganu sekurang-kurangnya 30 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman berkata, berdasarkan maklum balas pengusaha hotel dan resort tempahan, tempahan bilik penginapan yang diterima mereka telah mulai meningkat.

“Kita menjangkakan sebahagian besar tempahan bilik penginapan itu akan penuh pada masa terdekat ekoran kebenaran rentas negeri bermula hari ini.

“Berdasarkan indikator berkenaan, kita sasar bakal menerima sehingga 1.5 juta pelancong dengan sebahagian besarnya memasuki negeri ini sebelum bermulanya musim tengkujuh pada pertengahan bulan depan,” katanya selepas menghadiri program pengindahan produk pelancongan berasaskan komuniti di Kalang Warisan di sini.

Ariffin berkata, beliau menjangkakan sebahagian daripada pengunjung yang akan membanjiri Terengganu tersebut terdiri daripada pelancong asing terutama bagi segmen pulau peranginan.

Ujarnya, walaupun terdapat cadangan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu agar kemasukan pelancong asing ditangguhkan buat pada masa ini tetapi kerajaan negeri berpandangan sebaliknya.

“Mereka (pelancong asing) tidak wajar dihalang memasuki negeri ini asalkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya. – K! ONLINE

Terengganu