Sering kali ketika ini, ugutan atau sindiran yang dibuat oleh beberapa kerat pimpinan Umno kepada PAS ialah, jika PAS memaksa Umno menerima Bersatu melalui PN, mengapa PAS tidak boleh mengajak Pan juga.
Begitulah yang pimpinan Umno ini faham konon perihal ‘sakitnya di situ’ berkenaan mantan kekasih yang lari mengikut lelaki lain.
Mereka ini mungkin terlupa dengan beberapa perkara yang sepatutnya tidak dibandingkan secara bersama.
Ia ibarat membandingkan buah epal dengan oren.
Ia satu bandingan yang amat jauh dan tidak langsung kena dengan apa yang mahu dibincangkan.
Sebagaimana yang kita sedia maklum, DAP adalah satu parti yang dikatakan sebagai chauvinis dan dibenci oleh PAS dan Umno ketika ini.
Apa sahaja berkenaan DAP, kedua-duanya pasti tidak mahu ada kaitan dengannya.
Masih ingatkah, betapa marahnya ahli Umno apabila ada ura-ura cadangan mahu bersama dengan DAP bagi meruntuhkan Kerajaan PN pimpinan TS Muhyiddin Yassin bulan lalu.
PAS pula, jangan cakap lah, sanggup kehilangan kuasa, tidak bersama PR dahulu setelah DAP memungkiri janjinya berkenaan ‘agree to disagree’ bagi beberapa perkara dasar yang melibatkan agama Islam.
Termasuk juga campur tangan mereka melalui beberapa proksinya di dalam PAS.
Mudah cakap, jika PAS kekal bersama PR dan buat ‘bodoh’ sahaja dengan lagak DAP, maka PAS akan mendapat jawatan dunia.
Ketika Bersatu masih bersama PH yang mana ada DAP sebagai suara terbesar, PAS dan Umno pula sedang berusaha untuk bergabung bagi membentuk pakatan pembangkang melawan PH.
Kalau ada yang mengatakan tujuh PRK yang berlangsung dahulu, hanya Umno yang berfungsi, maka ia satu penipuan, sebab selesai sahaja pengumuman keputusan Umno menang, mereka segera menyanyikan lagu ‘Terima Kasih PAS’.
Tidak ada orang akan berterima kasih kepada orang yang tidak kena mengena dengan mereka.
Ketika gabungan PAS dan Umno semakin kuat, sebahagian daripada Ahli Parlimen Bersatu pula keluar, meruntuhkan Kerajaan PH dan mengajak PAS serta Umno bergabung menyertai mereka dengan beberapa keadaan yang dipersetujui semua pihak.
Maka, jadi lah kita semua sebagai satu gabungan yang membentuk Kerajaan Pusat, walaupun majoritinya agak tipis.
Di mana bezanya?
Bezanya ialah apabila Bersatu meninggalkan DAP dan mereka diterima oleh PAS dan Umno.
Jadi, tujuan utama kita adalah sama, No DAP, No Anwar.
Oleh itu Bersatu adalah entiti lain sekarang ini.
Manakala Pan pula adalah sedarah sedaging dengan DAP.
Ditarik daging, darahnya keluar, mahukan darah, mesti dihiris daging itu.
Begitu lah mereka diumpamakan.
Pan sayang DAP ketat-ketat.
Maka, di mana lojiknya PAS boleh menerima Pan itu?
Sehingga kini, kelihatannya, mereka masih tidak mahu meninggalkan DAP.
Sanggupkah Umno menerima Pan, sekali dengan pakejnya, DAP itu, sebelum menyuruh PAS menerimanya?
Dalam hal perdamaian, Presiden PAS sudah menjelaskan, jika musuh sanggup dan ada persamaan dalam menegakkan Islam yang benar, PAS sedia bekerjasama, sebagaimana dahulu DAP bersetuju dengan asas PAS yang menurut al-Quran dan sunnah itu, PAS menerima mereka.
Jadi, kepada segelintir pimpinan Umno yang menyuruh PAS menerima Pan, adakah sama penerimaan Umno terhadap Bersatu, tanpa DAP dengan pemaksaan ke atas PAS untuk menerima kembali Pan bersekali dengan DAP itu?
Pastinya tidak.
Cukup lah hujah ini bagi memberikan gambaran kesungguhan PAS dalam mempertahankan Islam sehingga sanggup menolak kuasa akibat daripada monopoli DAP dalam PH itu, walaupun ditawarkan bersama mereka.
Itu, kita belum lagi berbincang tentang bagaimana Presiden Umno yang dikatakan sanggup untuk bersama PKR yang mana PKR ini, jauh lebih dahulu mengkhianati Umno berbanding Bersatu.
Juga isu berkenaan kerajaan campuran di negeri-negeri yang Umno tidak berkuasa mutlak, tetapi sanggup pula menerima Bersatu di dalamnya.
Cukuplah wahai pimpinan Umno yang bencikan PAS.
Yang PAS ajak ialah penyatuan ummah di Malaysia dan rakyat juga mahukannya.
Besar harapan semua.
Tetapi kalau kena dekat dia, OK je, sekejap boleh, sekejap tidak.
Kena kat PAS, langsung tak boleh, main banyak kolam lah apa lah, dah jadi macam alasan yang direka-reka sahaja, cari salah PAS, tak akan selesai masalah ummah.
Mohd Nasir Abdullah