Professor Abdul Qadeer Khan: Bapa Nuklear Pakistan Kebanggaan Dunia Islam

Professor Abdul Qadeer Khan: Bapa Nuklear Pakistan Kebanggaan Dunia Islam

Pada tanggal 10 Oktober 2021 yang lalu, Dunia Islam meratapi pemergian Prof. Abdul Qadeer Khan yang digelar sebagai Bapa Nuklear Pakistan.

Jasa beliau sangat besar bukan sahaja kepada negara Pakistan bahkan juga kepada Dunia Islam secara umumnya.

Beliau dilahirkan pada 1 April 1936 di Bhopal, India dan kemudiannya berhijrah ke Pakistan pada tahun 1952.

Beliau mendapat pendidikan di University of Karachi, Pakistan, Dayaram Jethamal Sindh Government Science Collage, Karachi, Pakistan, Delft University of Technology, Belanda dan Catholic University of Leuven, Belgium.

Setelah menamatkan pengajiannya, beliau memulakan kerjayanya dalam bidang nuklear di sebuah firma kejuruteraan di Belanda, Physics Dynamics Research Laboratory, sebuah syarikat subkontraktor kepada syarikat yang menjalankan operasi pengkayaan uranium di Amelo, Belanda.

Beliau kemudiannya berkerja sebagai Pegawai Kanan Teknikal di bawah sebuah syarikat iaitu Urenco Group, sebuah syarikat pembekal bahan api nuklear di mana beliau banyak menjalankan kajian mengenai pengkayaan uranium.

Setelah mendapat berita India berjaya menjalankan ujian nuklear pertamanya pada Mei 1974 yang dikenali dengan nama Smilling Buddha, Prof. Abdul Qadeer Khan bersemangat untuk menyumbang tenaga dan kepakaran beliau kepada tanah airnya.

Seterusnya beliau ke Kedutaan Pakistan menemui diplomat Pakistan untuk menyatakan kesediaannya membantu di samping mengutus surat kepada Perdana Menteri Pakistan ketika itu, Zulfikar Ali Bhutto.

April 1976, Prof. Abdul Qadeer Khan telah kembali ke Pakistan dan menyertai kumpulan program pembangunan atom Pakistan di bawah Pakistan Atomic Energy Commission (PEAC) di bawah seliaan Munir Ahmad Khan, seorang lagi pakar pembangunan nuklear Pakistan ketika itu.

Maka semenjak dari itu, Pakistan telah tersenarai sebagai satu-satunya negara Dunia Islam yang mempunyai senjata nuklear.

Pembangunan nuklear Pakistan bermula pada tahun 1972 ketika almarhum Muhammad Zia ul-Haq menjadi Presiden Pakistan dan Zulfikar Ali Bhutto menjadi Perdana Menteri.

Ia menjadi satu kemestian kepada negara Islam ini demi untuk mempertahankan diri daripada India yang menjadi seteru utamanya khususnya dalam konflik perebutan wilayah Jammu Kashmir.

Sejurus ujian nuklear India yang pertama pada 18 Mei 1974 di Rajasthan dengan dibantu oleh kepakaran daripada Amerika Syarikat dan Kanada, Pakistan melancarkan ujian nuklearnya yang dibangunkan dengan kepakarannya sendiri pada 28 dan 30 Mei 1998 di wilayah Chagai, Balochistan.

Ujian tersebut dikenali sebagai Chagai I dan ia adalah ujian nuklear umum pertama oleh Pakistan yang diketahui oleh seluruh dunia.

Ujian tersebut selang beberapa minggu selepas India menjalankan ujian nuklearnya yang kedua yang dikenali sebagai Pokhran II pada 11 dan 13 Mei 1998.

Kejayaan tersebut disambut dengan kegembiraan oleh rakyat Pakistan yang menjadikannya negara Dunia Islam pertama yang memiliki teknologi nuklear.

Ia seolah-olah menjadi satu kemenangan juga kepada seluruh Dunia Islam yang berada di zaman kelemahan dan menjadi ”pak turut“ kepada kuasa-kuasa besar dunia ketika itu.

Namun ujian nuklear tersebut baik oleh Pakistan mahupun India telah menimbulkan kemarahan dunia.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah bersidang dan pada 6 Jun 1998 mengeluarkan Resolusi 1172 yang mengecam ujian nuklear tersebut serta menuntut agar India mahupun Pakistan menghentikan segala ujian dan pembangunan senjata nuklear.

Akibat daripada itu juga, Pakistan dan India telah dikenakan sekatan ekonomi oleh pelbagai negara terutamanya oleh negara-negara kuasa besar dunia.

Baik Pakistan mahupun India mengecam tindakan tersebut di mana Pakistan meminta dunia menerima hakikat bahawa senjata nuklear telah wujud di wilayah Asia.

Semenjak kemerdekaan Pakistan daripada India pada 15 Ogos 1947, telah berlaku peperangan di antara Pakistan dan India sebanyak 4 kali iaitu peperangan berkenaan Jammu Kahsmir pada tahun 1947, peperangan tahun 1965 iaitu akibat daripada “Operation Gibraltar“, peperangan tahun 1971 yang juga berkaitan Jammu Kahsmir dan Bangladesh dan akhir sekali pada tahun 1999 yang dikenali sebagai “Kargil War“ iaitu peperangan berkaitan sempadan kedua-dua buah negara.

Akibat daripada peperangan yang berlaku di antara Pakistan dan India, pembangunan sektor persenjataan menjadi amat penting untuk kelangsungan negara masing-masing terutamanya Pakistan.

Apatah lagi setelah India menjalankan ujian nuklear pertamanya pada 1974, Pakistan sudah semestinya tidak mahu ketinggalan dalam pembangunan senjata nuklear di samping untuk menjamin kelangsungan rakyat dan negara.

Di zaman kelemahan setelah kejatuhan Kerajaan Islam Uthmaniyyah, Dunia Islam senantiasa menjadi mangsa dengan dibuli oleh musuh-musuh Islam khususnya oleh Dunia Barat.

Penguasaan Barat terhadap sains dan teknologi menjadikannya lebih maju dalam segenap sudut termasuk teknologi persenjataan sehingga tercipta pelbagai senjata termasuk senjata nuklear.

Dalam masa yang sama mereka sentiasa berusaha untuk menghalang Dunia Islam agar tidak memiliki teknologi ini.

Mereka juga mengatur agar Dunia Islam menghabiskan duit dengan hanya membeli senjata-senjata yang berada dalam kelas kedua agar mereka sentiasa boleh mengawal Dunia Islam supaya tidak dapat menandingi Dunia Barat.

Terdapat usaha-usaha yang dijalankan oleh Dunia Islam untuk memajukan sektor teknologi dengan persenjataan namun digagalkan seperti di Iraq dan Libya.

Bahkan apa yang tersirat daripada kejatuhan Saddam Hussein dan Muammar Qaddafi, salah satu faktor utamanya adalah untuk menggagalkan sistem persenjataan canggih khususnya nuklear agar tidak mengancam keselamatan negara haram Israel.

Di sinilah wajah sebenar Dunia Barat yang penuh dengan hipokrasi dan bermuka-muka.

Negara haram Israel adalah sebuah negara haram yang dikatakan memiliki banyak senjata nuklear sebagaimana yang dilaporkan oleh banyak pihak termasuk oleh akhbar-akhbar utama dunia dan juga oleh pakar-pakar ketenteraan.

Kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat dan Britain langsung tidak mengambil tindakan terhadap negara haram Israel kerana memiliki senjata nuklear.

Jika negara Dunia Islam memiliki senjata tersebut, bukan sahaja akan dikenakan pelbagai tekanan dan tindakan seperti sekatan ekonomi malah berkemungkinan besar akan diserang habis-habisan oleh barat dan sekutunya.

Negara-negara yang memiliki senjata nuklear berada dalam kelasnya yang tersendiri, berbeza dengan negara-negara yang tidak memilikinya.

Lazimnya negara yang memiliki senjata nuklear memiliki kekuatan tentera yang agak besar dan kuat serta memiliki pelbagai jenis persenjataan moden akibat daripada kemajuan sains dan teknologi yang dikecapi.

Malah kemajuan sains dan teknologi tersebut bukan sahaja digunakan untuk pembangunan senjata nuklear semata-mata, bahkan juga digunakan untuk pembangunan negara dan kemajuan rakyatnya.

Lazimnya negara-negara ini maju dalam pelbagai bidang yang kemudiannya meletakkan negara mereka lebih baik dari negara-negara lain.

Dunia Islam perlu mengecapi kemajuan sains dan teknologi sebagaimana Dunia Barat hari ini malah perlu berusaha untuk menjadi lebih baik dari mereka.

Dengan berpandukan syariat Allah SWT dan diadaptasikan dengan kemajuan sains dan teknologi, negara Dunia Islam mampu menjadi lebih baik dan cemerlang di masa akan datang.

Sejak dari Islam mula bertapak di muka bumi ini, telah ramai lahirnya cendikiawan Islam dalam pelbagai bidang termasuk sains dan teknologi.

Lebih ramai ilmuan mahupun cendikiawan perlu dilahirkan agar Dunia Islam dan umatnya sama ataupun lebih maju daripada Dunia Barat secara umumnya.

Demi untuk memastikan Dunia Islam dan umatnya tidak ketinggalan dan maju seiring dengan Dunia Barat serta tidak menjadi mangsa dan “kambing hitam“ dalam dunia ketika ini, Dunia Islam dan umatnya perlu bangkit untuk menguasai pelbagai ilmu agar Dunia Islam dan umatnya terus terpelihara dan bersatupadu demi untuk kelangsungan ummah di muka bumi ini.

Islam Memperkukuh Perpaduan.

Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.

ADUN Batu Buruk.

Dunia Islam