Kaca Disangka Intan

Kaca Disangka Intan

Saya pernah membaca buku ‘The Seventh Habits of Highly Effective People’, tulisan Stephen Covey.

Dalam satu pandangan beliau, beliau menulis berkenaan ‘Begin with the end in mind’.

Ia berkenaan kita sebagai manusia, perlukan meneliti atau membayangkan bagaimana nanti hasil pengakhiran atau keputusan yang kita mahukan, dijadikan sebagai permulaan kepada rancangan kita.

Oleh itu, yang saya faham atas tulisannya, jika kita mulakan dengan kematian kita, kita dapat bayangkan apa yang orang akan sebut tentang kita, sama ada hal yang baik, ataupun perkara yang buruk yang ada pada kita.

Lalu kita mengimbau kembali apa perbuatan kita di dunia dahulu, bermula dari kematian, sehingga ke saat kita kenal dunia.

Jika kita tahu kita seorang yang selalu berbuat baik dalam konteks yang sebenarnya (sebab ada orang tidak tahu bagaimana baik mengikut kehendak Allah), jadi kita sudah dapat menjangkakan pujian apa yang akan disebut oleh orang kepada kita dan begitulah sebaliknya, kita akan dikutuk.

Jadi kita disarankan agar menyusuri jalan-jalan kehidupan kita bermula dari pengakhiran, mencari dan mengurangkan kesilapan yang boleh berlaku dalam kehidupan kita.

Dengan mengandaikan semua perbuatan baik dalam perancangan kita itu diterima Allah, maka kita akan mulakannya dengan sungguh berhati-hati agar tidak tergelincir dari landasan yang kita bina sendiri.

Bagi muslim, pastinya atas ilmu dan kehendak yang benar berasaskan Islam.

Walaupun Stephen bukanlah seorang Islam, malah ada yang mendakwa dia seorang Yahudi, tetapi isi kandungan tulisan beliau dibaca, disukai dan mungkin ramai yang cuba mengamalkan ‘habit’ ini.

Ia termasuk la juga kepada pembaca muslim yang menganggap tulisan beliau sebagai pembuka minda, semestinya diamalkan bagi jalan kepada kehidupan yang lebih bermakna di dunia ini.

Namun sayang, ramai yang mungkin tidak perasan atau menyedari bahawa cadangan Stephen ini telah lama diseru oleh Rasulullah saw.

Rasulullah berpesan untuk kita mengingati mati dan bersedia menghadapinya sebagai tanda seorang itu pintar.

Rasulullah juga berpesan supaya bertaqwa kepada Allah pada setiap kali khutbah, malah tidak sah khutbah menurut pandangan mazhab Syafie jika tidak menyeru supaya jemaah bertaqwa.

Mati dan taqwa adalah dua benda yang seiringan.

Buat lah apa sahaja, kita pasti akan mati.

Buatlah apa sahaja, ia mesti berasaskan taqwa kepada Allah.

Kita tidak mahu bila kita mati nanti, kita dihisab dengan apa yang tidak sepatutnya seorang hamba Allah lakukan.

Kita juga tidak mahu melakukan sesuatu yang bukan kerana takutkan kerana Allah.

Jadi seruan Rasulullah itu jelas, kita merancang sesuatu di dunia, biar lah kita mendapat redha Allah yang mana redha itu akan dibawa ke mati.

Kita boleh lihat kematian demi kematian sekarang yang berlaku kepada sesiapa sahaja.

Lihatlah kepada ucapan atau kenangan hidup mereka di dunia dahulu.

Jika si mati itu adalah seorang yang hebat bermain bola, maka yang akan disebut-sebut orang ialah, kita telah kehilangan bintang bolasepak.

Jika si mati itu seorang saintis, maka diratib-ratib kehilangan seorang saintis yang hebat, tanpa kita menafikan ibadat-ibadat yang mereka lakukan di dunia.

Namun, apabila ada sahaja kematian ulama, ramai manusia diam, tiada ucapan.

Seolah-olah ilmu agama yang dicurahkan mereka itu, tiada ertinya bagi kehidupan.

Sedangkan kita amat memerlukannya.

Hanya yang mengenali kehebatan ulamak itu sahaja yang bersedih.

Tetapi, bagaimana mahu mengenali ulama jika diri sendiri sudah teramat jauh dari Islam?

Ketika kematian ahli ilmu dunia lain, dia tetap dipuji, walaupun yang memuji itu, tidak tahu apa sangat berkenaan ilmu itu.

Hanya mengikut-ngikut orang memberi salam takziah, itu pun dengan ucapan ‘takziah’ atau al-fatihah’ sahaja, tiada juga doa.

Lebih teruk, diucapkan RIP kepada yang bukan Islam.

Kemudian diadakan termuramah dengan pihak itu dan ini melambangkan peri pentingnya sosok yang meninggal itu.

Namun apabila tiba waktu kematian ulama, ia amat berbeza.

Ia sunyi atau jika ada pun, sekadarnya sahaja.

Apa yang mereka lakukan di dunia dengan kepandaian mereka, maka itulah yang akan disebut orang, samada dipuji atau dikeji.

Dan amat malang jika semua perkiraan kejayaan itu, dibuat dengan bandingan dunia sahaja, tidak diasaskan kepada kehendak Islam.

Tiada pahala, hanya pujian dunia yang tidak boleh dituntut di akhirat nanti.

Jelas yang dunia sekarang dipenuhi dengan orang yang hanya mengerti apa itu kejayaan kebendaan, bukan akhirat.

Semoga kita kembali kepada akhirat dengan ilmu yang benar. Amiin.

Mohd Nasir Abdullah

Islam