Hina Kakitangan Kerajaan, Petanda PH Akan Jatuh

Hina Kakitangan Kerajaan, Petanda PH Akan Jatuh

Sungguh memalukan apabila menonton satu video yang tular, memaparkan Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Perihatin Selangor, V. Ganabatirau, yang juga Adun Kota Kemuning, sedang memarahi dan mengeluarkan perkataan-perkataan yang kesat terhadap kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor.

Kejadian tersebut berlaku ketika beliau meninjau kawasan banjir di Taman Sri Muda, di sini pada Sabtu lalu.

Dikatakan juga, video itu turut disiarkan di FB beliau.

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Ceupacs) melalui Presidennya, Adnan Mat, menyatakan kekesalan terhadap tindakan Ganabatirau itu yang disifatkannya sebagai tidak profesional dan sangat keterlaluan apabila meninggikan suara serta menggunakan kata-kata kesat terhadap kaitangan JPS Selangor itu dan mendesak Exco terbabit memohon maaf.

Kita mungkin boleh bersetuju bahawa kakitangan JPS tersebut melakukan kesilapan, tetapi bahasa yang digunakan, video yang disebarkan, sepertinya memberikan persepsi lain kepada tindakannya itu.

Ditambah lagi beliau kemudiannya, muncul dalam satu lagi video yang lain bagi membuat permohonan maaf terhadap sikapnya itu dengan beberapa lagi perkataan yang pada saya memberikan maksud yang kurang jelas berkenaan keikhlasannya seperti kaitan beliau dengan PRN Melaka.

Saya tidak mahu mengulas panjang berkenaan isu ini, kerana kita tahu sikap dan perangai PH itu sendiri bagai pembuli.

Lihat di Pulau Pinang, Adun mereka dari PH sendiri menangis memohon peruntukan di dalam Dun.

Seketika mereka berkuasa di Pusat, Terengganu cuba dinafikan hak royaltinya, sebagaimana yang dimaklumkan Tun.

Ganabatirau juga cuba bermain isu pahala dan dosa dengan kononnya kakitangan JPS itu seperti tidak bekerja mengikut kehendak agama dan membawa pulang wang gajian haram.

Bagi saya, sepatutnya mereka diadili dahulu, adakah benar mereka sengaja melakukan kesilapan (jika ia benar-benar berlaku) dan bukan disindir sebagai mengambil duit haram.

Dan apa yang Ganabatirau lupa, selama 22 bulan, PH juga hidup dalam memakan wang haram, kerana menipu banyak manifesto mereka.

Mungkin kerana merasakan yang kerusi miliknya itu agak selamat kerana mempunyai majoriti melebihi jumlah undi PAS dan Umno yang diperolehi ketika PRU 14 dahulu, maka beliau tidak begitu kisah.

Namun ada satu keadaan yang mungkin dilupakan beliau bahawa sebarang kemungkinan boleh berlaku atas sikap yang memalukan orang lain itu.

Mungkin ‘Haji’ rakannya itu lupa memberitahu, selain isu gaji halal dan haram, ada lagi berkenaan doa orang yang dizalimi, diterima Allah tanpa hijab.

Ganabatirau seharusnya memandang ke belakang kepada peristiwa pemberian hadiah batang penyapu oleh MB Selangor ketika itu, Khir Toyo kepada Pegawai Daerah Hulu Selangor Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Walaupun alasan anugerah yang menghina itu kerana Hulu Selangor kehilangan kutipan cukai yang banyak, ia tetap bukan menjadi lesen bagi menghina orang lain.

Khir Toyo kemudiannya ditangkap kerana rasuah dan didapati bersalah oleh mahkamah dengan dikenakan hukuman penjara selama setahun dan hartanya disita.

Jatuhnya Khir Toyo itu, tidak bangkit lagi sehingga sekarang.

Dan khabarnya, kes rasuah Lim Guan Eng juga banyak menyamai kes Khir Toyo.

Sama-sama kita tunggu keputusan mahkamah.

Dan mari lah kita sama-sama mendoakan agar penghinaan ini adalah menjadi titik kepada kejatuhan PH di Malaysia, insyaallah.

Mohd Nasir Abdullah

Isu Semasa