Kerjasama Dengan PAS Rancangan UMNO Pecah-Belahkan PN

Kerjasama Dengan PAS Rancangan UMNO Pecah-Belahkan PN

Ada seperkara yang menjadi perhatian khalayak, khususnya pengundi di Melaka, susulan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam tadi yang dikira mesyuarat terakhir sebelum penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 8 November ini.

Ianya berkaitan kerjasama parti itu dengan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai Bersatu, PAS dan Gerakan, bagi menghadapi Pakatan Harapan (PH) pada PRN 20 November ini.

Sememangnya, umum sudah mengetahui bahawa Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi telah membuat keputusan menolak kerjasama dengan Bersatu pada PRN Melaka.

Cuma apa yang ditunggu-tunggu keputusan mesyuarat malam tadi, sama ada MT membuat pengesahan menerima keputusan Zahid itu, atau menolaknya.

Selepas MT bermesyuarat malam tadi, Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan mengadakan sidang media untuk memaklumkan keputusan yang dibuat, khususnya berkaitan PRN Melaka.

Antara keputusan yang dibuat ialah UMNO akan bekerjasama dengan PAS menghadapi PRN Melaka, dengan syarat parti Islam itu mengguna logo parti itu sendiri, bukan lambang PN.

Disebabkan kebanyakan pemimpin kanan UMNO sebelum ini membuat kenyataan bahawa keputusan Zahid menolak kerjasama dengan Bersatu adalah pandangan peribadi beliau, ramai yang menunggu adakah mesyuarat MT malam tadi membincangkan hal itu.

Ketika sidang media itu, seorang wartawan bertanyakan mengenai Bersatu.

Begini soalannya: “Bersatu datuk… kira tak ada lagi?”

Kita faham maksud kepada soalan itu, namun lebih sesuai jika wartawan itu menguatkan sedikit suaranya dan bertanya:

“Apakah MT UMNO turut membincangkan kerjasama dengan Bersatu? Dan jika ada apakah keputusan Presiden UMNO menolak kerjasama dengan Bersatu diterima oleh MT?”

Jawapan kepada soalan itu adalah kata putus yang hendak diketahui khalayak, khususnya pengundi PRN Melaka.

Reaksi Ahmad kepada soalan itu?

Beliau hanya diam dan meminta dikemukakan soalan lain.

Sama ada beliau dengar soalan itu atau sememangnya MT UMNO telah memutuskan tiada kerjasama dengan Bersatu sebagaimana keputusan Perhimpunan Agung 2020 yang lalu menolak kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Namun, kita percaya sebenarnya keputusan Zahid menolak kerjasama dengan Bersatu pada PRN Melaka turut disahkan oleh semua ahli MT UMNO yang hadir pada mesyuarat malam tadi. Noktah!

Yang jelas, kesediaan UMNO untuk bekerjasama dengan PAS – salah satu parti komponen PN – adalah rancangan untuk memecah-belahkan gabungan itu.

Perhatikan! Jika PAS meletakkan calonnya bertanding di sesuatu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), UMNO/BN tentu tidak akan meletakkan calonnya.

Demikian juga Bersatu tidak akan meletakkan calonnya di situ.

Ini bermakna PAS hanya akan berdepan dengan PH atau kemungkinan ada calon Bebas lain.

Oleh kerana adanya kerjasama, maka PAS mendapat keuntungan apabila jentera pilihan raya UMNO/BN akan turun membantu.

Demikian juga disebabkan parti itu adalah gabungan PN, maka jentera Bersatu/PN juga akan turut membantu.

Persoalannya ialah jika calon yang bertanding adalah daripada UMNO/BN.

Pastinya, PAS tidak akan meletakkan calon, tetapi Bersatu/PN akan bertanding.

Apakah PAS akan menyokong dan mengarahkan jentera pilihan rayanya membantu UMNO atau Bersatu?

PAS tidak boleh mendiamkan sahaja jenteranya.

Parti itu perlu membantu kempen UMNO sebagai rakan kerjasama, dan pada masa sama perlu juga membantu Bersatu sebagai parti komponen PN.

Bagaimana resolusinya?

Mereka orang politik dan kita akan melihatnya.

Atau, mungkin juga PAS boleh memecahkan jentera pilihan rayanya menjadi dua kumpulan dalam satu kawasan DUN.

Satu kumpulan menyokong UMNO dan satu kumpulan lagi menyokong Bersatu.

Satu kumpulan menjadi tukang sorak UMNO dan satu lagi tukang sorak Bersatu.

Perkara ini tidak mustahil berlaku jika dilihat kepada kegilaan politik Malaysia sekarang ini.

Bukan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong sahaja yang ketawa melihat politik Malaysia, malah kesedihan pemimpin negara lain akibat Covid-19 yang mengancam rakyat mereka juga reda apabila membaca kisah politik Malaysia.

Cuma perkara ke 4 dalam kenyataan media Ahmad itu sahaja yang masih boleh dibahaskan sama ada kerjasama UMNO dan Bersatu akan terjelma atau tidak.

[4. Majlis Kerja Tertinggi juga memberikan mandat kepada YB Dato’ Seri Presiden, YB Dato’ Seri Timbalan Presiden dan YAB Dato’ Sri Perdana Menteri untuk memuktamadkan sebarang keputusan berkaitan Pilihan Raya Negeri Melaka.]

Tok Akhi

Kolumnis