Syarat Kepada PAS Guna Lambang Sendiri, Apa Sebenar Niat UMNO?

Syarat Kepada PAS Guna Lambang Sendiri, Apa Sebenar Niat UMNO?

Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO sepatutnya memuktamadkan keputusan berhubung kerjasama dengan PAS dan Bersatu, tetapi sebaliknya yang berlaku mereka meletak syarat berbentuk satu ugutan kepada parti Islam tersebut supaya menggunakan lambang sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Keputusan UMNO pada Khamis lalu sebenarnya memberi isyarat pendirian Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah ditolak pemimpin atasan dan menunjukkan suaranya tidak lagi relevan dalam menentukan hala tuju parti tersebut.

Walaupun pada awalnya Zahid dilihat berkeras dan seperti sudah tidak akan berpatah balik dengan pendiriannya untuk tidak bekerjasama dengan PAS dan Bersatu, tetapi UMNO tiba-tiba mengambil langkah cuba bertolak-ansur tetapi hanya dengan PAS atas alasan persefahaman Muafakat Nasional (MN).

Keputusan UMNO yang meletak syarat tersebut menimbulkan persoalan mengapa sokongan PAS sangat penting walhal mereka gagal memenangi sebarang kerusi semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Melaka sebelum ini, bahkan UMNO juga tidak pernah mengadakan rundingan kerusi antara kedua-dua parti.

Lebih tidak masuk akal, syarat UMNO itu diletak ketika pembahagian kerusi dalam Perikatan Nasional (PN) yang PAS juga salah seorang anggotanya sudah hampir selesai.

Untuk rekod, MN tidak pernah didaftarkan sebagai sebuah gabungan rasmi seperti PN, jadi bagaimana pula UMNO mahu meletak syarat tersebut memandangkan kerjasama tersebut hanya sekadar tidak lebih kepada Memorandum Persefahaman (MoU) kedua-dua parti.

Jika UMNO serius untuk meneruskan kerjasama dengan PAS, sepatutnya selain syarat menggunakan lambang sendiri itu diletakkan mereka juga sebenarnya perlu mengumumkan jumlah kerusi yang akan diberikan kepada PAS untuk bertanding dalam PRN Melaka.

Bagaimanapun UMNO tidak pula memperincikan jumlah kerusi yang akan dirunding dengan PAS, sekadar syarat melibatkan lambang sahaja.

Namun, keputusan yang diumumkan UMNO pada Khamis malam lalu sebenarnya tidak lebih kepada satu strategi politik yang cuba memerangkap PAS dan menurut sumber ia bagi menguji sejauh mana kesetiaan dalam MN.

Sumber UMNO memberitahu Agenda Daily, majoriti ahli MT tidak sependapat dengan pendirian awal Zahid yang tidak mahu bekerjasama dengan PAS dan mereka hanya bersetuju ditamatkan kerjasama dengan Bersatu sahaja selari dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang lalu.

“Ada Ahli-ahli MT yang masih berkeras untuk meneruskan kerjasama dengan PAS tetapi mengetahui kedudukan PAS yang bersama dalam PN ia menyukarkan sebarang rundingan.

“Bagaimanapun, langkah yang diumumkan ini akan menjerat PAS dalam sebarang keputusan yang diputuskan mereka nanti,” kata sumber dalaman UMNO.

Jika secara solo bergerak atas tiket Barisan Nasional (BN), sumber memberitahu terdapat Ahli MT bimbang tanpa kerjasama dengan PAS mereka bakal menerima kekalahan teruk di Melaka dan Pakatan Harapan (PH) akan kembali memerintah.

Sentimen pengundi di Melaka kini sudah semakin marah dengan UMNO ekoran perebutan kuasa sesama sendiri sehingga menjadi punca PRN terpaksa diadakan.

Berbanding dengan PAS yang tidak mempunyai sebarang kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dan tiada penglibatan dalam kejatuhan kerajaan negeri baru-baru ini, imej mereka lebih baik dan bersih berbanding UMNO yang sudah dianggap sebagai sebuah parti yang tamak kuasa.

Pengundi di Melaka khususnya kaum Melayu sudah melihat wajah sebenar UMNO yang berebut kuasa sesama mereka sehingga sanggup menumbangkan kerajaan yang diterajui parti sendiri.

Dalam senario politik Melaka, krisis yang berlaku disebabkan oleh pergaduhan sesama pemimpin UMNO menjadi punca kepada PRN terpaksa diadakan dan lebih malang lagi ia berlaku ketika pandemik Covid-19 baharu hendak pulih.

Rakyat masih trauma dengan episod penularan Covid-19 selepas PRN Sabah tahun lalu sehingga menjejaskan kehidupan mereka seharian.

Risiko untuk rakyat menolak UMNO sangat tinggi berbanding penolakkan terhadap PAS dan Bersatu, jadi UMNO sangat berharap dapat mengurangkan peluang untuk mereka kalah di Melaka.

Bagi menghidupkan peluang tersebut, tidak salahnya UMNO membuat satu syarat kepada PAS dan pada masa sama dapat memerangkap mereka. Keputusan balas PAS terhadap syarat yang diletak UMNO akan menjadi penentu hala tuju kerjasama kedua-dua parti.

PRN Melaka diadakan susulan tumbangnya kerajaan negeri pimpinan UMNO setelah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk dua daripada parti itu, menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang); Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hasan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Teluk Mas).

Pada PRU14, UMNO hanya memenangi 13 kerusi DUN Melaka, Bersatu yang ketika itu bersama PH menang dua kerusi DUN, manakala PAS gagal merebut sebarang kerusi DUN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal, 16 November.

Isu Semasa