Selepas desakan NGO-NGO Melayu dan Islam yang bertubi-tubi, Menteri Wilayah yang baharu akhirnya setuju ingin meneruskan keputusan menteri yang lama bagi melarang penjualan arak di Wilayah Persekutuan.
Walaupun tidak sepenuhnya, iaitu bir (beer) masih dibenarkan untuk dijual di kedai-kedai runcit, itu pun ada yang ‘kepanasan’ seolah-olah mereka ‘terpaling tertindas’.
Pemimpin-pemimpin MCA dan DAP senada mengecam dengan keras keputusan menteri bagi melarang penjualan arak secara terbuka itu selepas persatuan-persatuan peniaga yang menjual arak menyatakan bantahan.
Alangkah baiknya jika kita semua, iaitu NGO-NGO Islam, ahli-ahli politik kerajaan dan pembangkang Muslim berpadu menyatakan tuntutan kita juga.
Tuntutan kita sepatutnya tidak terhad kepada menyokong keputusan DBKL itu semata-mata, malah kita perlu desak agar bir juga patut dilarang untuk dijual secara terbuka dan ke arah pengharaman total.
Ini bukan perkara baharu, kerana jika sesebuah komuniti setempat menyatakan bantahan penjualan minuman keras di kedai-kedai runcit kepada PBT, maka ianya boleh dihentikan.
Kita melalui NGO-NGO kita juga telah banyak gerakkan inisiatif di kawasan-kawasan kami dan terbukti berjaya.
Bayangkan jika ianya digerakkan di peringkat nasional secara berpadu, dan di peringkat polisi.
Pastinya lebih menyeluruh impaknya.Jika mereka bersatu mahu arak dijual secara terbuka, mengapa kita tidak mampu bersatu mendesak kehendak kita pula? Ayuh.
Aminuddin Yahaya
Pengerusi PEMBELA