Kuliah Jumaat Ayah Chik pagi tadi antara lain menyebut berkenaan suruhan Rasulullah kepada seorang sahabat mengikuti jemaah, jangan tinggal sendirian.
Tidak sama sehari berjuang dalam jemaah berbanding 70 tahun beribadat sendirian.
Biasa kan, kita dengar kalau ada kawan-kawan kita yang marahkan PAS, majoritinya akan berkata dia tidak menyokong mana-mana jemaah pun.
Ironinya, sentiasalah PAS yang menjadi sasaran kritikan dia.
Ini adalah satu escapism.
Dia suka mengkritik semua orang (baca jemaah PAS) tidak betul, dalam masa yang sama, dia tidak mahu dikritik dengan menyembunyikan identiti atau menyatakan sokongannya kepada siapa.
Lebih sedih, dia akan cuba gunakan ayat ‘undi adalah rahsia’.
Orang sejenis ini adalah golongan yang perasan dia hebat.
Tapi dia hidup dalam kepura-puraan.
Dia malu mengaku dari mana-mana jemaah.
Sewajibnya, jemaah kita, mesti kita kena zahirkan.
Sebab melalui jemaah, kita akan mendapat ilmu Islam dan bersama masuk syurga.
Jika tiada jemaah kerana manusia sudah rosak, kamu mesti lari ke hutan-hutan atau ke bukit-bukit, makan daun-daun sehingga kamu mati.
Ini kerana mahu menyelamatkan diri dari kemusnahan aqidah.
Mati lebih baik.
Jika kamu tidak mahu memberitahu jemaah kamu yang kamu dakwa benar itu yang mana satu, tetapi dalam masa yang sama, kamu dakwa semua jemaah lain rosak, maknanya kamu telah menyembunyikan kebenaran.
Ini jelas dilarang oleh Rasulullah sebab Rasulullah menyuruh manusia berdakwah, tunjukkan kepada orang lain jalan yang lurus ke syurga Allah yang kamu sedang lalui.
Tunjukkan siapa ketua kamu dan asas perjuangan jemaah kamu.
Atau kamu tidak tahu siapa ketua kamu?
Atau sememangnya kamu tiada ketua?
Hanya perasan pandai?
Kalau begitu, bagaimana kamu mengetahui ilmu Islam ini sedangkan kamu juga jahil?
Siapa yang ajar kamu?
Dalam berdakwah, tiada istilah undi itu rahsia.
Kita bukan berada pada zaman seperti dakwah Rasulullah di Mekah, dalam keadaan lemah dan ketakutan.
Kita berada dalam negara kita sendiri yang diperintah oleh orang Islam.
Jadi kenapa takut menzahirkan kumpulan kita yang kita yakini menjalankan suruhan Allah.
Atau kamu tidak yakin yang kumpulan kamu mengikuti jalan yang Allah dan Rasulullah tunjukkan?
Sepatutnya kita berbangga dengan jemaah kita yang kita yakin dan percaya ia adalah jemaah Islam contohnya seperti PAS.
AKU MENYOKONG PAS.
Jelas, aku bangga sekali dengan pengakuan ini dan tidak takut dengan sebarang celaan orang kerana aku tahu jemaah ini berusaha sedaya upaya menjalankan suruhan Allah, walaupun ada kelemahannya.
Mohd Nasir Abdullah