Muktamar PAS Pusat ke-67 telah berakhir dengan tenang dan berjaya.
Inilah acara tahunan yang ditunggu-tunggu oleh semua ahli PAS.
Akan pulang semua perwakilan membawa inti perbincangan kepada ucapan dasar Presiden bagi dilaksanakan sebaik mungkin, untuk tempoh setahun.
Tujuh pesan Presiden, bertaqwa kepada Allah, setia dan taat, kukuhkan parti, mantapkan tarbiah, mantapkan organisasi, aktifkan jentera dan siapkan calon berwibawa, mesti diusahakan.

Dalam ketika parti-parti lain ada yang menangguhkan pemilihan parti mereka, PAS dengan tenang mengadakan pemilihan pimpinan parti, tanpa ada masalah, malah makin mengukuhkan kedudukan parti.
Bukan itu sahaja, sewaktu ada pimpinan PAS diturunkan dari jawatan menteri, iaitu satu kedudukan yang menjadi impian kepada semua ahli politik yang tidak bersandarkan kepada Islam, mereka tenang-tenang sahaja, tiada merajuk, tiada amarah.
Presiden menyuruh kita bertenang, mengikut firman Allah dalam surah al-Anfal yang jika musuh cenderung untuk berdamai, kita berdamai.
Kalau mereka mahu menipu, kita serahkan kepada Allah.
Kita tidak akan mampu menyatukan semua hati manusia walaupun kita membelanjakan seluruh harta di dunia ini.
PAS semenjak dahulu, tenang sahaja bila duduk dalam kerajaan dan mengambil setiap inci peluang yang ada walau sekecil mana untuk meyampaikan dakwah Islam.
PAS mengambil kaedah amar makruf nahi mungkar dengan tenang dan pasti, tanpa takut dibuang dari kerajaan.
Oleh kerana Islam sebagai asas, PAS dipercayai oleh semua parti yang bermasalah.
Setiap kali mereka ada masalah, mereka akan mencari PAS.
PAS tenang sahaja, boleh membantu asal ada keuntungan kepada Islam.
Ketika PAS cuba dimusnahkan, PAS tenang sahaja sehingga menimbulkan simpati daripada pegawai kerajaan dan akhirnya menjadi calon-calon PAS.
Apabila ada gangguan dalaman yang dibuat oleh orang PAS sendiri, beberapa dahan PAS patah, tetapi PAS menumbuhkan dahan baharu yang lebih banyak dan berkualiti.
PAS juga tenang dalam desakan menggunakan lambang apa di Melaka.
Sedangkan Rasulullah sanggup membuang perkataan ‘Rasulullah’ dalam perjanjian Hudaibiyyah, apa sangat menggunakan sebentar lambang PN.
Ketika orang mengajak membenci PAS, PAS tenang sahaja, malah hingga kini, mempunyai 7618 buah cawangan, 195 kawasan, 845,920 ahli yang aktif dan lebih kurang 50 ribu yang lain sedang dikenalpasti keaktifannya bagi proses pemutihan.
Indeks kepercayaan kepada kerajaan telah melebihi 80 peratus yang PAS ada di dalamnya.
Antara lain komen rakyat ialah PAS berlatar belakang agama, tetapi berjaya mengemudi kementerian bukan agama.
Jauh dengan kepercayaan kepada kerajaan PH dahulu.
Dalam kabinet, PAS tenang menyuarakan bantahan kepada semua benda yang berlawanan dengan kehendak Islam, tidak duduk diam sahaja.
Kemudian semua yang ada jawatan dari Adun sehingga menteri, tenang sahaja keluarkan derma wajib kepada PAS sehingga ada RM8 ribu sebulan.
Di belakang Pejabat Agung PAS, Lajnah Kebajikan PAS sentiasa tenang membantu mereka yang hidup secara gelandangan di lorong-lorong yang dianggap hina oleh masyarakat sehinggakan ada yang memeluk Islam.
Ketika parti-parti lain yang sedang bergelut, berebut, berbalah, melompat sana dan sini, PAS tenang sahaja, kedap kakinya, tidak bergerak dengan prinsip Islamnya.
Tiada yang melompat, tiada yang bergelut meminta menjadi calon.
Berbeza dengan parti lain, bak singa kelaparan merebut makanan dunia.
Tiada pihak yang boleh memperbodohkan PAS bagi menurut kata mereka.
Apatah lagi mengajak PAS berbuat onar dengan rakannya.
Nakhoda PAS begitu tenang melayari bahtera walaupun sedang dipukul gelombang yang mengganas.
Pemuda dan Ulamak telah jelas menerangkan supaya nakhoda jangan di ganggu, biarkan nakhoda mengemudi bahtera kerana nakhoda tahu keadaan gelora itu, bagaimana mahu dikendalikan.
InsyaAllah tiada gelombang musuh yang boleh menenggelamkan PAS.
Mari kita teruskan perjalanan ini dengan tenang, mengikut aturan pimpinan, insyaAllah selamat kita.
Sementara itu, kuatkan diri kita dengan ilmu dan ibadat supaya bantuan Allah sentiasa datang.
Ingat, kita PAS, bukan Pan
Mohd Nasir Abdullah
