Dari Kaca Mata Saya

Dari Kaca Mata Saya

Tahniah Menteri Besar Terengganu, YAB Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Kerajaan Negeri yang memperuntukkan RM1.657 billion untuk perbelanjaan mengurus bagi Belanjawan Terengganu 2022 berbanding RM1.375 bilion pada tahun ini.

Belanjawan bertemakan ‘Merakyatkan Sejahtera Untuk Semua’ adalah bertepatan sekali dan cakne buat rakyat Terengganu sekalian apatah lagi didokong lima teras utama dan diperkukuhkan dengan 147 inisiatif di bawah 22 objektif.

Saya melihat bahawa lima teras utama iaitu memperkuatkan daya tahan isi rumah, memperkukuhkan kesejahteraan sosial masyarakat, memperbaik ketersediaan kemudahan awam rakyat, memberdaya pertumbuhan ekonomi negeri dan memperindah persekitaran dan melindungi alam sangat wajar dan realistik.

Terima kasih jua Belanjawan 2022 memperuntukkan RM40 juta untuk perbelanjaan bekalan air manakala sebanyak RM600 juta untuk perbelanjaan pembangunan.

Di bawah perbelanjaan pembangunan, sebanyak RM436.92 juta diperuntukkan untuk sektor sosial merangkumi pendidikan, infrastruktur dan kemudahan awam, pembangunan bandar dan luar bandar serta sukan dan perumahan.

Saya berterima kasih jua kepada keprihatinan YAB Menteri Besar yang akan menyalurkan bantuan raya menerusi i-Fitri kepada seramai 115,000 rakyat yang layak pada tahun depan membabitkan peruntukan kira-kira RM33.47 juta.

Alhamdulillah, bantuan berjumlah RM400 akan disalurkan kepada 31,500 isi rumah miskin manakala bantuan RM250 pula diberikan kepada 83,500 isi rumah berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000.

Syukur kerana bantuan berkenaan akan disalurkan menjelang hari raya nanti dan diharapkan ia dapat menyokong kewangan kesemua isi rumah B40 dan sebahagian isi rumah M40 supaya dapat meraikan Aidilfitri dengan lebih meriah dan berkat selepas dua tahun menyambutnya dengan penuh keterbatasan, itu kata Menteri Besar kita yang dikasihi.

Razali Idris

Kolumnis