Kenyataan Media PPBM

Kenyataan Media PPBM

Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) telah mengadakan mesyuarat khas pada 25 November 2021 yang dipengerusikan oleh Presiden, YB Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin bin Hj. Mohd. Yassin.

Mesyuarat MPT telah membincangkan analisis keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November 2021 dan keputusan tersebut membuktikan bahawa Perikatan Nasional adalah parti yang mempunyai pengaruh serta sokongan yang kukuh dalam kalangan pengundi PRN Melaka di mana BERSATU adalah salah satu parti komponen Perikatan Nasional bersama PAS dan GERAKAN.

BERSATU merakamkan ucapan terima kasih kepada pengundi PRN Melaka yang telah mengundi dan memberi sokongan kepada calon-calon daripada BERSATU dan parti komponen Perikatan Nasional yang lain iaitu PAS dan GERAKAN.

Sokongan ini adalah manifestasi penerimaan baik rakyat terhadap Perikatan Nasional dan parti-parti komponennya.

Susulan itu, BERSATU telah mengenalpasti kelemahan semasa PRN Melaka lalu dan akan mengambil langkah penambah-baikan dengan segera.

Berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2021 pula, BERSATU telah memutuskan untuk mengadakan perbincangan lanjut bersama parti-parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menentukan strategi dan persiapan menghadapi PRN Sarawak 2021 dan sekaligus untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Selain itu, Mesyuarat Khas MPT BERSATU juga telah memperakukan dan menerima permohonan Ahli Parlimen Lahad Datu yang juga merupakan ADUN Segama, YB Datuk Mohammadin Bin Ketapi sebagai ahli BERSATU yang baharu.

BERSATU menyambut baik keahlian beliau kerana ianya bukan sahaja bakal mengukuhkan lagi kedudukan Kerajaan Negeri Sabah pimpinan Ketua Menteri YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor, malahan ianya juga akan memberikan manfaat yang besar kepada pembangunan serta kebajikan rakyat di Parlimen dan DUN yang beliau wakili.

BERSATU juga memutuskan untuk mengadakan Persidangan Agung Tahunan (PAT) BERSATU ke-5 yang akan diadakan pada 18 dan 19 Disember 2021 di PICC, Putrajaya yang bakal dihadiri oleh 1,600 perwakilan daripada seluruh negara secara fizikal.

Justeru, selamat bersidang diucapkan kepada semua perwakilan Mesyuarat Agung Bahagian di seluruh negara yang akan bermula 26 November sehingga 28 November 2021.

DATO’ SERI HAMZAH ZAINUDIN

SETIAUSAHA AGUNG

Parti Pribumi Bersatu Malaysia

Politik