Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak berani langsung menyebut nama Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengulas isu pengeluaran skim i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Sebaliknya, Zahid menuding jari ke arah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, supaya melanjutkan pengeluaran i-Citra yang dijadual berakhir bulan ini.
Untuk rekod, pengeluaran i-Citra diperkenal Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Julai lalu bagi membolehkan kira-kira 12.6 juta ahli KWSP membuat pengeluaran sehingga RM5,000, dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan selama lima bulan.
Muhyiddin yang juga Perdana Menteri (PM) ketika itu berkata kerajaan juga bersetuju untuk memberikan moratorium enam bulan kepada semua peminjam individu, sama ada dari golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro.
Bagaimanapun, skim kemudahan itu akan berakhir bulan ini sebagaimana ditetapkan pada peringkat awal menyebabkan beberapa pihak, terutama UMNO mendesak ia diteruskan atau kerajaan membenarkan pengeluaran one-off RM10,000.
Namun, desakan-desakan UMNO, termasuk yang dibuat Zahid tidak ditujukan kepada Ismail Sabri. Sebaliknya dalam kenyataan dikeluarkan sama ada Zahid atau Pemuda UMNO lebih menjurus kepada Tengku Zafrul.
Contohnya, semalam Zahid dalam kenyataan mengulas isu i-Citra yang akan berakhir bulan ini mendakwa ramai berharap Tengku Zafrul memenuhi permintaan rakyat supaya menyambung skim i-Citra itu.
Zahid sepatutnya mendesak atau meminta Ismail Sabri melanjutkan skim berkenaan kerana sebagai PM tentunya beliau mempunyai kata putus dan boleh memberi arahan kepada Menteri Kewangan untuk bertindak.
Tidak seperti ketika Muhyiddin menjadi PM sebelum ini di mana Zahid dan UMNO menyerang beliau terus, bukannya menteri-menteri di dalam Kabinet yang menjaga kementerian tertentu.
Segala kesalahan diletakkan di bahu Muhyiddin, sedangkan bekas PM itu telah melancarkan pelbagai bantuan dengan peruntukan berbilion-bilion ringgit, termasuk kemudahan pengeluaran i-Citra.
Dalam kenyataannya semalam Zahid antara lain berkata:
“Jika ada istilah ‘long covid’ dalam aspek kesihatan, ini pula boleh dianggap sebagai ‘long covid’ dalam aspek ekonomi. Justeru, ramai berharap Menteri Kewangan memenuhi permintaan rakyat supaya menyambung skim i-Citra.
“Pencarum yang mempunyai simpanan mencukupi wajar dibenarkan untuk mengeluarkan wang mereka sekali lagi. Sekurang-kurangnya mereka dapat bertahan sedikit masa lagi dengan harapan keadaan akan bertambah baik selepas itu.”
Zahid tidak pun mendesak Ismail Sabri – yang lebih rendah kedudukan dalam hierarki UMNO – memberi arahan kepada Tengku Zafrul supaya menyambung kemudahan skim i-Citra.
Tetapi, ia tidak mengejutkan kerana pengaruh Zahid dalam kalangan ahli Majlis Tertinggi (MT) dan akar umbi sudah semakin malap.
Malah aura Zahid dalam mesyuarat MT juga sudah hilang, sebaliknya kini hanya menjadi jaguh dalam media sosial.
Pemilihan parti sahaja yang akan menentukan kedudukan Zahid selepas ini.
Keadaan itu boleh dilihat ketika cadangan Zahid dan penyokongnya dalam MT supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan segera, ditolak Ismail Sabri dan pemimpin UMNO lain.
Malah, cadangan MT supaya PRU15 diadakan dalam masa terdekat juga ditolak oleh Kelab Penyokong Kerajaan Keluarga Malaysia (BBC) yang majoritinya dianggotai Ahli Parlimen UMNO dan PN, sebaliknya mereka mahu Ismail Sabri terus menerajui negara sehingga tamat penggal pada 2023.