Kenapa Hanya Merujuk Kepada Hutan Simpan Lentang?

Kenapa Hanya Merujuk Kepada Hutan Simpan Lentang?

Saya keliru dengan kenyataan penjelasan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) berhubung banjir lumpur berserta sisa kayu dan balak yang luarbiasa, melanda lembangan rangkaian Sungai Semantan dari Telemong, Bentong dan Karak hinggalah ke Lanchang, Mentakab dan Temerloh (Kuala Sungai Semantan) KERANA ia HANYA MERUJUK kepada pembalakan yang dikatakan tidak berlaku di HUTAN SIMPAN LENTANG sahaja.

Persoalannya:

1. Adakah banjir yang berlaku di rangkaian Sungai Semantan itu hanya berpunca dari apa yang dikatakan “kepala air” yang datang dari Hutan Simpan Lentang sahaja?

2. Tidakkah kepala air itu juga datang dari Hutan Simpan Bukit Tinggi dan kawasan sekitarnya seperti Genting Highlands dan Janda Baik yang sudah digondolkan begitu teruk bukan hanya dengan kegiatan pembalakan tetapi juga penerokaan hutan bagi tujuan pembangunan mewah dan pertanian haram?

3. Kenyataan itu juga menafikan kegiatan pembalakan di hutan tanah kerajaan Sungai Gapoi turu menjadi punca banjir berkenaan kerana kedudukannya 16 kilometer ke Jambatan Telemong dan 23 kilometer ke Jalan Bentong-Karak.

Berapa jauhkah jaraknya Hutan Simpan Lentang ke dua lokasi berkenaan dan kenapa ia tidak dinyatakan?

Mungkinkah jaraknya lebih jauh dari Sungai Gapoi?

4. Bagaimana pula dengan pembalakan berkaedah GONDOL DAN PAJAK di Hutan Simpan Lakum dan sekitarnya, yang dilapor turut menambah buruknya banjir lumpur beserta sisa kayu dan balak di lembangan Sungai Semantan terutama dari Lanchang hingga ke Mentakab dan Temerloh?

Kenapa JPNP tidak mengulas pembalakan yang sahih dan nyata ini?

Jika kawasan di hulu Sungai Semantan seperti Telemong dan Perdak menerima kesan terjahan “kepala air banjir lumpur balak” yang sangat dahsyat seperti yang dipaparkan semalam, kawasan di hilir juga tidak kurang kesan kemusnahannya walaupun kepala air sudah bertukar menjadi “ekor air banjir lumpur balak”.

Begitulah dahsyatnya musibah banjir lumpur balak yang membadai kehidupan rakyat marhaen di Lembangan Sungai Semantan akibat penjarahan hutan tanah tinggi di Daerah Bentong walaupun hujan lebat cuma dua hari.

Ketika menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir berkenaan di Kampung Sungai Dingin dan Gantuk, Temerloh, saya melihat beberapa rumah rakyat, hanyut dan musnah diterjah “tongkol” kayu balak yang hanyut dibawa arus dari hulu.

Menurut penduduk, banjir yang melanda perkampungan mereka kali ini melepasi paras banjir besar pada tahun 1971.

Ikuti rakaman temubual Wartawan Tua dengan penduduk terbabit serta visual dan gambar bukti kemusnahan ini.

Oleh KHAIDIR AHMAD

Kolumnis