Soalan DS Najib ini, saya boleh berikan jawapan, bagi mewakili gambar Presiden PAS.
DS Najib gagal memahami apa punca larangan yang dikenakan kepada beliau oleh agamawan.
Dalam cuba membersihkan dirinya, DS Najib hanya membandingkan pakaian sahaja sebagai tanda aras kesamaan beliau dan orang lain tetapi lupa memasukkan sekali unsur MASA dan TEMPAT yang bagaimana dilarang agama.
Saya antara jurukamera yang hadir bagi mengambil gambar Presiden PAS yang waktu itu dalam program ucapan khas kepada wakil DHPP Malaysia dalam kongres mereka di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, sehari sebelum Muktamar PAS ke-64.
Beliau diberikan kalungan bunga yang mana, semua manusia di Malaysia tahu ia adalah adat kaum India meraikan tetamu.
Tiada unsur keagamaan.
Manakala DS Najib pula berada dalam program perayaan keagamaan Thaipusam di Kuil Hindu di Batu Caves.
Jelas, kerana beliau sendiri mengaku.
Pakaian yang dipakai oleh semua pemimpin dalam gambar itu, termasuk pakaian DS, tiada salahnya jikalau bukan pakaian ritual keagamaan agama lain (kecuali DS Anwar yang meletakkan tanda di dahinya itu).
Tetapi tempat dan masa yang membezakan semua itu, termasuk bagaimana meraikannya, seperti turut menyalakan lilin keagamaan dan sebagainya.
Bagi pimpinan yang lain, saya tidak tahu program yang bagaimana yang sedang mereka ikuti dan di mana.
Jadi saya tidak bercadang mengulas bagi pihak mereka.
Bandingkan epal dengan epal DS, jangan bandingkan epal dengan buah geduak…..apa lagi yang berkaitan dengan aqidah.
Mohd Nasir Abdullah