MB UMNO Johor Menipu

MB UMNO Johor Menipu

PAS Johor menafikan dakwaan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad bahawa mereka menolak tawaran empat kerusi daripada UMNO dan lebih tertarik kepada tawaran 15 kerusi daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin sebaliknya berkata, sehingga kini masih tiada sebarang perbincangan mengenai pengagihan kerusi yang dibuat antara kedua-dua parti berkenaan.

Jelas beliau, PAS Johor kekal komited dengan usaha memperkukuh pemuafakatan antara mereka menerusi kerjasama Muafakat Nasional (MN).

“Merujuk kepada video yang tular apabila Pengerusi UMNO Johor yang mempersoal kejujuran PAS dalam MN apabila menolak tawaran empat kerusi daripada UMNO dan lebih tertarik kepada tawaran 15 kerusi daripada Bersatu.“

PAS Johor ingin menegaskan bahawa setakat ini belum ada perundingan atau perbincangan dibuat bersama UMNO Johor tentang pengagihan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan juga Pilihan Raya Umum (PRU), apalagi pendirian menolak kerusi DUN,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Selain itu, Abdullah turut menafikan penglibatan mereka dengan menyokong calon Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai sebelum ini sebaliknya, jentera PAS Johor digerakkan sepenuhnya untuk berkempen dan menyokong calon Barisan Nasional daripada MCA pada ketika itu.

Tambahnya, mereka sebagai rakan dalam MN sentiasa berlapang dada dan terbuka untuk terus komited dengan usaha memperkukuh pemuafakatan itu.

“Sehubungan itu, PAS Johor menyeru dan berharap apa jua isu berbangkit dapat diperbincang secara ukhwah melalui perundingan agar hubungan yang terbina akan terus terjaga.“

Pendekatan ini penting bagi mengelak salah faham disamping dapat mengelak andaian dan laporan yang mengelirukan di media sosial.

Justeru itu, PAS Johor sentiasa mengalu-alukan sebarang usaha ke arah memperkukuh pemuafakatan ini demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara,” jelasnya.

Pada 22 Januari lalu, Hasni yang juga merupakan Menteri Besar Johor dilaporkan berkata pihaknya berhasrat untuk bertanding secara bersendirian dalam PRN Johor tanpa menjalin kerjasama dengan mana-mana parti lain.

Politik