Taman Permainan MBKT Batu Burok, Jadi Buruk, Siapa Yang Buruk?

Taman Permainan MBKT Batu Burok, Jadi Buruk, Siapa Yang Buruk?

MBKT sudah mengambil tindakan.

Rupanya sudah banyak kali berkarat kata MBKT.

Dan memang lama dulu, aku sendiri pernah tengok masa layan anak-anak main.

Aku laporkan kepada Sinar.

Sinar kata dalam makluman MBKT, sebab laporan sudah dibuat.

Selepas tu, ada sebahagiannya, MBKT buat guna konkrit setelah beberapa kali kejadian berkarat berlaku.

Ya lah, dah tempatnya tepi pantai Laut Cina Selatan, dengan anginnya yang kuat, faham-faham sahajalah.

Musuh PAS pakat gelak, ‘komplen’ sebab apa buat gelongsor konkrit, itu, ini dan macam-macam.

Sampaikan orang PAS sendiri tumpang sekaki.

Yang spesis begini, memang jenis asli pembangkang, asal boleh bangkang, dia rasa seronok.

Rupa-rupanya, dekat tempat lainpun sudah ada guna yang konkrit.

Sebab karat dan kos. Samada MBKT tiru atau mereka yang tiru MBKT, itu tidak pasti.

Tetapi MBKT tidak keseorangan.

Cuma aku setuju dengan kritikan ramai, tiada lantai getah khas atau nama apa aku tak tahu dan tempat yang berlubang-lubang.

Lantai khas itu, boleh kurangkan risiko kecederaan kepada budak-budak, berbanding lantai simen.

Ini sahaja isu besar yang aku nampak, masalah gelongsor buat daripada konkrit, budak-budak payah nak main, bukan isupun.

Budak-budak, dapat kayu sebatangpun dia orang boleh main juga.

Adalah rekaan dia tu nanti.

Aku tulis tajuk ini sebab nak bagitahu kepada semua pembaca yang sekarang dah dekat dengan PRU.

Tidak mengapalah agak lambat sedikit tajuk ini, namun belum basi lagi.

Kerana isu taman permainan kanak-kanak ini, telah dijadikan isu politik.

Sepatutnya MBKT yang bertanggungjawab menyelenggara fasiliti ini, tetapi sebaliknya Kerajaan Negeri pula yang kena.

Yang kritik baik-baik, kita faham, mereka sayangkan anak-anak, tanpa berniat serong.

Kita kena tajamkan sedikit penglihatan kita kepada komen-komen yang sengaja dibuat untuk pecah panggung, dipalitkan dengan PAS sebagai kerajaan.

Mereka mahu tanamkan kebencian ramai kepada orang yang salah, iaitu musuh mereka, biarpun bukan tanggungjawab sebenar Kerajaan Negeri.

Mereka mahu wujudkan tekanan, supaya Kerajaan Negeri masuk campur, lalu MBKT diketepikan dalam wayang ini, dan serangan dilakukan terhadap Kerajaan Negeri pula.

Kumpulan sebeginilah yang akan menambahkan lagi cerita lain, bersambung-sambung walaupun bohong.

Hampir sama dengan cerita sampah beberapa minggu lepas.

Yang bertanggungjawab, MBKT dan kontraktor.

Yang menjadi pendamai, Kerajaan Negeri, tetapi yang dimangsakan oleh kumpulan penyerang politik, ialah Kerajaan Negeri.

Untuk rekod, isu sampah adalah antara isu yang berjaya menjatuhkan PAS Terengganu pada tahun 2004 dahulu.

Orang lama PAS pun ada yang masih terjebak, marahkan Kerajaan Negeri. Tak faham aku.

MBKT ialah sebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Walaupun Malaysia tidak membuat pilihanraya bagi PBT, tetapi setiap PBT ada pengurusan mereka sendiri.

Taman permainan sebegini ada di bawah satu pengurusan mungkin unit riadah atau kemudahan awam.

Jadi staf unit inilah yang wajib memastikan semua fasiliti yang perlu disediakan termasuklah penyelenggaraan.

Bukannya Exco malah bukan tugasan Ahli Majlis juga.

Tidak akan masuk dalam agenda Mesyuarat Exco bagi meluluskan peruntukan baiki taman permainan.

Itu kerja bodoh.

Cukai-cukai perniagaan (kalau kerajaan dahulu ada cukai pintu), peruntukan tahunan daripada Kerajaan Negeri kepada PBT dan juga berbagai hasil lain adalah nadi penggerak kepada PBT untuk mengurus pentadbiran mereka.

Jadi dengan wang hasil ini, Datuk Bandar dan pengurusannya akan merancang dan meluluskan belanjawan PBT.

Bajet taman permainan ada dalam pecahan kecil peruntukan.

Soalan yang mesti ditanya, berapakah kekerapan unit yang menjaga taman permainan ini turun padang, menyelenggara, mencari kerosakan dan memproses aduan-aduan?

Jika ia dalam kekerapan yang munasabah beserta laporan lengkap, maka soalan akan ditanya pula, apa tindakan ketua unit?

Apabila ketua unit juga sudah menjalankan tanggungjawabnya, soalan itu akan beralih pula kepada siapa yang meluluskan peruntukan atau yang ditugaskan mencari kontraktor bagi melaksanakan kerja-kerja itu.

Selepas itu, akan ditanya lagi, apakah kerja berjalan sebagaimana masa dan kualiti yang dipersetujui dalam kontrak?

Soalan ditolak lagi ke atas, apa tindakan MBKT jika kerja-kerja yang dibuat tidak mengikut piawaian?

Akhirnya semua persoalan itu akan terhenti kepada Datuk Bandar sahaja, tidak akan sampai kepada Exco Kerajaan Negeri.

Malah aku teramat yakin, tidak akan sampai walaupun kepada Datuk Bandar kerana terlalu bodoh orang yang diberi tanggungjawab dalam unit ini, tidak dapat menyelesaikan masalah taman kanak-kanak rosak, sehingga Datuk Bandar atau Exco perlu masuk campur.

Dan ternyata benar, bahawa orang yang bertanggungjawab dengan taman permainan kanak-kanak ini, telah berjaya menjalankan amanah dan menyelesaikan masalah ini.

Hanya sahaja ada netizen yang tidak faham, kemudiaannya memfitnah, menghasut orang lain, supaya isu ini dipalitkan dengan Kerajaan Negeri, sekaligus mahu nama PAS menjadi buruk.

Aku harap semua faham, ‘flow chart’ yang mudah itu.

Next, cerita Taman Tamadun Islam pula.

Nampak sekarang di sana rancak, di sini rancak, tak berdosa ke, cakap apa yang engkau tak tahu?

Mohd Nasir Abdullah

Terengganu