Taman Tamadun Islam: Dari Gajah Putih Kepada Naga Putih

Taman Tamadun Islam: Dari Gajah Putih Kepada Naga Putih

Alhamdulillah isu yang sedang dimainkan pembangkang Kerajaan Terengganu sekarang ini, iaitu Masjid Taman Tamadun Islam (TTI) yang kononnya terbiar rosak kerana tidak diambil cakna oleh Kerajaan Negeri, hanyalah isu yang memalukan mereka sendiri.

Ibarat kata bagai meludah ke langit, tak sempat lari, bertepek air liur itu kena atas muka mereka sendiri.

Saya suka membawakan sesuatu isu dari mula, supaya mudah difahami.

TTI adalah salah satu projek pembaziran atau mungkin boleh saya katakan sebagai projek meraikan kemenangan merampas negeri Terengganu pada tahun 2004.

Saya sudah berkali-kali menyebut, sebanyak kira-kira RM1 bilion duit rakyat, telah dibuang di muara Sungai Terengganu begitu sahaja waktu itu, termasuk D’Riyaz yang kemudiannya ditukar kepada Duyung Marina Resort, penganjuran Monsun Cup dan lain-lain.

Rakyat melopong.

Ia mula dibina pada tahun 2005 dan siap pada tahun 2008.

Perhatikan tahunnya.

2004, Dato’ Seri Idris Jusoh menjadi MB, 2008 Dato’ Seri Ahmad Said naik menggantikan beliau.

Perangai Umno, apabila MB yang naik, mereka akan membuat satu projek yang besar untuk dijadikan kenangan sebagai MB.

Jadi Ahmad Said, membina tugunya di Kenyir.

Setelah enam tahun, Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman pula naik, dan beliau membina Drawbridge.

Kemudian, projek lama kawan mereka itu, biasanya, kurang diberi perhatian.

Namun kedua mereka tidak sempat merasmikan projek-projek besar mereka kerana kedua-duanya diturunkan jawatan sebagai MB.

Satu kerana projek gagal disiapkan, beliau dipecat, satu lagi kerana kalah PRU.

Oleh itu projek-projek besar Umno, menjadi terbengkalai atau tidak dipedulikan sangat oleh pengganti Umno sendiri.

Begitulah nasib TTI.

Kerosakan mula dikesan pada tahun 2013, dimana, Masjid TTI didapati bocor.

Pembaikan demi pembaikan dilakukan, tetapi ia semakin membarah.

Menjadi rutin imam dan bilal masjid, menadah baldi, apabila hujan.

Dengan kos RM250 juta bagi keseluruhan TTI, maka tidak munasabah, masjid yang menjadi ikon pelancongan negeri ketika itu, rosak bertahun-tahun.

Kenapa begitu?

Sebab utamanya ialah TTI hanya untung beberapa kali sahaja sepanjang mereka beroperasi.

Ia sentiasa rugi, duit rakyat terpaksa di’top-up’ setiap tahun.

Hanya sahaja, cerita ini ditutup dan tidak dihebahkan, maka TTI kelihatan dari luar, sangat cantik, menguntungkan, menjadi kebanggaan negeri (hanya kepada penyokong tegar Umno).

Ia seperti ‘iceberg’.

Nun, di bawah sana, masih berlambak masalah yang dihadapi.

Masalah tidak berlaku kepada masjid sahaja, tetapi juga kepada 22 monumen yang dibina yang mengikut binaan sebenar seni bina Islam yang terkenal yang terdapat di serata dunia.

Semua itu memerlukan baik pulih yang besar.

Monumen istana Al-Hamra iaitu binaan yang ada di Granada, Sepanyol, terpaksa ditutup terus kerana berisiko runtuh dan sebagainya.

Hanya sebentar sahaja dibuka.

Kerajaan Negeri terpaksa mengeluarkan sebanyak RM1.2 juta setahun bagi TTI.

Mujur ada sedikit pengumuman bantuan daripada Kerajaan Pusat sebanyak RM8.9 juta bagi TTI.

Namun, masih belum diterima.

Adakah anda rasakan ia jumlah yang sedikit membuang wang rakyat sebegitu?

Apabila PAS menang, maka antara lain hasrat Exco Pelancongan, Ustaz Ariffin Deraman ialah untuk menjadikan TTI kembali sebagai tarikan pelancong.

Exco Dakwah, Ustaz Mohd Nor Hamzah, mahu TTI dijadikan sebagai Pusat Dakwah Serantau bagi Pantai Timur.

Manakala Ustaz Satiful Bahari, Exco Pendidikan, bersetuju untuk dibina Pusat Tafaqquh Fiddin Tok Syeikh Duyung.

Namun kerana takdir Allah, TTI sempat berfungsi hanya sekejap sebelum Covid melanda, dengan beberapa acara keagamaan, termasuklah pentas dakwah lakonan Nasir Bilal Khan.

Ia kemudiannya sepi sehingga awal tahun 2022, sebelum diserang oleh musuh Kerajaan Negeri yang sangat bimbang dengan perancangan baik ini yang bakal menaikkan Islam.

Saya yakin, mereka bencikan dakwah Islam, takut Islam berkembang, mereka pasti akan kalah lagi selepas ini.

Apa kesannya yang lain dengan perancangan pengurusan TTI ini?

Ya Masjid TTI.

Dengan terbinanya Pusat Tafaqquh Fiddin ini nanti, maka TTI akan mempunyai penghuni tetap.

Apabila ada yang tinggal di situ, masjid itu akan dapat berfungsi sebagai masjid yang dibenarkan solat Jumaat.

Ingatkah dahulu dengan isu yang masjid ini tidak boleh dijadikan masjid jamek Jumaat kerana tiada penghuni?

Orang PAS tahu macamana mahu mengimarahkan masjid, kerana orang PAS ialah ‘kaki masjid’.

Begitulah perangai PAS.

Walaupun binaan ini adalah binaan Umno, tetapi kerana ia wang rakyat, maka PAS tidak meruntuhkannya.

Kerana ia duit marhaen, maka PAS mengusahakan untuk dijadikan bermanafaat dari segi dunia dan akhirat.

Kerana amanah kepada rakyat, maka PAS akan pastikan rakyat mendapat kembali hasil wang mereka.

Kalau diikutkan benci, boleh sahaja dendam dilangsaikan.

Tetapi ia dikira dosa dan pahala.

Tujuan utama kita hidup di dunia ini ialah untuk beribadat kepada Allah.

Saya meyakini kebolehan Haji Bukhori Ghazali sebagai Pengurus Besar TTI yang telah dan sedang melaksanakan beberapa langkah untuk menjadikan TTI satu tarikan pendidikan dan hiburan.

Selain daripada memanah, berkuda, bot dalam tasik, river cruise, beliau juga sedang berbincang untuk membuka belon udara panas, bersiar dengan helikopter.

Dan sekarang menunggu persetujuan bagi pendaratan kapal terbang dalam air, sekaligus akan membuka jalan pelancongan ke pulau-pulau ketika musim tengkujuh.

Sama-sama kita doakan beliau berjaya.

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis