Ketika artikel ini ditulis, ketegangan antara Rusia dan Barat semakin memuncak walaupun jalan penyelesaian diplomasi masih lagi berterusan antara diplomat Rusia yang diwakili oleh Menteri Luarnya, Sergey Lavrov dan Barat yang diwakili oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat Anthony Blinken.
Tindakan Amerika Syarikat mengeluarkan diplomat dan kakitangan kedutaannya dari Kviy, Ukraine memberi gambaran bahawa jalan diplomasi bakal buntu dan menunggu masa sahaja peperangan bakal berlaku.
Tindakan sama juga dilakukan oleh Britain baru-baru ini dengan mula mengeluarkan sebahagian kakitangan kedutaannya di Kviy, Ukraine.
Ketika ini Amerika Syarikat, Kanada dan Britain sudah memulakan penghantaran bantuan ketenteraan kepada Ukraine seperti pelancar roket Javelin dan pelbagai peralatan ketenteraan.
NATO juga telah mula mengerahkan anggota tentera tambahan daripada negara anggotanya ke Ukraine dalam usaha persediaan untuk menghadapi konflik yang semakin meruncing.
Keadaan menjadi semakin tegang apabila Setiausaha Negara Amerika Syarikat mengesahkan bahawa Amerika Syarikat telah menghantar jawapan bertulis terhadap “security demand“ yang dikehendaki oleh Rusia di mana ia menjelaskan kepada Rusia bahawa Barat tidak akan berkompromi dan menolak tuntutan Rusia.
Ia memberi gambaran bahawa jalan diplomasi semakin pudar.
Berdasarkan situasi semasa, ramai penganalisa geopolitik antarabangsa berpendapat krisis Ukraine-Rusia bermungkinan akan membawa bencana peperangan namun masih ada yang skeptikal mengambilkira faktor keselamatan serantau serta kebergantungan Eropah terhadap Rusia seperti bekalan gas.
Namun begitu ramai yang masih kabur tentang mengapa Rusia begitu “ambil pusing“ tentang Ukraine dan mengapa Barat begitu bersungguh-sungguh mempertahankan Ukraine.
Jika dilihat sekali imbas, Ukraine dan bekas negara-negara Soviet Union yang lain seperti Belarus, Kazakhstan, Latvia, Georgia dan lain-lain lagi adalah umpama “buffer zone“ kepada Rusia kerana berada di sekeliling Rusia dan kebanyakkan daripada pemimpin negara-negara tersebut adalah sekutu kuat kepada Vladimir Putin.
Sejak sekian lama Barat telah berusaha untuk memujuk negara-negara tersebut supaya menyertai NATO ataupun menjadi sekutu mereka namun hanya sebilangan kecil yang telah beralih arah tetapi negara-negara yang berpaling kepada Barat tidak begitu mempunyai kepentingan strategik kepada Rusia seperti kedudukan strategik, ekonomi dan aset-aset ketenteraan peninggalan Soviet Union.
Jika Rusia membenarkan negara-negara sekutu kuatnya beralih kepada Barat, maka ia akan menjadi ancaman besar terhadap Rusia dalam usaha memperkukuhkan kedudukannya dalam senario geopolitik dunia sebagaimana saat ini di mana ancaman tersebut akhirnya akan menjadi seperti “cold war“ yang menyaksikan kejatuhan Soviet Union yang kemudiannya memporak-perandakan empayar negara komunis tersebut.
Rusia tidak akan membenarkan senario kejatuhan Soviet Union 30 tahun lalu berulang kembali.
Natijahnya satu persatu wilayah-wilayah yang dahulunya menjadi sebahagian daripada Soviet Union telah mengisytiharkan kemerdekaan termasuk Ukraine.
Tindakan Ukraine untuk menyertai NATO adalah “garisan merah“ yang tidak dapat diterima sama sekali oleh Kremlin kerana ia umpama mencucuk kayu ke dalam lubang hidung beruang“.
Justeru itu dengan segera Vladimir Putin mengerahkan lebih 100 ribu bala tentera Rusia ke sempadan Ukraine dan menggugut akan menyerangnya jika hasratnya itu diteruskan.
Apa yang menarik adalah pendirian Barat nampaknya berbelah bahagi dengan beberapa buah negara Eropah seperti Perancis dan Jerman memberikan tekanan ke atas Amerika Syarikat agar diselesaikan konflik ini dengan diplomasi bagi mengelak sebarang pertembungan bersenjata dengan Rusia yang mana akibatnya adalah besar terhadap Eropah.
Negara-negara tersebut amat memahami kerana jika berlakunya senario peperangan dengan Rusia, maka kesannya sangat besar terhadap sosio ekonomi Eropah kerana sebahagian besar bekalan gas yang disalurkan ke Eropah adalah datangnya daripada Rusia.
Jerman sebagai contoh amat berhati-hati dalam menghadapi situasi konflik Rusia-Ukraine seperti menjarakkan diri daripada konflik ini.
Ketua Tentera Laut Jerman, Laksamana Kay Achim Schoenbach meletakkan jawatan baru-baru ini setelah dikecam hebat samada di Jerman mahupun di peringkat antarabangsa gara-gara komentarnya di satu majlis di New Delhi, India yang dilihat menyokong Rusia.
Tindakan Jerman yang hanya menghantar 5,000 topi untuk anggota tentera Ukraine bukannya senjata seperti Britain menerima kecaman hebat di peringkat antarabangsa dan dikritik oleh pemimpin negara Ukraine seperti Datuk Bandar Kviy, Vitali Klitschko yang menyifatkannya sebagai tidak masuk akal.
Perancis pula ketika ini sedang mengusahakan perbincangan yang dikenali sebagai “Normandy Talk“ yang akan berlangsung pada bila-bila masa sahaja minggu ini di antara Perancis, Jerman, Rusia dan Ukraine dalam usaha meredakan ketegangan yang berlaku di mana ia amat bertentangan dengan sikap dan usaha sekutu-sekutu Barat lain seperti Amerika Syarikat dan Britain.
Namun jika dilihat secara keseluruhan, kita mampu melihat hanya Amerika Syarika dan Britain sahaja yang seolah-olah bersungguh-sungguh mahu peperangan berlaku.
Dengan segala media-media utama mereka di seluruh dunia yang nampaknya memaparkan propaganda bahawa peperangan bakal berlaku, keadaan krisis antara Rusia-Ukraine mungkin sampai ke kemuncak hingga berlakunya peperangan.
Jika dilihat saat ini, terdapat dua krisis utama geopolitik dunia yang sedang berlaku iaitu di Laut China Selatan dan Ukraine selain krisis di Asia Barat yang membabitkan Yaman, Syria, Lubnan, Sudan, Iraq dan Palestin.
Dua krisis tersebut membabit pertembungan langsung kuasa besar dunia iaitu Rusia dan China yang bertembung dengan seteru utama mereka iaitu Amerika Syarikat dan sekutu utamanya seperti Britain, Perancis dan beberapa negara Eropah lagi serta India.
Hakikatnya, pertembungan geopolitik tersebut berlaku akibat terhakisnya kuasa Amerika Syarikat dan sekutunya saat ini terutamanya ketika Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat.
Bukan sahaja kekuatan geopolitik dan ketenteraan, tetapi juga kekuasaan ekonomi juga turut terhakis diancam kekuatan ekonomi China yang saat ini telah hampir menjadi kuasa terbesar ekonomi dunia mengatasi Amerika Syarikat.
Jika dibiarkan berlarutan, Rusia juga mungkin menurut jejak langkah China dalam membangunkan ekonominya hingga mampu menjejaskan keseimbangan ekonomi dunia yang dikawal sejak sekian lama oleh Barat terutamanya Amerika Syarikat.
Untuk mengekalkan keseimbangan pola geopolitik dan ekonomi dunia yang dikawal oleh mereka, maka Rusia dan China harus disekat.
Dengan mengeksploitasi setiap isu serta konflik yang ada demi untuk mengekalkan kuasa imperialisme mereka, Ukraine dan Laut China Selatan menjadi medan yang memungkinkan negara tersebut dan kawasan sekitarnya menjadi “collateral damage“ yang akan mengambil masa yang lama pulih kembali.
Satu sudut yang perlu dilihat secara mendalam, peperangan sebenarnya adalah satu jenis perniagaan yang amat menguntungkan.
Penjualan senjata, pembangunan semula, penjanaan sumber asli, tentera upahan dan mengeksploitasi kedudukan strategik sesebuah negara adalah amat menguntungkan selain daripada menjadi medan ujian senjata.
Lihat sahaja apa yang berlaku di Afghanistan dan Iraq, peperangan yang dicetuskan menyebabkan hasil bumi mereka disedut untuk menampung perbelanjaan peperangan dan menjadi medan ujian senjata terbaharu tentera-tentera asing selain daripada kehadiran ribuan tentera upahan dengan nilai kontrak ratusan juta dolar yang bertapak ke negara-negara tersebut.
Adapun kesan buruknya seperti krisis pelarian, kebuluran dan ekonomi ditanggung oleh negara-negara tersebut hingga hampir menjadikannya muflis disamping mengenakan pelbagai sekatan yang hampir meranapkan ekosistem negera-negara tersebut.
Semoga krisis Ukraine-Rusia menemui jalan diplomasi terbaik dalam usaha untuk menghindari peperangan dan konflik yang berpanjangan demi untuk kesejahteraan dan kemakmuran bersama di Eropah Timur.
Islam Memperkukuh Perpaduan.
YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk.