Membaca sindiran Pengerusi Pan Terengganu, Raja Bahrain terhadap Presiden PAS, membuatkan aku tersenyum sendirian.
Butiran yang diulang-ulang, semenjak dahulu lagi, tidaklah hanya sekadar menghabiskan masa beliau menulis.
Ianya kosong, jauh daripada pengajaran, apatah lagi nilai kepada Islam.
Jari jemari ini, seperti biasa, menjadi galak untuk menjawab apabila Sang Arkitek ini berkomentar.
Tulisannya mudah, tiada isi dan lawak bodoh.
Ya, terkadang ia tidak sepatutnya dilayan, tetapi kerana agak ramai yang mungkin percaya kepada beliau jika tidak dibalas, akan membawa kepada kemusnahan.
Jadi karut marut tulisan RB, aku akan jelaskan.
Saidina Ali pernah berkata yang kita lihat kepada apa yang dikata, bukan kepada siapa yang berkata.
Benar sekali.
Tetapi pastinya, Saidina Ali juga menyuruh berhati-hati jika musuh yang memuji atau mengeji, sebagaimana contoh dalam Perang Siffin, Muawiyah mengangkat Quran sebagai helah.
Dan Ali berkata ia adalah perbuatan atau kalimah yang benar tetapi dengan tujuan bathil.
Jadi, kita kena lihat juga, siapa yang berkata-kata dalam hal agama, terutama kalau dari Pan.
Macam nak nasihat, tetapi ia berniat jahat.
Kebathilan yang cuba disembunyikan dalam tulisan beliau ialah, bagaimana almarhum TGNA menyokong Presiden PAS, memutuskan hubungan dengan DAP.
Sehinggakan orang kuat Pan suatu ketika dahulu juga tidak dilantik kembali menjadi Exco Kerajaan Kelantan.
Jika RB mendakwa seorang murid yang baik, mestilah taat kepada nasihat gurunya, maka apa pula kita mahu panggil Pan yang jelas melanggar arahan TGNA?
Gilakan harta dan pangkat adalah tuduhan lama yang boleh kita katakan sebagai tuduhan dari orang gila.
Sebab jika mahukan pangkat dan harta, ketika Umno berkuasalah, PAS sewajarnya bersama Umno sebelum PRU 14 lagi.
Malah ketika PH berkuasa, PAS juga tidak terhegeh-hegeh meminta diberikan jawatan, walaupun beberapa kali PH inginkan PAS bersama kerana kurang kerusi untuk majoriti dua pertiga.
Kelihatannya RB memang bodoh dalam memberikan contoh.
Digigit dua kali dalam lubang yang sama, bukan berlaku dengan Umno sahaja, malah bersama PKR juga.
Sudah berapa kali PKR mempergunakan PAS?
Cerita berkenaan almarhum TGNA ‘murka’ dengan PKR, sudah acap kali diperdengarkan.
Hanya sahaja Pan yang dungu, masih mengikut PKR dan DAP, tanpa ada sedikitpun kebaikan untuk Islam.
Penipuan lain dalam tulisan RB ialah isu penghapusan judi.
Memang, semenjak melanggar baiah, RB mungkin menjadi sedikit sewel.
Jelas di Kedah, Umno dan Bersatu, tenang-tenang sahaja menerima keputusan MB daripada PAS untuk menghapuskan judi.
Kekal di Kelantan dan Terengganu tiada judi.
Habis tu, Pan di Perak dan di Selangor, apa yang mereka lakukan?
Sewaktu ada kuasa di Melaka dan Johor, judi dihapuskan?
Negeri Sembilan pula, apa khabar?
Tunggu redha DAP ke?
Mungkin RB cuba ingin mengatakan bahawa cabutan judi sekarang semakin banyak berbanding dahulu.
RB lupa untuk melihat jumlah keseluruhan judi dalam nilai RM, kutipan tertinggi ialah di zaman PH.
Sila rujuk jawapan di parlimen.
Itulah, makan nasi beriani kambing untuk bayar kafarah langgar baiah haritu banyak sangat.
Jadi peninglah tu.
PAS tidak pernah mengkhianati Mursyidul Am.
Arahan MA, bukan arahan eksekutif seperti keputusan muktamar, sepertimana perwakilan menolak RB dan rakan-rakan dalam pemilihan dahulu dan keputusan bergabung dengan Umno juga melalui muktamar.
Kalau begitu, bagaimana pula arahan TGNA supaya anak isteri ahli PAS menutup aurat dengan sempurna?
RB ada buat?
Bagaimana pula arahan almarhum supaya jangan menipu?
PH menipu rakyat dengan manifesto mereka.
Kerana rakyat percaya, lalu merekapun undi PH.
Apa kita mahu gelarkan jenis makhluk seperti RB ini?
Menepati janji adalah suruhan TGNA, tetapi Pan yang berada dalam PH diam sahaja bila mana ketua mereka kata janji PRU bukan kitab suci.
Tun Mahathir bahkan menjadi musuh TGNA.
Kenapa Pan angkat Tun jadi ketua?
Cukuplah RB, tak perlu memperbodohkan diri dengan tulisan yang diri sendiri jauh dari mengamalkan.
Sewaktu PAS sanggup bekerjasama dengan Umno, menjatuhkan kerajaan yang DAP ada di dalamnya adalah kewajipan utama.
Sebab itu almarhum TGNA turut menempelak DAP ketika akhir hayatnya.
Mohd Nasir Abdullah