Ingatkan orang politik sahaja yang bertikam lidah, bertengkar nas.
Rupa-rupanya ia turut berlaku dalam kalangan ulamak dan ustaz.
Sedih saya melihat ciapan video pertelingkahan mereka di media sosial.
Ramai umat bergaduh atas hal ini dan tidak kurang juga yang tidak faham tetapi terlibat sebagai penghukum.
Ustaz Muhaizad melakukan kesilapan besar dalam penyampaiannya di setiap kuliahnya kerana Ustaz Muhaizad menggunakan 100% dialek Kelantan.
Tuan-tuan dan puan-puan yang datangnya daripada negeri bukan Kelantan jangan mudah membuat kesimpulan atas perkara yang anda dengar kerana dialek Kelantan bercanggah dengan maksud serta pemahaman bahasa Melayu Standard.
Apa yang disampaikan oleh Ustaz Muhaizad dalam dialek Kelantan itu lebih bersahaja dan memberi kefahaman kepada masyarakat Kelantan namun ia tidak sesuai didengari oleh masyarakat luar Kelantan yang tidak faham maksud tersurat dan tersirat dalam dialek Kelantan.
Jangan anda terkejut jika dialek Kelantan Ikan boleh makan kucing dan rumput boleh makan lembu.
‘Ike Makke Kuccing dan Rumpput Makke Lembbu’
Jika dibaca dalam bahasa Melayu Standard jawapannya adalah Kucing dimakan oleh Ikan dan Lembu dimakan oleh rumput.
Ramai beranggapan bahawa ini tidak logik dan penulisan ini adalah salah.
Dalam dialek Kelantan ‘Syaddah atau Sabdu’ kerap digunakan sebagai ‘Kata Kerja Pasif’.
Makan adalah kata kerja.
Kucing Makan Ikan adalah kata kerja aktif yang memberi maksud Kucing Makan Ikan secara jelas manakala Ikan dimakan oleh kucing adalah kata kerja pasif.
Syaddah atau Sabdu dalam dialek Kelantan adalah Kata Kerja pasif iaitu perkataan ‘Makke’ (Makan) iaitu dimakan.
Ike ‘makke’ Kuccing bermaksud Ikan dimakan oleh kucing.
Jika ditulis secara membuta tuli, maka dialek Kelantan sesat dimata masyarakat luar Kelantan kerana perkataan Ikan Makan Kucing.
Sama juga dengan situasi Ustaz Muhaizad dalam siri ceramahnya.
Orang Kelantan faham isi kandungannya tetapi isi kandungan ceramahnya disalah tafsirkan oleh masyarakat luar Kelantan yang tidak arif dalam dialek ini.
Nabi ikut Kanan, Ulamak Ikut Kiri maka ikut Ulamak.
Pada fahaman saya sebagai masyarakat Kelantan, saya faham maksudnya.
Saya buatkan analogi ya,
Jika kita hendak menjadi Perdana Menteri, belajarlah dengan cikgu bukannya mengikut Perdana Menteri daripada awal hingga akhir.
Jika kita ikut Perdana Menteri daripada awal, kita tidak mampu kerana sukar untuk kita ikut tahap tersebut.
Maka bermulalah dengan guru di pra sekolah, rendah hingga ke Universiti.
Ini contoh yang mudah.
Bukan bermakna kita tidak mahu menjadi perdana menteri jika belajar dengan guru dan bukan bermakna kita tolak nabi kerana ikut ulamak.
Level kita untuk ikut Nabi secara terus tidak sesuai dengan ilmu yang kita miliki.
Ramai dalam kalangan orang agama menjadi Isim kerana tidak mampu mengikut apa yang terkandung dalam Al-Quran disebabkan ilmu tidak setanding dan badannya tidak mampu menampung beban Nas.
Oleh kerana ucapan Ustad Muhaizad dalam dialek Kelantan, ia umpama sesat seperti kata ‘Makke’.
Jadi, dalam isu ini bukannya perbalahan kerana Nas atau Fakta tetapi ianya perselisihan maksud bahasa atau dialek.
Ustaz MAZA orang Perlis, lidahnya tidak sama dengan orang Kelantan.
Jadi, bahasa kedua-dua guru akan berbeza.
Sudah-sudahlah bergaduh kerana agama kita.
Malu dilihat oleh agama lain.
Cadangan saya, Ustaz Muhaizad boleh mencuba menyampaikan ceramahnya dalam bahasa Melayu Standard agar mudah difahami oleh masyarakat bukan Kelantan.
Ustaz MAZA boleh cuba dialek Kelantan.
Wan Mahussin Wan Zain
