Apa Signifikan Kata-Kata Ustaz Muhaizad Kepada Kita?

Apa Signifikan Kata-Kata Ustaz Muhaizad Kepada Kita?

Masih bergema kita dengan isu perkataan yang didakwa diulang oleh Ustaz Muhaizad Muhammad daripada ulamak iaitu jika Rasulullah ke kanan dan ulamak ke kiri, maka beliau akan mengikut ulamak.

Dan seperti yang dijangka, ia menjadi gelombang pasca tengkujuh di negara kita.

Saya sekadar ingin mengintai dari kamar usang, eh salah….mengintai dari perspektif berbeza, bukan dari perspektif agama secara khususnya.

Ayat yang disebut itu dipanggil kiasan atau majaz.

Saya tidak berniat untuk masuk campur dengan penerangan berkenaan ayat itu.

Biarlah yang mempunyai autoriti yang berbuat demikian.

Hanya saya berasa amat tertarik dengan sikap penyokong kedua-dua belah pihak.

Masing-masing saling mengutuk atau mempertahankan guru mereka.

Isunya apa?

Ya isunya hanya perkataan kiasan sahaja.

Jika berlaku kepada pimpinan gerakan politik, ahli yang menyokong dituduh sebagai pentaksub, pelampau, ganas dan sebagainya apabila mempertahankan pimpinan mereka.

Namun, dalam gerakan yang disebut sebagai gerakan keagamaan, rupanya, tidak berkurang juga hebat mereka.

Sikap mereka dalam menangani isu-isu sebegini, tiada bezanya dengan apa yang mereka benci dengan perbuatan orang lain ketika menghadapi perkara yang sama.

Mereka bertukar menjadi ‘taksub-er’

Hanya mampu tersenyum melihat hiruk pikuk golongan yang mengaku tidak suka berpolitik itu, tetapi lagaknya melebihi politikus yang mereka benci itu.

Rupanya mereka juga tidak dapat menahan diri mereka daripada melakukan perkara yang mereka cegah itu.

Masih ingatkah lagi ketika mana ahli PAS, bersilat lidah mempertahankan perkataan Mursyidul Am mereka dahulu?

Ahli PAS dikutuk dengan apa yang mereka kata sebagai taksub, sesat dan berbagai lagi.

Isu ‘Allah Samseng’, ‘Allah Mencarut’ ‘Sanggup berkawan dengan syaitan’ menggemparkan Malaysia.

Berbagai hujah diberikan ustaz-ustaz di dalam PAS bagi memahamkan masyarakat.

Serangan hebat musuh dari setiap penjuru, berjaya diredakan walaupun sukar.

Tetapi musuh PAS ketika itu, secara sedar, dengan berani mengucapkan kata-kata menghina hukum hudud, tanpa kiasan.

Mereka kelihatannya seperti berbangga pula.

Kemudian, Maszlee Malik, salah seorang pimpinan Ikram yang menyertai Bersatu, secara berseloroh berkata ‘Kalau nabi hidup lagi, mereka akan letak jawatan’ merujuk kepada kerosakan yang berlaku sekarang.

Pada Ikram, perkataan itu tidak salah, hanya kiasan.

Tetapi tidak bagi jemaah lain.

Walaupun beliau menafikan maksudnya, tetapi ia tetap keluar dari mulutnya.

Begitu juga ketika dia berjanji untuk menghapuskan tol dengan dibantu oleh kempen Wardina.

Jelas dan terang menipu.

Apa penyokong mereka kata?

Tetaplah dakwa mereka, pakcik, makcik, dia baikkkkk sangat. Kan?

Dan apabila Tun Mahathir menyebut pepatah Mat Saleh, “Better the devil you know than the angel you don’t”, ramai yang marahkan Tun kerana membandingkan malaikat dengan syaitan.

Sedangkan penyokong beliau tetap menyokong dengan mengatakan ia sebagai misalan sahaja.

Cuma berlainan dengan perkataan Hanifa Maidin yang mengatakan ‘kalau saya tuhan’ dan Khalid Samad yang menuduh ‘Rasulullah juga menipu’ kerana keduanya bukan misalan umum.

Ia tuduhan fitnah dan fantasi jahat oleh kejahilan keduanya.

Saya pernah mendengar dari seorang ustaz yang cenderung kepada fahaman Wahhabi berkata, ada salah seorang perawi hadis berkata bahawa ‘Berzina aku lebih sukai daripada mengambil hadis dari sifulan (seorang perawi yang lemah)’.

Jika difikirkan, kenapa mahu bandingkan dosa besar sebegitu?

Tidak bolehkah bercakap elok-elok?

Tidak, ia adalah bandingan sahaja dalam kedua dosa itu, dosa berzina dirasakannya lebih kecil berbanding dosa memalsukan hadis.

Sebab itu jika ada rakan-rakan dalam jemaah yang saya boleh tegur, saya akan nasihatkan mereka supaya tidak masuk campur dalam perbalahan furuk ini.

Masih banyak lagi kerja dakwah lain yang jelas dan boleh kita lakukan sesuai dengan keupayaan diri kita, apatah lagi kita ini cetek ilmu.

Perbalahan sebegini sudah lama termasuk yang berada dalam PAS sendiri.

Akhirnya tidak ke mana.

Lihat bagaimana cara Presiden PAS mendamaikan berbilang jemaah.

Tuan Guru Nik Aziz, sehingga beliau meninggal, tiada pengesahan mengatakan beliau telah sesat dengan perkataan itu.

Tun M, malah ingin menziarahi kubur beliau.

Maszlee Malik tidak pernah didakwa kerana membuat lawak atas ‘jawatan’ nabi.

Ustaz Muhaizad sehingga kini, tidak didakwa.

Kumpulan Dr Rora juga, tidak pernah diisytiharkan sebagai kumpulan yang diburu kerana kesesatan aqidah mereka.

Jakim kan ada?

Mereka tahu aqidah mana yang tertolak seperti Ayah Pin dan lain-lain.

Inilah buktinya sia-sia sahaja kita berbalah hal furuk sebegini.

Cuma saya bersetuju dengan majoriti ustaz yang melarang Ustaz Muhaizad daripada menggunakan kata kiasan yang sukar difahami oleh orang kebanyakkan.

Lebih-lebih lagi zaman sekarang, zaman anak-anak muda yang tidak menjadikan kiasan sebagai seni dalam percakapan.

Ia akan menjadi lebih parah kerana melontarkan sesuatu yang dikira asing kepada masyarakat.

Ini kerana mereka juga marahkan golongan sering membuat sesuatu amalan yang baharu pada pandangan umum, memeningkan masyarakat yang sudah biasa dengan ‘uruf mereka kerana mengikut mazhab.

Ada yang sengaja buat hal yang berlawanan, supaya nampak pelik, lalu akan diikut orang.

Orang kitakan suka yang pelik-pelik.

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis