Tamatkan Riwayat DAP Dalam PRN Johor

Tamatkan Riwayat DAP Dalam PRN Johor

Negara bakal memberi tumpuan kepada negeri Johor menjelang Pilihanraya Umum Negeri itu yang dijangka diadakan bila-bila masa tertakluk kepada pengumuman pihak SPR berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri berkenaan baru-baru ini.

Dalam banyak-banyak parti yang dijangka bertanding dalam PRN kali ini, perhatian wajar diberikan kepada salah sebuah parti pembangkang terbesar dalam Pakatan Harapan, yang juga merupakan parti tertua dalam pakatan politk itu iaitu DAP.

Pasca PRU 14 DAP merupakan parti dominan dalam PH, memainkan peranan signifikan di dalam kerajaan Persekutuan, selain dominan dibeberapa kerajaan negeri lain terutama di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka.

Parti yang dikuasai masyarakat bukan Melayu ini terutama orang-orang Cina, bertahun-tahun sejak penubuhannya bergelut untuk menjadi pencabar arus perdana terhadap Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional, akhirnya berjaya dalam PRU14 dengan perancangan jangka panjang dan cukup licik.

DAP telah mencatur dan menggunakan parti-parti Melayu yang bergabung dengannya dalam PH sebagai batu loncatan terutama PKR, PAN dan PPBM ketika itu untuk mencapai cita-cita perjuangannya bagi menguasai Putrajaya.

Terbukti dengan bantuan bekas PM Tun Dr Mahathir, serta parti-parti tadi DAP menang besar apabila rakyat termakan dengan janji-janji manifestonya serta serangan dan fitnah terhadap kerajaan BN dan PAS.

Dalam PRU ke 14, pengundi bukan Melayu khasnya pengundi Cina yang cukup terpengaruh dengan dakyah DAP telah memberikan hampir 90% undi kepada DAP dan sekutunya.

Dengan berpecahnya undi Melayu akibat pertandingan 3 penjuru, DAP telah mengaut keuntungan lumayan dengan berjaya mempengaruhi keputusan bukan sahaja di kerusi-kerusi majoriti bukan Melayu malah termasuk kerusi-kerusi campuran dan dibeberapa kerusi-kerusi majoriti Melayu.

Tetapi itu tahun 2018, kini 2022 banyak telah berubah dan lanskap politik negara tidak lagi sebagaimana ketika PRU 14 dahulu.

DAP terutamanya merasai bahang perubahan itu apabila kalah dalam PRK Parlimen Cameron Highlands awal 2019 di tangan calon BN, kemudiannya mereka tertendang keluar dari kerajaan Persekutuan apabila cuma berkuasa selama 22 bulan setelah Tun Dr Mahathir secara tiba-tiba meletakkan jawatan sebagai PM.

Tidak cukup dengan itu DAP kemudiannya menghadapi kekalahan dalam PRN Melaka apabila hanya bertahan di 4 dari 8 kerusi DUN yang dimenanginya pada PRU 14.

Di Sarawak pula DAP cuma bertahan di dua kerusi berbanding di 7 DUN yang dimenanginya pada PRN sebelumnya.

Siri-siri kekalahan ini merupakan “setback” buat rekod dan prestasi DAP berbanding PRU 14 apatah pula rakannya PKR dan PAN juga ditimpa kemerosotan.

PKR umpamanya kalah teruk di PRN Sabah, Melaka dan Sarawak begitu juga PAN yang hanya bertahan dengan 1 kerusi di Melaka.

Lantas di Johor DAP perlu menggerakkan sesuatu bagi bangkit kembali dari siri-siri kemerosotonnya jika tidak pasti ia akan terus hanyut ditolak rakyat dan akhirnya lesu tiada lagi kekuatan politik sebagaimana sebelumnya.

Jika di Melaka dan di Sarawak, para pengundi Cina mula berpaling dari DAP, tidak mustahil di PRN Johor kali ini 30-35% pengundi Cina juga akan berbuat demikian.

Mampukah DAP mempertahankan 14 kerusi DUN yang dimenanginya dalam PRU ke 14 dahulu di Johor?

Menyedari fenomena ini DAP cuba untuk mempertahankan penguasaannya terhadap masyarakat Cina selain bersungguh mahu meneroka keupayaannya dikalangan pengundi Melayu.

Di Johor dalam PRU 14 lalu, DAP telah meletakkan seorang calon Melayu di DUN Paloh yang mempunyai 52% pengundi bukan Melayu.

Hasil dari perpecahan parti-parti Melayu dan sokongan “solid” masyarakat bukan Melayu pada PH, calon DAP Sheikh Omar Bagharib Ali telah menang mengalahkan calon MCA BN dengan majoriti 783 undi.

Dengan perkembangan semasa yang tidak nampak memihak padanya, DAP akan sedaya-upaya memancing undi Melayu Johor untuk memastikan bukan sahaja calonnya di DUN Paloh dapat bertahan malah begitu juga baki calon-calonnya yang lain dengan bantuan undi Melayu.

Kerana itu calon pertama yang diisytiharkannya di Johor adalah Sheikh Omar untuk DUN Paloh.

Ini sudah pasti dilakukan demi mengharapkan pengundi Melayu Johor dapat memberikan simpati dan seterusnya terbuka selera untuk memeluk dan mengangkat calon-calon DAP memenangi seberapa banyak kerusi yang ia tandinginya di Johor.

Masalahnya masih adakah pengundi Melayu di Johor yang tergiur lagi untuk mengundi DAP?

Rakyat khususnya pengundi Melayu telah menolak DAP di Cameron Highlands, begitu juga di PRN Melaka, malah pengundi Cina pun sudah mula muak dengan mereka terbukti di Melaka dan Sarawak, lantas apa perlu undi Melayu dibuang buat DAP di Johor?

Sesungguhnya pengalaman 22 bulan DAP dan PH menguasai Putrajaya selain di Johor sendiri sepatutnya cukup mengajar kita jangan sesekali membuka ruang dan peluang buat mereka kembali berkuasa.

Cukuplah sekali kaduk naik junjung.

Cukuplah kita sebagaimana pemimpin dan parti-parti Melayu yang duduk bersekongkol dengan mereka dijadikan tunggangan dan batu loncatan untuk menjayakan agenda dan cita-cita politik DAP yang ekstrim itu yang mahu merobah segala status quo yang sedia ada.

Gagasan “Malaysian Malaysia” yang mereka perjuangkan yang mahu menidakkan status quo yang diperakui antara nenek-moyang kita sejak sebelum Merdeka lagi jelas merugikan politik umat Melayu Islam.

Begitu juga kesungguhan mereka untuk menegakkan sebuah Malaysia yang sekular, yang memisahkan antara pentadbiran dan Agama, adalah sesuatu yang cukup bertentangan dengan adat, budaya dan amalan kita umat Melayu Islam serta konsepk Keluarga Malaysia yang digagaskan PM hari ini.

Kesimpulannya, perkembangan politik mutakhir ini menunjukkan jangka hayat DAP semakin meruncing, mereka hilang tapak di Melaka dan hilang juga tapak di Sarawak, lalu jika kita bijaksana dalam menggunakan undi kita yang cukup berharga itu, termasuklah buat adik-adik 18 tahun yang bakal mengundi buat pertama kali di PRN Johor, inilah masanya kita memberi isyarat bahawa politik rasis, dan ekstrimis serta gagasan “Malaysia Malaysia” tidak ada tempat dalam negara, dan Johor akan membuka pintu keluar buat DAP.

Bersama kita pertahankan nasib dan masa depan agama, bangsa dan negara.

Tolak terus DAP dan PH dalam PRN Johor.

Roslan SMS

Politik