Dalam Islam, hubungan antara ibu dan anak-anak tak boleh dihalang atau dipisahkan.
Justeru ketika perbicaraan Habeas Corpus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi, kita bela Ustazah Nazirah, bukanlah atas niat untuk memutuskan hubungan ibu dengan anak-anaknya hanya semata-mata kerana anak-anaknya telah memeluk Islam manakala ibunya belum.
Tidaklah sedemikian kejam pemikiran kita.
Sebaliknya kita jawab kes itu di Mahkamah, semata-mata untuk memperjelaskan keadaan — to put the record straight, kata omputeh — sebab di luar sana terlalu banyak tuduhan-tuduhan liar, angkuh lagi melulu yang langsung tidak berasas.
Ada yang kata kononnya anak-anak Loh diculik, ada yang tuduh dia diIslamkan tanpa kebenaran, dan segala macam fitnah jahat yang lain.
Justeru kita jelaskan di Mahkamah tadi, berdasarkan bukti-bukti afidavit, bahawa ustazah Nazirah tidak pernah menahan atau mengawal anak-anak Loh secara salah, sebaliknya dia sekadar mengambil peranan membantu membiayai anak-anak tersebut supaya dapat bersekolah makan pakai segalanya cukup, ketika mana ayahnya menghilang (di penjara) dan ibunya tak ketahuan di mana.
Salahkah seorang ustazah membantu?
Bahkan bukti-bukti menunjukkanb bahawa Ustazah Nazirah yang berusaha untuk mencari untuk menghubungkan ibu dengan anak-anak tersebut.
Sebab Ustazah faham dan tahu bahawa hak ibu terhadap anak-anaknya tak boleh dinafikan.
Kalau ustazah jahat dan nak menculik tak tentu fasal dan kemudian mengislamkannya senyap-senyap, kenapa pula Ustazah hendak susah-susah mencari ibu anak-anak tersebut?
Bahkan ibu anak-anak tersebut sendiri yang kemudiannya beretuju untuk meletakkan anak-anaknya di Jabatan Kebajikan sebelum ini, jadi tiada kena mengena dengan Majlis Agama pun.
Sebab itu apabila pagi tadi Mahkamah memerintahkan bahawa anak-anak diberikan kepada ibunya, Loh; di pihak ustazah tak ada isu apa pun sebenarnya, sebab memang sejak dari awal lagi, anak-anak itu bukan di bawah pegangan ustazah pun.
Jauh sekali ustazah nak menahan anak-anak orang lain tanpa kebenaran ibunya.
Apa yang perlu difokuskan sekarang ini ialah jalan ke hadapan, way forward, kata omputeh, untuk membantu Majlis-Majlis Agama yang terlibat, agar mendapat akses beri panduan serta pendidikan agama kepada anak-anaknya, selagi mana anak-anaknya masih menginginkan Islam.
Syahadah anak-anaknya itu sah, mereka masih Islam, justeru tak boleh dibiarkan terkontang-kanting tanpa panduan dan tanggungjawab dari Majlis Agama.
Ini yang utama.
Dan dalam isu ini yang kita semua mesti bersatu hati.
Harus difahami bahawa isu agama anak-anak dengan hak jagaan adalah dua isu berasingan.
Jangan dicampur-adukkan.
Hanya sebab hak jagaan diberi kepada ibu, bukan bermaksud anak-anaknya harus automatik murtad.
Bahkan dalam Fatwa di negeri Perlis pun, sememangnya membenarkan ibu non-muslim untuk diberi hak jagaan terhadap anak-anak Muslim.
Aidil Khalid
Peguam
The Star melaporkan: “Peguam Aidil Khalid yang mewakili responden pertama berkata tidak pernah timbul isu hak penjagaan haram oleh anak guamnya.
“Beliau berkata, pemohon sendiri sudah mahu menyerahkan anak-anak itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Anak-anak berada di situ atas permohonan ibu, bagaimana boleh dikatakan sebagai penahanan yang menyalahi undang-undang?” kata peguam itu.
Aidil juga berkata percubaan dilakukan untuk membolehkan ibu berjumpa anak-anak tetapi masalah datang bukan daripada responden tetapi daripada ibu.
Mengenai isu agama seperti yang dibangkitkan pemohon, Aidil berkata penukaran agama secara unilateral adalah tidak relevan kerana kanak-kanak itu didaftarkan sebagai penganut Hindu sejak lahir.
“Mereka mengikut agama bekas suami, sedangkan agama ibu (semasa pendaftaran kelahiran) dinyatakan beragama Buddha.
“Semasa berkahwin, jelas mereka ada aturan supaya anak-anak mengikut agama bapa.
Kalau tidak, kenapa ibu kekal beragama Buddha sedangkan anak-anak beragama Hindu mengikut bapa,” katanya lagi.