Rakyat Malaysia mengikuti dengan penuh prihatin kes melibatkan Puan dan anak-anak serta permasalahan keluarga Puan.
Ianya terdedah pada pengetahuan umum dan hebat dipermainkan media khasnya media sosial.
Rata-rata saya yakin semua lapisan masyarakat bersyukur kerana anak-anak Puan dapat kembali ke pangkuan Puan setelah terpisah hampir tiga tahun.
Tidak ada sesiapa yang waras tanpa mengira agama atau kaum di Malaysia yang sanggup melihat anak-anak kandung terpisah dari ibu-bapa mereka.
Lalu keputusan Mahkamah Tinggi KL semalam, memberikan perintah habeas corpus agar tiga orang anak-anak Puan dikembalikan kepangkuan Puan adalah sesuatu yang patut.
Sekiranya isu Puan adalah isu hak penjagaan terhadap anak-anak Puan semata-mata, ianya sesuatu yang lumrah dalam masyarakat dan tidaklah sangat mendapat perhatian umum.
Akan tetapi isu Puan dan anak-anak ini menjadi kegusaran masyarakat khasnya umat Islam di Malaysia apabila ianya melibatkan perbezaan agama, dan usaha untuk bukan hanya mendapatkan hak penjagaan tetapi juga mahu menukar agama yang dianuti anak-anak Puan tadi.
Anak-anak Puan setelah terpisah telah dipelihara oleh orang Islam dan ringkasnya telah memeluk Islam atas kerelaan mereka lalu diasuh dan dibesarkan sebagai seorang Muslim.
Dua anak kembar perempuan Puan yang berusia 14 tahun difahamkan telah boleh hafaz sebahagian al Quran dan boleh membacanya dengan baik serta berpakaian menutup aurat dengan sempurna.
Di sinilah isunya.
Dan di sinilah fokus surat terbuka ini.
Puan, apa yang berlaku antara Puan dan bekas suami Puan, itu masalah peribadi Puan.
Suami Puan yang asalnya beragama Hindu telah memeluk Islam dan kini menjalani hukuman di penjara.
Kami tidak menyebelahi sesiapa.
Yang menjadi kebimbangan masyarakat Islam di Malaysia bukannya Puan atau suami Puan tetapi anak-anak Puan yang telah memeluk dan mengamalkan Islam.
Jika pun Puan marah dan bermasalah dengan suami Puan sekalipun, itu antara Puan dan suami tetapi janganlah Islam dibabitkan bersekali dan dibenci.
Tanpa menyentuh mana-mana susur-galur melibatkan konflik Puan dan keluarga, sebab dan puncanya yang punya pelbagai versi, saya ingin merayu kepada Puan agar berfikiran terbuka dan rasional sebentar.
Puan berhak atas anak-anak Puan itu tidak menjadi pertikaian dan kami umat Islam tidak mempertikai atau menuntut pun hak Puan.
Akan tetapi kami umat Islam merasa terlibat dalam kes ini kerana anak-anak Puan telah menerima dan menganut agama kami.
Lantas kami merayu kepada Puan jika boleh sebagai rakyat Malaysia yang tidak asing pun kepada para penganut dan agama Islam itu sendiri, agar Puan mengizinkan apalah kiranya anak-anak Puan itu kekal berada dalam Islam.
Besarkanlah mereka sebagai anak-anak kandung Puan namun pelihara dan pertahankanlah hak mereka untuk menjadi Muslim melainkan mereka memilih untuk meninggalkannya secara sukarela.
Kami umat Islam bertanggungjawab malah akan menjamin memberi sokongan dan bantuan sebaik mungkin kepada Puan untuk membesarkan anak-anak sebagai seorang Muslim yang baik.
Janganlah ditekan atau dipaksa mereka menukar agama.
Kami umat Islam bukan dan tidak pernah menjadi musuh Puan, malah kamilah yang telah memelihara dan menjaga anak-anak Puan itu sepanjang ketiadaan Puan.
Mungkin para penasihat dan orang-orang politik yang bermusuhan dan sentiasa prejudis terhadap Islam akan memberikan pelbagai pandangan termasuklah hasutan pada Puan.
Mereka sebenarnya pentingkan politik dan kedudukan mereka, bukannya sangat untuk menjaga kepentingan Puan dan anak-anak.
Berilah peluang pada kami.
Kami merayu sebagai kawan sesama rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian dan ketenteraman.
Umat Islam sedih, pedih dan kecewa kiranya anak-anak Puan yang telah menjadi Muslim yang baik dipaksa menukar agama dan meninggalkan Islam.
Jika ini berlaku sudah pasti ianya akan membakar api kemarahan dan mencetuskan ketegangan yang tidak menguntungkan sesiapa termasuk Puan dan keluarga Puan.
Marilah kita berdamai.
Bukalah ruang untuk berbicara dan berbincang demi kebaikan semua khasnya Puan dan anak-anak.
Saya percaya banyak pihak berkepentingan termasuk pihak berkuasa Agama, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, pimpinan masyarakat, NGO yang sanggup menyedia dan membuka meja perundingan buat Puan untuk kita cari jalan penyelesaian yang terbaik tanpa perlu bertindak emosional dan mencetuskan konflik dalam masyarakat.
Kami menunggu isyarat dari Puan.
Tinggalkanlah sementara para penasihat yang ekstrim dan bermain politik itu, fikirkanlah nasib dan masa depan Puan, anak-anak dan kita semua.
Semoga Puan tenang dan dapat membuat keputusan yang terbaik.
Kami bukannya mahu merampas anak-anak Puan, tetapi kami sekadar mahu menumpang mengasihi mereka dan melihat ,mereka berjaya di bawah jagaan Puan.
Terima kasih dan salam kami pada anak-anak Puan.
Roslan SMS