Isra’ Mikraj Dan Kepentingan Bumi Baitul Maqdis

Isra’ Mikraj Dan Kepentingan Bumi Baitul Maqdis

Hari ini umat Islam memperingati peristiwa Isra’ dan Mikraj yang berlaku ke atas Rasulullah SAW beberapa bulan sebelum peristiwa hijrah.

Para ulama tidak bersepakat tarikh sebenar peristiwa ini berlaku, namun apa yang lebih penting ialah pengajaran dan iktibar di sebaliknya bukan tarikh bila ianya berlaku.

Peristiwa ini menguji keimanan manusia di sepanjang zaman supaya percaya kepada perkara-perkara ghaib, lebih-lebih lagi pada zaman manusia beriman kepada sains dan teknologi seperti hari ini.

Pemilihan bumi Palestin mempunyai tujuan yang sangat besar khususnya pada aspek keimanan kepada hari akhirat.

Beriman kepada hari akhirat bukan sahaja dengan percaya akan tiba hari kehancuran dunia dan alam semesta ini, bahkan juga beriman kepada tanda-tanda sebelum ianya berlaku.

Bumi Palestin ditentukan oleh Allah SWT menjadi tempat pertembungan dan perebutan kuasa-kuasa besar dunia sejak dahulu, sekarang dan akan datang sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Bumi ini akan menjadi titik kepada kemuncak pertembungan akhir antara golongan hak dan batil apabila tiba masa dan ketikanya yang berada dalam ilmu Allah S.W.T.

Tanda-tanda berlakunya Qiamat yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis-hadis, banyak berlegar di bumi Palestin yang bertuah ini seperti:

1- Yahudi akan kembali ke Palestin.

2- Nabi Isa AS akan diturunkan di Palestin mengikut satu riwayat.

3- Kumpulan Islam yang benar akan berkubu di Baitul Maqdis dan sekelilingnya.

4- Peperangan terakhir antara orang beriman dan Yahudi akan berlaku di Palestin.

5- Dajjal akan dibunuh di Palestin.

6- Ibu negara kepada Khilafah Islam di akhir zaman berpusat di Palestin.

7- Yakjuj dan Makjuj akan dibinasakan di Palestin.

Justeru tidak pelik bumi ini sentiasa menjadi rebutan khususnya kepada penganut agama Yahudi, Nasrani dan Islam kerana kemuliannya disebut di dalam semua kitab-kitab samawi.

Bumi Palestin menjadi tempat awal bermulanya tamadun manusia.

Disebut di dalam hadis bahawa masjid kedua yang dibina selepas Masjid al-Haram ialah Masjid al-Aqsa dan jarak antara keduanya ialah 40 tahun.

Ketika Nabi Ibrahim A.S berhijrah ke Palestin setelah dihalau oleh kaumnya di Iraq, bumi bertuah ini dihuni oleh golongan al-Jababirah sehinggalah ia berjaya dikalahkan oleh Talut dan orang-orang beriman yang bersama-sama dengannya.

Legasi pemerintahannya diteruskan oleh Nabi Daud dan Nabi Sulaiman A.S dengan melaksanakan syari’ah Islam yang terkandung di dalam kitab Taurah yang diturunkan oleh Allah ke atas Nabi Musa A.S.

Setelah silih berganti pemerintahan, akhirnya ditakluk oleh empayar Rom dan sehinggalah ianya dibuka oleh Saidana Umar al-Khattab pada tahun ke 16 hijrah.

Pada abad ke 11 Masihi, ianya dirampas oleh Tentera Salib seterusnya dibebaskan oleh Sultan Salahuddin Al-Ayyubi pada tahun 1187 masihi.

Kesucian bumi Palestin bagi penganut Yahudi tidak ada syak lagi, bahkan menjadi sebahagian daripada aqidah songsang mereka bahawa bumi ini hanyalah milik mereka.

Walaupun begitu mereka telah terputus dengan bumi ini hampir 1800 lalu setelah dihalau keluar daripadanya kerana kemungkaran dan kerosakan yang dilakukan oleh mereka.

Hanya ikatan agama dan perasaan kasih serta cinta sahaja yang mengikat mereka dengan bumi Palestin.

Adapun hasrat untuk kembali menetap di situ tidak wujud lagi, kerana mengikut i’tiqad mereka, ia akan membawa kemusnahan dan kehancuran mereka.

Meskipun begitu mereka percaya akan kemunculan The Messiah yang akan menyelamatkan kaum Yahudi dan membawa mereka pulang semula ke bumi Palestin walaupun pada akhirnya akan dimusnahkan kerana dosa dan kejahatan mereka.

Perubahan berlaku di kalangan penganut Yahudi apabila munculnya Zionis iaitu merupakan gerakan yang mempunyai agenda politik bagi memastikan bangsa Yahudi menguasai dunia.

Berlakunya pembaharuan dalam gerakan ini apabila pemimpinnya, Theodor Herzl mengadakan persidangan pertama di Basel, Switzerland pada tahun 1897.

Ia membuat resolusi supaya dibentuk negara bagi bangsa Yahudi di Palestin sebagai permulaan untuk menguasai dunia.

Gerakan ini menyusup masuk ke dalam kuasa-kuasa besar dunia dan mempergunakannya bagi kepentingan mereka.

Gerakan ini semakin agresif selepas perancangan-perancangannya satu persatu berjaya dicapai bermula dengan kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah yang kalah dalam Perang Dunia Pertama.

Juga termeterainya perjanjian Sykes-Picot pada tahun 1916 serta memecahkan tanah air umat Islam kepada negara-negara kecil termasuk bumi Palestin yang diserahkan kepada penjajah British.

Maka di sini hasrat bangsa Yahudi untuk memiliki bumi Palestin terbuka luas.

Rentetan daripada itu tercetusnya Deklarasi Balfour iaitu sebuah pernyataan terbuka yang dikeluarkan oleh penjajah British di mana mengumumkan dokongan untuk ‘Tanah air nasional bagi bangsa Yahudi’ di Palestin.

Deklarasi tersebut tercantum dalam sebuah surat yang dinukilkan pada tanggal 2 November 1917 dari Menteri Luar Britain, Arthur Balfour kepada Lord Walter Rothschild, seorang pemimpin berketurunan Yahudi Britain.

Deklarasi ini adalah pembuka jalan kepada rompakan ke atas bumi Palestin yang dirampas dari umat Islam dan diserahkan kepada Zionis Yahudi.

Gerakan ini bermula dengan membuka pintu seluas-luasnya kepada bangsa Yahudi untuk berhijrah ke bumi Palestin dan memiliki tanah di situ.

Apabila jumlah mereka bertambah, ini memberi kekuatan kepada mereka untuk menguasai bumi ini dengan perlindungan daripada penjajah British.

Dalam masa yang sama orang Arab dihalau keluar dan dicabut senjata daripada mereka.

Penjajah British memberi ruang kepada bangsa Yahudi untuk menguasai kedudukan-kedudukan penting dalam pentadbiran Palestin sebagai persedian untuk merampas bumi Palestin dengan cara terhormat.

Akhirnya pada tanggal 14 Mei 1948, Zionis Yahudi mengisytiharkan negara haram Israel dengan kelulusan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menjadi proksi kepada mereka.

Deklarasi Balfour adalah permulaan kepada perancangan Zionis-Freemason yang lebih besar iaitu menguasai nadi utama kepada Dunia Islam, Timur Tengah ke arah penubuhan Israel Raya yang sempadannya merentasi Sungai Furat di Iraq dan Sungai Nil di Mesir.

Keluasannya merangkumi negara-negara Syria, Jordan, Iraq, Lubnan, Yaman, sebahagian daripada Arab Saudi, Mesir, Turki, Somalia, Ethopia, Jibouti dan Sudan.

Pergolakan yang sedang berlaku sekarang ini di Timur Tengah khususnya Syria, Yaman dan lain-lain lagi adalah sebahagian daripada pelan besar ini dengan menggunakan alasan perkauman dan mazhab sebagai bahan bakar yang dinyalakan, setelah mereka berjaya merampas Palestin 100 tahun lalu dengan alasan sama yang mencetuskan Revolusi Arab Agong.

Begitulah nasib umat Islam yang telah disengat beberapa kali daripada lubang sama, namun masih lagi tidak bangkit dengan erti kata yang sebenar untuk membebaskan bumi Palestin yang mulia ini.

Pemerintah-pemerintah umat Islam hanya sibuk dengan slogan dan wawasan duniawi masing-masing tanpa menghiraukan nasib ummah yang menjerit daripada kezaliman dan penindasan.

Tiada lagi slogan; “Wa Islamah” yang bermaksud “Aduhai Islamku!” yang telah mengalahkan Tatar di Ain Jalut.

Tiada lagi slogan yang melaungkan “Labbaika Ya Ummah” yang bermaksud “Ya wahai ibu kesayanganku” kerana mempertahankan maruah seorang muslimah yang meminta pertolongan dengan menyebut; “Wahai Mu’tasim, tolonglah aku!”.

Semuanya tidak ada lagi, yang tinggal hanyalah intifadhah, yang menggerakkan kanak-kanak bersenjatakan batu-batu berdepan dengan jentolak dan kereta perisai tentera Zionis Israel.

Kita tidak menafikan pencerobohan yang berlaku ke atas Palestin oleh Zionis Yahudi adalah kerana perancangan jahat mereka sejak zaman berzaman, namun dalam masa yang sama umat Islam juga perlu muhasabah diri mereka sendiri sebelum menuding jari ke atas musuh-musuh mereka.

Kenapa ini semua berlaku; tidak lain dan bukan kerana lemahnya iman yang ada dalam diri mereka dan runtuhnya perpaduan sesama umat Islam.

Palestin adalah bumi Allah yang suci lagi diberkati dengan nas-nas dari semua kitab samawi.

Bumi tersebut tidak berhak dimiliki melainkan kepada mereka yang diizinkan oleh Allah dengan keimanan dan melaksanakan hak untuk meninggikan kalimah Allah dengan menegakkan agama-Nya yang dibawa oleh Anbiya dan Rasul-rasul.

Perjuangan untuk membebaskan bumi mulia ini adalah tanggungjawab umat Islam yang paling besar pada zaman ini dan yakinlah perjuangan ini akan dikurniakan oleh Allah dengan kemenangan walaupun memakan masa yang begitu lama.

Kerana itulah janji Allah yang termaktub di dalam Al-Qur’an.

Firman Allah SWT:

فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ أُولَاهُمَا بَعَثْنَا عَلَيْكُمْ عِبَادًا لَنَا أُولِي بَأْسٍ شَدِيدٍ فَجَاسُوا خِلَالَ الدِّيَارِ ۚ وَكَانَ وَعْدًا مَفْعُولًا

“Maka apabila sampai masa janji (membalas penderhakaan kamu) kali yang pertama dari dua penderhakaan itu, kami datangkan kepada kamu hamba-hamba kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu) dan (sebenarnya peristiwa yang demikian) adalah satu janji yang tetap berlaku”.

(Al-Isra’: 5)

Semoga kita berjaya mengharungi segala ujian di akhir zaman ini.

Islam Menyatukan Ummat.

Muhammad Khalil Abdul Hadi

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat

ADUN Batu Burok

Dunia Islam