Marilah kita bersama seluruh umat Islam menyambut peristiwa Isra’ dan Mi’raj dengan penuh keimanan dan keyakinan yang menjadi kelaziman di bulan Rajab, serta percaya kepada Allah SWT, kekuasaan dan kebesaran-Nya, dan percaya dengan benarnya Nabi Muhammad SAW.
Firman Allah SWT:
﴿سُبۡحَٰنَ ٱلَّذِيٓ أَسۡرَىٰ بِعَبۡدِهِۦ لَيۡلٗا مِّنَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ إِلَى ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡأَقۡصَا ٱلَّذِي بَٰرَكۡنَا حَوۡلَهُۥ لِنُرِيَهُۥ مِنۡ ءَايَٰتِنَآۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡبَصِيرُ١﴾
“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.”
(Surah Al-Isra’: 1)
Peristiwa ini adalah ujian yang besar kepada Rasulullah SAW dan kepada seluruh manusia.
Firman Allah SWT:
وَإِذْ قُلْنَا لَكَ إِنَّ رَبَّكَ أَحَاطَ بِٱلنَّاسِ ۚ وَمَا جَعَلْنَا ٱلرُّءْيَا ٱلَّتِىٓ أَرَيْنَـٰكَ إِلَّا فِتْنَةًۭ لِّلنَّاسِ وَٱلشَّجَرَةَ ٱلْمَلْعُونَةَ فِى ٱلْقُرْءَانِ ۚ﴿ وَنُخَوِّفُهُمْ فَمَا يَزِيدُهُمْ إِلَّا طُغْيَـٰنًۭا كَبِيرًۭا ٦٠﴾
“Dan tiadalah Kami menjadikan pandangan (pada malam Mi’raj) yang telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia.”
(Surah Al-Isra’: 60)
Ujian kepada manusia melalui batang tubuh Rasulullah SAW tentang kebenarannya dalam menyampaikan apa sahaja perintah Allah SWT termasuk perkara yang tidak mungkin dicapai oleh akal fikiran manusia, sama ada yang beriman yang baik, apa lagi mereka yang jahat.
Dia menguji manusia seluruhnya akan sejauh mana mereka percaya kepada kekuasaan Allah SWT dan benarnya Nabi Muhammad SAW.Peristiwa perjalanan yang jauh jaraknya dan yang lama masanya mengikut perhitungan manusia, perjalanan yang lebih daripada berjuta-juta tahun kelajuan cahaya, perjalanan daripada dunia sehingga hari akhirat, perjalanan daripada bumi ke langit di angkasa lepas sehingga ke Sidratul Muntaha.
Ia adalah perkara yang benar dilakukan oleh Allah SWT yang Maha Berkuasa bagi menunjukkan kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Rasul-Nya yang membawa Islam kepada seluruh dunia.
Apa yang menarik berlakunya Isra’ dan Mi’raj ketika Islam ditekan dan dizalimi, ketika musuh-musuh yang berkuasa yang zalim membohongi Rasulullah SAW dalam keadaan tiada siapa yang memberi perlindungan melainkan perlindungan Allah SWT.
Saat sebegini rupa dilakukan Isra’ dan Mi’raj.
Peristiwa yang menakjubkan ini untuk memberi kekuatan kepada Rasulullah SAW yang ditugaskan untuk menyampaikan Islam ke seluruh dunia.
Bagaimana hendak menyampaikan Islam ke seluruh dunia, sedangkan di Makkah sahaja sudah menerima tentangan daripada keluarga dan bangsanya sendiri di tanah air sendiri dalam kalangan yang mengetahui benar dan baiknya batang tubuh dan akhlak Rasulullah SAW.
Bagaimana untuk menyampaikan Islam ke seluruh dunia kepada orang-orang yang tidak dikenali dan tidak pernah melihat Baginda SAW.
Allah SWT menunjukkan kebesaran dan kekuasaan-Nya bahawa bumi tempat manusia berpijak dan seluruh makhluk-Nya adalah habuk yang halus di hadapan kekuasaan Allah SWT.
Semua kuasa-kuasa besar dunia yang mempunyai bala tentera yang ramai dan kekayaan yang melimpah ruah adalah habuk yang halus di hadapan kekuasaan Allah SWT.
Selepasnya Allah SWT memerintahkan hijrah dengan menegakkan negara yang berdaulat di Madinah Al-Munawwarah.
Lalu dikepung oleh jahiliyyah Arab dan jahiliyyah di seluruh dunia.
Walaupun Allah SWT mewafatkan atau mematikan Nabi SAW, namun Islam tidak mati dan cahayanya tidak boleh dipadamkan.
Allah SWT membuktikan sehingga hari ini Islam tersebar ke seluruh pelusuk dunia di mana sahaja ada manusia.
Ini menunjukkan Isra’ dan Mi’raj adalah dalil kekuasaan Allah SWT.
Abdul Hadi Awang
Presiden PAS