Temuramah Bersama  Utusan Malaysia: Gelombang PRN Sabah Landa Johor?

Temuramah Bersama Utusan Malaysia: Gelombang PRN Sabah Landa Johor?

UTUSAN: Bolehkah calon PAS yang bertanding 15 kerusi PRN Johor menang?

ABDUL HADI: Dilihat kepada majlis pelancaran gerak kerja pilihan raya yang saya hadir, kehadiran sangat meriah.

Apa yang menarik ialah ramai pengundi muda yang datang, ini kita harap akan berlaku satu perubahan di Johor.

Untuk menarik pengundi muda, PAS (menerusi PN) menawarkan kestabilan dan penyelesaian masalah-masalah ekonomi termasuk mewujudkan peluang pekerjaan.

Seperti yang saya (selalu) sebut, UMNO/Barisan Nasional (BN) yang memerintah selama 60 tahun, lama sangat, tentulah ada kelemahan-kelemahannya yang perlu dibaiki dan Pakatan Harapan (PH) pula mungkir janji-janji yang dibuat dalam manifesto mereka.

UTUSAN: Adakah ini bermakna PAS menolak UMNO termasuk kerana bimbang parti itu menjadi abang besar?

ABDUL HADI: Saya tidak ambil kira cakap-cakap itu.

Kita mengambil tanggungjawab bersama untuk selamatkan negara dengan kepimpinan Melayu Islam dan tak perlu abang besar, tak perlu apa-apa.

Saya melihat berdasarkan kepada apa yang berlaku di PRN Sabah, Sarawak dan Melaka, iaitu tiba masanya kerajaan mesti didominasi oleh orang Melayu Islam, itu sangat penting.

Jadi, untuk mendominasi, mestilah gabungan tiga parti besar Melayu Islam iaitu UMNO, Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan PAS bergabung, tak boleh UMNO bersendirian.

Saya lihat apa yang saya hasratkan itu berlaku di Sabah pada PRN 2020.

Kebetulan BERSATU/PN mendapat kerusi yang banyak (17 kerusi) tetapi tidak boleh tubuh kerajaan dan bergabunglah dengan UMNO/BN (sebanyak 14 kerusi) dan parti-parti yang mesra PN (Parti Bersatu Sabah sebanyak tujuh kerusi).

PAS juga diajak ikut serta dengan mempunyai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik (Setiausaha PAS Sabah, Dr. Aliakbar Gulasan).

Walaupun kita berbeza dengan UMNO tetapi di sana banyak titik-titik persamaan.

Kita mengharapkan gelombang dari Sabah itu berlaku di Johor, iaitu (sokongan) pengundi muda, atas pagar termasuk bukan Islam yang tidak ekstrem.

Kita mengharapkan satu perubahan berlaku di Johor.

UTUSAN: Ada penganalisis politik berpendapat PAS lebih cenderung kepada BERSATU kerana mengenang budi parti itu membawanya menyertai kerajaan Pusat?

ABDUL HADI: Sebenarnya kita menerima dua-dua, PN dan MN.

Yang perlu disedari, perubahan kerajaan daripada PH kepada PN ini diusahakan dahulu oleh PAS dan BERSATU.

Pada awalnya, saya berjumpa dengan pimpinan utama BERSATU, termasuklah Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri supaya buat satu perubahan melalui Parlimen.

Proses demokrasi dengan kita mengumpulkan ahli-ahli Parlimen Islam dan yang tidak ekstrem dalam kalangan bukan Islam dan mendapat jumlah yang cukup, kita buat kerajaan campuran yang lain.

Ini kerana PAS sangat tidak senang dengan PH yang didominasi dalam kalangan liberal dan bukan Islam.

Sebaik sahaja mereka menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kita melihat kenyataan-kenyataan yang sangat ekstrem yang mencabar Islam, raja-raja dan orang Melayu sendiri yang boleh menimbulkan ketegangan.

Cuma terdapat kekhilafan bila Tun (Dr. Mahathir) mahu buat kerajaan perpaduan melibatkan semua parti politik.

Kita tak bersetuju kerana kalau buat kerajaan perpaduan, masih jumlah yang besar dalam kalangan itu (PH).

Sebab itu, PAS mencadangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin (ganti Dr. Mahathir) dan beliau terima dan dapat jumlah yang cukup.

Kemudian kita jumpa Datuk Seri Mohamad Hasan (ketika itu Pemangku Presiden UMNO pada 2019), cadangkan perkara lebih besar lagi iaitu membuat perubahan dan mereka bersetuju.

Lepas itu barulah UMNO ikut serta.

Bila kita berjaya tubuh kerajaan, kita kena cari nama, buatlah PN.

Nama itu kami sama-sama bincang.

UTUSAN: Orang kata pemimpin PAS ini sudah jauh daripada agama kerana mabuk dengan jawatan dan diberi elaun oleh kerajaan?

ABDUL HADI: Itu satu tuduhan yang tidak tepat.

Kita pernah menyertai kerajaan, kita pernah dipecat daripada kerajaan dan kita parti yang tak mati bila keluar kerajaan.

Kita terus hidup (walaupun tiada jawatan dalam kerajaan).

Banyak parti dalam negara kita yang tak perlu saya sebut, bila tak jadi kerajaan dia terus hilang, tinggal nama sahaja.

Kita jadi parti yang makin maju, ahli dan pengikut kita makin ramai.

Ada banyak dalam kalangan mereka yang mempunyai kelayakan untuk memerintah dan mentadbir negara.

UTUSAN: PAS mahu meneruskan kerjasama menerusi MN tetapi kenapa Tan Sri sebut UMNO itik yang patah kaki dan malangnya bila kakinya dah pulih, dia nak berenang sendiri?

ABDUL HADI: Ya, saya menyambut kenyataan veteran UMNO, bila saya nasihat supaya gabung ketiga-tiga parti ini.

Seorang mengatakan tak perlu ajar UMNO ini, dia itik yang pandai berenang.

Tak payah kita ajar berenang.

Veteran UMNO cakap begitu, jadi saya jawab secara spontanlah.

UMNO dalam keadaan yang kalah, tak jadi kerajaan, kita mendukung, kita buat gabungan ini, berjaya dan memasukkan balik UMNO dalam kerajaan.

Kita kena sedar bahawa (kerusi) UMNO sahaja tidak cukup, BERSATU sahaja tidak cukup, mestilah gabungkan semua, barulah cukup.

Kita mahu mengembalikan seberapa banyak kerusi yang PN ini boleh menang di atas gabungan ketiga-tiga parti yang tak ekstrem ini (dalam PRU15).

Kalau boleh dapat majoriti dua pertiga.

Politik