Jumlah peratusan keluar mengundi dalam PRN Johor, menurun berbanding PRN Melaka iaitu 65.5 peratus.
Ia hanya sekitar 55 peratus sahaja rakyat Johor yang masih merasakan perlunya bertanggungjawab memilih kerajaan yang lebih baik, setelah kerajaan yang ada, diruntuhkan oleh tangan Umno Johor sendiri.
Selebihnya, pengundi, seperti ‘buat pekak badak’ bagi PRN kali ini.
Apa yang mendorong mereka tidak keluar atau pulang ke kampung mereka untuk mengundi?
Mungkin bosan dengan keadaan politik yang keterlaluan.
Umno pula ghairah mencuba resepi demi resepi bagi mencari gambaran tepat, kemahuan pengundi pada PRU 15 nanti.
Walaupun dalam keadaan berpura-pura, Umno kelihatan gembira dengan kemenangan mereka di Johor dan Melaka, namun, jauh di sudut hati mereka, ada gelombang kerisauan. Amat merisaukan.
Umum kita maklum bahawa pertandingan dalam pilihanraya adalah bagaimana mahu menarik lebih ramai pengundi atas pagar menyokong parti mereka dengan isu-isu yang dibangkitkan.
Kecuali jika sesuatu kawasan mengundi itu mempunyai undi teras yang sangat besar, maka kedudukan calon mereka akan selamat.
Peratusan mengundi yang selamat bagi Umno ialah sekitar 70-80 peratus atau lebih bawah.
Umno menang kali ini, tetapi ada undi teras mereka dahulu semakin jatuh.
Bermakna, hanya kerana Umno mempunyai akar umbi yang lebih ramai di Johor dan Melaka, menyebabkan mereka menang, walaupun ada yang sudah berubah.
Pengundi atas pagar yang memberikan kekalahan kepada mereka pada tahun 2018 dahulu, tidak kelihatan lagi keluar mengundi.
Mereka seperti dalam keadaan tidak mahu masuk campur dengan kedunguan politik negara, apa lagi setelah ditipu juga oleh PH. Paling tidak, buat masa ini.
Pengundi yang sebegini, bagaikan senjata rahsia bakal memusnahkan Umno.
Ternyata, hanya pengundi tegar PAS yang tetap konsisten menyokong, malah menambah jumlah undi calon PAS, berbanding Umno yang semakin mengurang.
Sikap pengundi atas pagar yang tidak keluar mengundi ini, tidak memberikan ketenangan kepada Umno dan BN.
Sikap tunggu dan lihat ini, boleh sahaja berubah bila-bila masa dan mungkin akan menjadi lebih teruk berbanding tahun 2018 dahulu, jika Umno tersalah langkah lagi.
Umno mungkin boleh tersenyum kerana menang beberapa negeri.
Tetapi hakikatnya, Kerajaan Pusat, adalah kuasa lebih tinggi.
Inilah yang belum dapat Umno rungkaikan sebelum PRU 15 nanti kerana pengundi atas pagar yang masih tidak menyatakan pendirian mereka.
Rakyat semakin cerdik. Umno semakin tersepit.
Ugutan-ugutan Umno kepada lawan mereka dahulu, sekarang ini, tiada lagi kidungnya.
Umno tahu, mereka gagal mengambil negeri-negeri secara borong seperti mana zaman mereka berkuasa penuh dahulu.
Namun, akal mereka tidak terhenti di situ.
Mereka mengambilnya secara runcit negeri, sebuah demi sebuah.
Dan ujian terbesar ialah bagaimana mereka mahu merampas kembali Kerajaan Pusat secara berkuasa mutlak.
Sehingga kini, usaha mereka masih kelihatan tidak berhasil.
Apa lagi ada dua kem di dalam kepimpinan Umno.
Mahu berkokok konon merekalah yang memberikan contoh terbaik, tetapi pimpinan mereka pula dipenuhi tahi salah laku.
Mahu mengambil kuasa mutlak di Pusat, bilangan kerusi pula tidak tercapai.
Ingin bersama dengan PKR, ahli mereka pula yang bangun menentang.
Apa yang mahu Umno tunjukkan sebagai alternatif kepada parti lain jika keadaan mereka masih parah dengan cedera kebencian rakyat yang dahulu?
Tiada…..mereka hanya bermegah dan mengungkit-ngungkit perihal sejarah mereka, dan bukannya sikap mereka yang diubah untuk agama dan negara.
Jalan yang Presiden PAS angkat iaitu perkukuhkan MN dan pertahankan PN adalah jalan yang terbaik demi Islam dan bangsa, menggabungkan parti teras Melayu Islam terbesar.
Dengan DAP yang juga gagah mendapat 10 kerusi bagi parti mereka sahaja, menunjukkan kaum bukan Melayu bersatu sesama mereka.
Sayang tudak bagi Melayu Islam.
Tahniah warga Johor atas sikap anda ini, membuatkan tiada parti yang boleh merasa selesa dengan kemenangan masing-masing, selagi pengundi atas pagar, tidak menyatakan pendirian mereka.
Laungan bubar parlimen itu hanyalah retorik bagi menakut-nakutkan lawan.
Mereka pasti gerun jika peratusan keluar mengundi melebihi 85 peratus.
Kerana sejarah membuktikan, mereka akan kalah dengan peratusan itu.
Kes mahkamah pimpinan mereka, masih menjadi igauan.
Mohd Nasir Abdullah
