Umno Mabuk Berat, Mesti Dibantu Pulih

Umno Mabuk Berat, Mesti Dibantu Pulih

Jika kemenangan Umno yang bak buih di Melaka, masih belum dapat menyedarkan mereka, mungkin kita boleh menganggap yang mereka memang terlalu gembira kerana dilihat bagaikan berjaya membuktikan kepada semua yang Umno masih amat berbisa dalam dunia politik Malaysia ini.

Anggap mereka, mereka masih parti keramat.

Tetapi bila sahaja kemenangan mereka di Johor, yang sebenarnya lebih parah keadaan sokongan terhadap mereka, dan mereka masih kelihatan amat gembira, ia jelas ada sesuatu yang tidak kena.

Mungkin mereka sedang mabuk berat dengan tegukan buih kemenangan kedua mereka ini.

Buih yang hanya nanti akan hilang.

Ia muncul hanya sementara.

Itupun kerana dikocak.

Formula mudah dan berkesan sudah dicadangkan.

Gabungkan ketiga-tiga parti terbesar Melayu Islam Umno, Bersatu dan PAS.

Ia akan memantapkan Melayu Islam.

Sehingga kini, Umno masih berkeras untuk tidak menerimanya.

Disebut-sebut jahatnya parti Muhyiddin, hingga Umno lupa kejahatannya mereka.

Malah di Terengganu, mereka mengisytiharkan perang, mendahului semua negeri-negeri lain.

Peliknya, nun di Selangor, Perak dan Kedah pula, mereka masih mahu bersama PAS.

PAS konsisten di semua negeri, akan memperkukuhkan MN dan mempertahankan PN.

Hanya beberapa kerat individu dalam Umno yang menghadapi tuduhan serta sudah ada yang dijatuhkan bersalah, maka mereka memilih sikap alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.

Percaya yang mereka akan berkuasa kembali dan mengenepikan pendakwaan itu.

Padahal mereka mesti membuktikan mereka tidak bersalah di mahkamah.

Jika tidak, samalah mereka dengan Anwar yang tidak pernah mengaku bersalah, walaupun sudah beberapa kali dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

Ironinya, Najib dan Zahid dahulu, mempertahankan kedaulatan mahkamah, sekarang dilihat senada dengan Anwar.

Ada konspirasi katanya.

Dalam masa yang sama, Muhyiddin mendedahkan permintaan Zahid untuk dilepaskan dari pertuduhan.

Ketika Ismail Sabri duduk bersemayam di atas singgahsananya juga masih belum melepaskan Najib dan Zahid, andai benar mereka berdua tidak bersalah dan kuasa politik boleh mempengaruhi mahkamah.

Kesan kepada tindakan kedua individu ini telah meranapkan impian Melayu Islam bagi menegakkan negara ini dengan teras Melayu Islam sebagai tunjangnya.

Ia bukan cerita dongengan.

Rahsia ini diceritakan sendiri oleh pimpinan Umno kepada massa.

Umno sengaja mahu melupakan statistik undi popular yang telah mereka kalah semenjak PRU 2013 lagi.

Benar, kita mengamalkan ‘first past post’ bukan ‘propotional representative’.

Namun selama mana Umno mahu bergantung dengan keadaan sedemikian?

Masihkah Sarawak akan menjadi ‘fixed deposit’ bagi Umno dan BN?

Bagaimana pula dengan Sabah?

Harus diingat, pembangkang dalam keadaan berpecah dan peratusan mengundi yang rendah.

Jadi 43 peratus itu boleh dikalahkan, jika tidak kena percaturan.

PAS selalu mengingati pesan Rasulullah dalam sebuah hadis iaitu baginda mengibaratkan dalam sebuah kapal, ada golongan di bawah yang cuba menebuk perut kapal kerana mahukan air.

Jika dibiarkan, akan tenggelam kapal itu.

Maka PAS berusaha untuk menghalang golongan penebuk kapal ini kerana kesannya kepada semua.

Tetapi begitulah Islam, ia bukan hanya semudah menyebut.

Halangannya terlalu banyak.

Tiada apa yang Presiden PAS mahukan.

Ketiga-tiga parti ini mesti bersatu di bawah satu agenda yang lebih besar.

Kita semua sedang memerhatikan Umno.

Walaupun bukan parti kita, tetapi kesan keputusan mereka mempertahankan kluster yang tidak berguna itu, akan terkena kepada kita dan anak cucu kita.

Ketika Umno tegas menolak PN kerana Bersatu, atas nama maruah kerana dikhianati, bagaimana pula maruah parti mereka dinjak-injak oleh pimpinan mereka yang telah didapati bersalah dan sedang dibicarakan sekarang atas salah laku melibatkan harta rakyat?

Oleh itu agenda penyelamatan ini, Presiden PAS sanggup lakukan demi menyedarkan Umno yang dalam mabuk dan peningnya yang teruk itu walaupun beliau dihina.

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis