Pemandu Kami Sangat Piawai, Berstrategi Dan Ossem!

Pemandu Kami Sangat Piawai, Berstrategi Dan Ossem!

Kolam kedamaian hati aku sangat terusik apabila maruah Tuan Guru Presiden dibedal dan dimuntahkan oleh seorang MP bebas yang sebelum ini mendapat laba kehidupan yang besar apabila bersama Parti Islam.

Bercerai bukan bermakna kita mendapat lesen untuk mengaibkan bekas pasangan kita, seolah tiada secubit kebaikan yang kita tuai dalam fasa perkahwinan, itulah tamsilan yang sama apabila kita berpindah kapal.

Jangan dibakar pakaian nakhoda walau membusung kebencian searas mana sekali pun!

Naratif hitam cuba digarap untuk mewajarkan justifikasi mengapa baiah dilanggar dan melepaskan ikatan daripada jamaah Islam.

Pemandu disalahkan dan diremehkan kononnya melanggar prinsip parti dalam memutuskan tindakan besar pemuafakatan politik PAS.

Kami insya Allah mengenali ketulenan watak Tuan Guru Presiden yang bergulat dalam medan amal Islami semenjak zaman remaja.

Ya mungkin, kesilapan dalam memimpin mungkin ada kerana beliau juga manusia.

Namun ketrampilan, kompetensi kepimpinan, kebolehan membaca unjuran strategi, pemikiran krititis dan analitikal adalah pakej yang dimiliki oleh Tuan Guru Presiden.

Dalam karektor organisasi, PAS tidak seperti parti konvensional yang lain.

PAS sebagai “mass movement”, harakatul ummah yang memayungi umat Islam yang bercita-cita melihat tegaknya pemerintahan Islam.

PAS adalah gerakan tajnid, jamaah yang mempunyai sistem perkaderan dakwah seperti gerakan Islam yang lain.

Uniknya parti seperti PAS ini, pemimpin utamanya bukan sekadar mentarjih arahan kepada ahli-ahli, bukan sekadar menyarung pakaian anggota legislatif, politisi yang hebat diatas podium, namun pemimpin utama PAS mestilah berwatak murabbi yang mendidik dan mengasuh ahli-ahli menuju jalan akhirat.

Inilah watak kepimpinan dan aura kepimpinan yang ada pada batang tubuh Presiden PAS kini yang kami mesrai sebagai Ayah Chik.

Antara mozaik pengalaman aku bermusafir dengan AC (Ayah Chik) ke Afrika Utara, Algeria dan Tunisia.

Sosok pemimpin ini sangat dekat dengan Tuhan, mengisi masanya dengan perkara berfaedah.

Sepanjang perjalanan udara, sibuk meninta untuk dihidang kepada ummah.

Menjaga setiap detik masa dan pastilah dalam tim anggota misi, aku disorot mata tajam AC agar menjaga masa kehadiran program dengan tepat.

Dia tak berkompromi bab menjaga kesempurnaan solat.

“Sok sembahyang subuh bilik ayah chik belaker” perintah AC kepada kami semua, peserta rombongan misi pendidikan di Tunisia.

Itulah sosok pemimpin kami, solat tetap menjadi perkara utama dalam kehidupan.

Usai solat subuh, kami dihidang pula dengan tazkirah yang mendamaikan rohani, juga bualan santai yang berintikan ilmu.

Pandangan AC tentang politik sangat luas, bukan sekadar pembacaan namun keterlibatannya semenjak zaman remaja.

Aku di meja makan Sheikh Rashid Ghanousi bersama AC, makan malam diiringi diskusi yang panjang.

Hidangan silih bertukar kerana itulah sub budaya orang Arab bila menyantuni tetamu.

AC pemimpin kanan gerakan Islam dunia, bahkan mufakkir yang sangat dihormati,

Ghanousi sangat piawai dalam mengemukakan idea dan menyebabkan ramai anak muda peserta idea post Islamism meminati figura penting Tunisia itu.

Ada satu dialog yang aku ingat sampai mati antara Ghanousi dengan AC, namun tak sesuai untuk diceritakan disini.

Ini bukti bagi aku bahawa AC sangat genius dan bukan jenis “inferiority complex”.

Kadang tak masuk akal bagi aku, dalam mendaki tingkat dua bangunan utama University Zaituna, potret-potret lama pemikir, ilmuan Tunisia berjejeran pada dinding antara tangga, Ayah Chik mensyarahkan dengan terperinci siapakah sosok sosok ilmuan itu dalam rakaman sejarah dunia Islam.

Aku terpanar!

Tahap kognitif sosok ulama ini seperti menyerap pati-pati ilmu dalam peti akal yang kukuh.

Dunia Islam mengiktiraf kepimpinan AC, gerakan Islam dunia mengiktiraf kekuatan akalnya, kompetensi dan pengalamannya merencah strategi gerakan.

Siapakah anda yang melabelnya sebagai pemandu yang membawa kenderaan sehingga terhoyong hayang?

Aku saksimata banyak perkara, bahkan karomah sosok ulama haraki ini namun apa pesanan AC padaku, “enta wan jangan tulis!” ….insan ini tak mahu dikultuskan.

Demi Allah, aku ingin sangat menulis mengenai AC daripada sudut pandang “in person” namun tak dibenarkan lagi selagi mana beliau masih hidup. “ana pun tak tahu, bagaimana hujung hidup ana, istiqomah tak dengan perjuangan Islam ini” lirih kata-kata murabbi ini.

Hatiku basah!

Moga AC terus sihat membimbing ummah.

Pandulah kami wahai murabbi, kami tak pernah merasa pening dan terhoyong hayang dalam kafilah ini.

Kami tenang meneguk mutiara ilmu daripada AC, kami yakin keupayaan AC merencah strategi parti dalam membadai siasah Malaysia yang sangat rencam ini.

Kami dengar dan kami taat!

Oleh: Dr Ustaz Riduan Mohd Nor

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

Kolumnis