Sikap Kita Kepada Sikap Dr Khairuddin At-Takiri

Sikap Kita Kepada Sikap Dr Khairuddin At-Takiri

Hampir empat tahun dahulu, sekitar bulan Mei 2018, sebelum PRU-14, saya berpeluang hadir dalam satu majlis yang amat penting dan yang amat saya ingin sertai bagi melihat sendiri perjalanannya.

Majlis Bai’ah calon-calon PAS bagi Negeri Terengganu.

Kebetulan saya menjadi sebahagian anggota media PAS Terengganu, langsung memudahkan saya menyertainya.

Semua calon membawa pasangan masing-masing.

Ada calon baharu yang mukanya jelas kelihatan pucat lesi sewaktu mengangkat bai’ah di hadapan Presiden PAS dan Pesuruhjaya PAS Terengganu, melambangkan ketakutan jika melanggar janji.

Dan salah seorang daripada 40 orang calon Dun dan Parlimen itu ialah Dr Khairuddin Aman Razali.

Bai’ah bukan benda mudah.

Ia melibatkan sumpahan laknat terhadap diri kita.

Tidak perlu saya menulis panjang berkenaan hal ini, calon-calon lebih tahu akan hakikat bai’ah itu.

Mungkin Raja Bahrin sekarang tersenyum puas, terkenangkan beriani kambing yang beliau tempah bagi membayar kaffarah sewaktu keluar PAS dahulu, sekarang bagaikan telah diiktiraf oleh Dr Takiri.

Saya mengikuti isu ini dan memerhatikan sikap orang PAS terhadap sikap Dr Takiri ini.

PAS perlu menumpukan kepada banyak perkara dan semua itu memerlukan tumpuan terutama penerangan.

Maka masalah pimpinan, biarlah mereka yang selesaikan sesama mereka.

Sudahlah yang ada tidak berapa kerat, nak tumpang berkelahi dengan pimpinan pula?

Ada juga yang membandingkan beza sikap keras ahli PAS terhadap kumpulan 18 yang disingkirkan oleh ahli PAS dalam Muktamar, tetapi kelihatan lembut dengan Dr Khairuddin.

Ya ada bezanya. Mereka yang disingkirkan dahulu, dengan jelas membocorkan maklumat parti.

Ada yang menghina Presiden dalam mesyuarat.

Ada yang menubuhkan NGO baru seperti Pasma.

Ada yang mahu membawa PAS menjadi khadam DAP.

Ada yang menguasai Harakah.

Ada segelintir yang merampas harta PAS.

Sehinggakan berjaya membawa sebanyak 20 peratus ahli PAS keluar.

Mereka agak kuat.

Berbeza dengan Dr Khairuddin.

Beliau tidak mempunyai akar umbi yang kuat.

Sehinggakan di Kawasan Kuala Nerus, kawasan beliau menjadi Ahli Parlimen juga, beliau tiada jawatan, walaupun sudah lama berusaha untuk itu.

Dua penggal menjadi Ahli Parlimen, tetapi tidak menjadi AJK Kawasan, apa maknanya?

Cara beliau berhenti juga pada mulanya tidak menunjukkan keras.

Jadi tindakan keras kita hanya setelah melihat beliau cuba mengeraskan pertelingkahan.

Ada yang begitu marah atau gembira dengan keluarnya beliau.

Masing-masing mula menyerang peribadi, meratib-ratib kisah-kisah beliau yang disebut orang.

Tidak patut kita melakukan semua itu kerana hal peribadi tidak perlu disamakan dengan isu ini.

Sama apabila anak pimpinan Pan ditangkap kerana dadah.

Sebenci mana sekalipun kita terhadap mereka, hal peribadi, bukan hal yang untuk dikutuk.

Entah nanti terbalik kepada kita. Nauzubilllah.

Ada juga yang memuji-muji beliau kerana jasa dan tinggalan beliau sewaktu mempunyai kuasa dahulu.

Perlu diingat, ini bukan ‘one man show’.

Dalam PAS, kita bergerak dengan kekuatan jemaah.

Berterima kasih dengan bantuan itu adalah sikap terpuji.

Namun memuji lagak bagaikan hanya dia seorang yang berjasa, itu tidak betul.

Jadi berpada-padalah dalam mengenang jasa orang.

Bagi saya, inilah sikap yang sepatutnya kita zahirkan terhadap beliau.

Akhirnya, oleh kerana beliau mendakwa beliau berhenti menjadi ahli PAS kerana mahu menegur pimpinan PAS, atas rasa sayang beliau, maka kami juga merasa gembira kerana sekarang kami juga boleh menegur secara bebas beliau kerana beliau bukan lagi pimpinan kami yang perlu mengikut saluran.

Kami boleh tegur masalah Dr sebelum ini yang melibatkan orang ramai dan jemaah yang memberikan kesan negatif kepada parti.

Tetapi cukuplah sekadar kita ulang apa yang almarhum TGNA ucapkan dalam satu ceramah.

Waktu itu ada sedikit krisis PAS Kawasan Besut dengan Perhubungan Negeri Terengganu sekitar 90-an dahulu.

Kata almarhum kepada orang yang sedang marah itu, kita tahu dia pakai kain, tapi tak pakai seluar dalam.

Jadi kita tak nak selak kain dia depan orang.

Semoga Allah selamatkan saya dan kita semua dari futur.

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis