Jangan Ulangi Tragidi Natrah

Jangan Ulangi Tragidi Natrah

Pada 21 Febuari 2022 iaitu lebih sebulan lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan permohonan habeas corpus ibu tunggal Puan Loh Siew Hong untuk mendapatkan semula hak penjagaan tiga anaknya, dua perempuan kembar 14 tahun dan seorang lelaki 10 tahun.

Kes Puan Loh ini cukup rumit kerana ia bukan sekadar krisis rumahtangga biasa antara suami dan isteri, tetapi ia turut melibatkan hak penjagaan anak-anak yang telah pun menukar agama dari agama asal Hindu kepada Islam pada Julai 2020.

Si suami bertindak menukar agama anak-anaknya, dan anak-anaknya itu kemudiannya telah dipelihara oleh keluarga Islam yang telah membesarkan mereka dan memberikan pendidikan agama yang sempurna sehingga kedua yang perempuan telah kini mengenakan pakaian lengkap menutup aurat dan dilaporkan menghafaz sebahagian al Quran manakala si lelaki pula pernah menjadi juara pertandingan muazzin.

Ramai khasnya umat Islam yang risau, bukan pada krisis rumahtangga pasangan ini, tetapi lebih pada nasib dan masa depan anak-anak yang telah Islam itu.

Tidak menjadi masalah jika Puan Loh mahu menjaga anak-anak kandungnya itu, itu hak beliau.

Tetapi masalahnya, anak-anaknya itu kini telah menganut Islam, rakyat Malaysia beragama Islam bimbang adakah Puan Loh akan bertindak menukar agama anak-anaknya untuk kembali menganut agama asalnya iaitu Hindu, apakah ini akan berlaku setelah Puan Loh mendapat hak penjagaan?

Kes ini mengingatkan kita semua pada Tragedi Natrah atau Maria Hertogh yang berlaku lebih 72 tahun lalu di Singapura.

Ia kes perebutan anak yang terpisah angkara perang dunia.

Maria, 5 tahun kemudiannya dibela oleh suatu keluarga Islam dan dimasukkan Islam dengan mengambil nama Natrah.

Pada usia 13 tahun penjaganya Che Aminah Mohamad telah mengahwinkan Natrah dengan seorang guru, Mansor Adabi kerana bimbangkan Natrah dituntut oleh ibu-bapa asalnya.

Mahkamah di Singapura yang ketika itu di bawah penjajahan British telah kemudiannya memerintahkan Natrah diserahkan kembali kepada keluarga kandungnya di Belanda manakala bapanya nanti diberi kuasa menentukan agama Natrah.

Natrah dipisahkan dari suaminya dan kemudian pihak berkuasa Singapura mematuhi perintah Mahkamah telah menghantarnya pulang ke Belanda dan akhirnya dikembalikan ke agama asalnya iaitu Kristisan.

Walaupun kes ini asalnya kes perebutan hak menjaga seorang gadis, tetapi ia meletus menjadi satu insiden besar kerana gadis itu telah memeluk Islam dan berkahwin ikut hukum Islam.

Usaha menyerahkannya kembali ke ibu-bapa asal dilihat oleh umat Islam ketika itu sebagai usaha memurtadkan seorang gadis Islam dan menghina agama Islam.

Akibatnya berlaku rusuhan kaum di Singapura sehingga mengorbankan 18 nyawa manakala lebih 200 lagi telah tercedera.

Darurat terpaksa diisytiharkan.

Kini setelah negara bebas Merdeka, Islam sebagai agama Persekutuan, dan anak-anak bangsa memegang teraju negara, sekali lagi kes hak penjagaan anak-anak bakal meletus menjadi isu agama laksana Natrah.

Pada 25 Mac baru-baru ini Puan Loh telah memohon perintah semakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bahawa proses pengislaman anak-anaknya yang dibuat hampir 2 tahun lalu telah dilakukan tanpa izinnya.

Melalui tindakannya Puan Loh telah menamakan Pejabat Pendaftar Mualaf, Majlis Agama Islam Perlis, Mufti Perlis dan kerajaan negeri Perlis sebagai reponden.

Beliau turut memohon agar mahkamah membatalkan pengislaman anak-anaknya itu dan diisytiharkan sebagai penganut Hindu.

Apakah yang mendorong Puan Loh untuk memohon menukar agama anak-anaknya yang tidak berdosa itu?

Beliau telah pun peroleh hak penjagaan ke atas mereka, apa perlu menukar agama mereka.

Tidakkah Puan Loh sedar tindakannya itu boleh membangkitkan kemarahan umat Islam dan jika tidak ditangani dengan baik tidak mustahil apa yang berlaku di Singapura 72 tahun lalu boleh pula berulang.

Siapakah penasihat-penasihat kepada Puan Loh sebenarnya?

Adalah difahamkan beberapa pimpinan DAP khasnya dari Pualu Pinang terlibat dalam menghasut dan mempengaruhi Puan Loh.

Kita tidak faham mengapa Puan Loh perlu mengambil jalan berkonfrantasi dengan pihak berkuasa Islam, dengan umat Islam yang selama ini cukup sabar dan tidak mahu menganggu urusan Puan Loh dan anak-anaknya.

Malah ketika Puan Loh berkrisis dengan bekas suaminya, anak-anaknya dipelihara dan diasuh oleh orang-orang Islam secara sukarela.

Tetapi memilih untuk mengambil pendekatan ekstrim seumpama ini ternyata mencabar kesabaran umat Islam yang cukup sensitif dalam isu murtad terutama yang melibatkan anak-anak seperti anak-anak Puan Loh yang telah menerima dan terdedah pada Islam.

Sepatutnya Puan Loh dinasihatkan agar mengambil jalan damai.

Berunding dan berbincanglah dengan semua pihak agar satu jalan penyelesaian yang terbaik dapat diambil demi kebajikan dan masa depan anak-anak tadi.

Tetapi ternyata Puan Loh telah dibakar dan dihasut oleh penasihat-penasihatnya yang kononnya memburuk-burukkan Islam, dan pihak berkuasa agama.

Kononnya hak beliau dicabuli, hak anak-anaknya juga begitu.

Jika Puan Loh cukup membenci dan memarahi bekas suaminya sekalipun janganlah sampai Islam diheret sebagai penyumbang pada krisis dan masalah rumahtangganya.

Kini ternyata Puan Loh rela memilih jalan berkonfrantasi.

Saya yakin umat Islam tidak akan mendiamkan diri.

Di Singapura 72 tahun lalu, walaupun ketika dijajah namun api kecintaan pada agama dan pembelaan aqidah individu Islam yang lain tidak pernah sesekali terpadam.

Mereka sanggup bangun dalam keadaan terbelenggu.

Umat Islam perlu bersatu menghadapi tentangan ini.

Parti-parti politik Melayu Islam samada di pihak kerajaan mahupun pembangkang sepatutnya mengenepikan perbezaan mereka dan memberi tumpuan khas kepada kes yang sensitif ini.

NGO-NGO dan tokoh-tokoh Islam tempatan sepatutnya mengumpulkan kekuatan, mencari jalan bagaimana menyelamatkan aqidah anak-anak yang tidak berdosa ini.

Jika perlu melibatkan pihak Istana sebagai payung ummah, maka segeralah lakukan.

Kerajaan juga sama ada Perdana Menteri mahupun Menteri di JPM Hal Ehwal Agama perlu mengambil langkah proaktif menenangkan suasana, memberikan jaminan kepada umat Islam bahawa malapetaka seumpama kes Natrah tidak akan berlaku di tanahair tercinta ini.

Kita tidak punya banyak masa, jangan sampai kes murtad berlaku di depan mata, tetapi kita tidak mampu lakukan apa-apa.

Roslan SMS

(Sempena bulan Ramadhan yang penuh barakah bermula 3 April ini ayuh semua kita solat hajat dan panjatkan doa kehadrat Allah SWT yang Maha Mendengar agar melindungi aqidah anak-anak yang tidak berdosa ini.)

Kolumnis