Apakah Hukum Keringanan Berbuka Puasa Kerana Musafir?

Apakah Hukum Keringanan Berbuka Puasa Kerana Musafir?

Apabila semakin hampir dengan akhir Ramadan, ramai yang akan pulang ke kampung halaman untuk menyambut hari raya Aidilfitri.

Terdapat sebahagian orang yang kampung halamannya berada jauh beratus kilometer, maka ia memerlukan tenaga yang banyak untuk mengharungi perjalanan yang panjang, tambahan pula perlu menghadapi kesesakan lalu lintas yang panjang kerana sudah pasti ramai yang bersesak pulang ke kampung halaman.

Sekiranya seseorang itu mengalami kesukaran untuk memandu atau melakukan perjalanan kerana keletihan dan mengantuk akibat puasa serta risau boleh membawa kemudaratan terhadap dirinya atau kepada orang lain, maka para ulama bersepakat boleh untuk dia mengambil keringanan untuk berbuka puasa sekiranya dia mahu serta wajib menggantikannya pada hari yang lain.

Dalil keharusan dalam mengambil rukhsah tersebut berdasarkan firman Allah SWT:

,فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أيَّامٍ أُخَرَ

“Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain.”

(al-Baqarah: 184)

Menurut Imam al-Muzani dalam mazhab Syafi’i sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’, boleh mengambil rukhsah berbuka walaupun perjalanan musafir dilakukan di siang hari Ramadan dan bukannya bertolak sebelum terbit fajar.

Mengambil keringanan itu boleh jadi lebih afdal diambil sekiranya diyakini terdapat mudarat yang menimpa sekiranya tidak berbuka seperti mengambil kopi untuk elak mengantuk atau mengambil makanan untuk menambah tenaga.

Nabi SAW mengakui bahawa tidaklah ada kebaikan jika berpuasa sehingga membawa kepada kemudaratan dalam perjalanan. Rasulullah SAW pernah dalam suatu perjalanan melihat kerumunan orang, yang diantaranya ada seseorang yang sedang dipayungi.

Baginda bertanya: “Ada apa ini?”

Mereka menjawab: “Orang ini sedang berpuasa”.

Maka Baginda bersabda: “Bukanlah suatu kebaikan, berpuasa dalam perjalanan (musafir)”.

(Riwayat al-Bukhari)

Tidak perlu menunjuk-nunjuk untuk makan dan minum ketika musafir.

Namun jika kita melihat orang yang sedang berbuka ketika siang Ramadan, kita tidak berburuk sangka, malah sepatutnya masing-masing memahami bahawa bukanlah satu keaiban untuk berbuka ketika musafir.

Selain itu, makruf di highway adalah tempat orang bermusafir dan melakukan perjalanan jauh serta panjang.

Imam Bukhari melaporkan bahawa Rasulullah SAW berangkat dari Madinah menuju Makkah dalam keadaan berpuasa sehingga ketika sampai di daerah ‘Usfan, Nabi SAW meminta air lalu Baginda mengangkat air itu dengan tangan agar dilihat oleh orang ramai, lalu Baginda SAW berbuka hingga tiba di Makkah.

Kejadian ini di bulan Ramadhan.

Dan Ibnu ‘Abbas juga berkata:

“Dan Rasulullah SAW juga pernah berpuasa dalam suatu perjalanan dan juga pernah berbuka. Maka siapa yang mahu berpuasa silakan berpuasa dan siapa yang mahu silakan berbuka”.

(Riwayat al-Bukhari)

Rukhsah keringanan itu tidak terhad kepada pemandu sahaja, malah penumpang sama ada kenderaan persendirian atau awam seperti bas, kapal terbang atau keretapi diharuskan mengambil rukhsah tersebut.

Di antara tujuan syariah Islam adalah memelihara nyawa dalam setiap keadaan.

Justeru, boleh mengambil rukhsah keringanan dalam urusan agama sekiranya diandaikan boleh membahayakan nyawa atau tidak mampu.

Wallahu A’lam.

Dr. Fathullah Al Haq Asni

Kolumnis