Jenaka Keterlaluan, PAS Teguhkan Usaha Penyatuan Ummah

Jenaka Keterlaluan, PAS Teguhkan Usaha Penyatuan Ummah

Firman Allah S.W.T:

وَلَا تَهِنُوا۟ وَلَا تَحْزَنُوا۟ وَأَنتُمُ ٱلْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ.

Janganlah kamu bersikap lemah (merasa hina), dan janganlah (pula) kamu bersedih hati (berduka cita) padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman”.

(Surah Aali Imran : 139)

Allah S.W.T mengingatkan kita bahawa kemuliaan dan harga diri seseorang manusia di sisi Allah adalah berdasarkan keimanannya kepada Allah S.W.T, manakala keimanan perlu ada hasilnya (buah) sebagai bukti yang juga disebutkan sebagai thamaratul iman seumpama pokok yang nampak subur namun jika tiada buah, tiada gunanya pokok itu.

Sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W kita dituntut agar saling berkasih sayang kerana Allah, bahkan ada ketikanya kita dituntut membenci sesuatu kerana Allah.

Dari hadis Al Barra’ bin ‘Aazib, Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya ikatan keimanan yang paling kuat adalah engkau mencintai kerana Allah S.W.T dan engkau membenci kerana Allah S.W.T.”

(Musnad Ahmad)

Kenyataan yang mencadangkan PAS dibubarkan adalah jenaka yang menunjukkan kurangnya menilai politik secara matang dan kasih sayang.

PAS melalui pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) sejak sekian lama mengajak umat Islam dan seluruh masyarakat dalam negara kita agar dapat duduk bersama demi kepentingan agama, bangsa, masyarakat dan kesejahteraan negara dengan menghormati perlembagaan negara untuk kita melupakan segala persengketaan lampau.

Kita sedar kekuatan UMNO di beberapa negeri seperti Johor dan Melaka namun UMNO juga perlu menyedari kekuatan PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Manakala kekuatan di negeri-negeri lain adalah bercampur dengan parti-parti lain.

Penyatuan Ummah yang menyeluruh ini pastinya dapat menatijahkan kestabilan negara yang menyeluruh dan menyatupadukan rakyat berbilang kaum dengan lebih rukun.

Dalam konteks yang lain, PAS dapat membuktikan pendekatan Islamisasi dalam pentadbiran dari pelbagai aspek.

Ini dapat dilihat sepanjang pemerintah di Kelantan yang telah melebihi 30 tahun walaupun penuh dengan dugaan, sekatan dan tekanan namun tiada kes rasuah melibatkan kepimpinan PAS.

Amalan ribawi dalam kewangan kerajaan negeri berjaya dihentikan dan pusat maksiat yang merosakkan generasi berjaya ditutup.

Begitu juga di Terengganu dan Kedah.

UMNO perlu buktikan perlaksanaan langkah Islamisasi di negeri yang ditadbir secara majoriti oleh UMNO BN.

Semua pihak perlu menilik dengan cermat realiti ini agar kata-kata yang keluar tidak mendahului kecerdikan akal dan melukakan hati saudara seagama lebih-lebih lagi kita masih dalam tempoh berhari raya sepanjang Syawal.

Muafakat membawa berkat.

Penyatuan membina kekuatan.

Kesabaran pengakhirannya kejayaan.

Kesombongan akan membawa kehancuran.

Perpecahan membawa lemah dan kebinasaan.

Justeru pesanan untuk semua, berjenaka biarlah benar, berlawak biarlah tepat.

Semoga akan tetap ada sinar ke arah Penyatuan Ummah yang menyeluruh di negara kita.

Utamakan kepentingan masyarakat dan kesejahteraan negara, bukan kehendak dan kerakusan kuasa.

Pemimpin berintegriti pilihan semua.

PAS tetap teguh memperjuangkan Penyatuan Ummah yang menyeluruh termasuk bersama rakan-rakan bukan Islam yang tidak ekstrem dari Perlis hingga ke Sabah.

Semoga usaha ini diberkati oleh Allah.

‘Islam Menyatukan Ummah’

Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir dan Batin

Al-Faqiiru IlalLah,

Abu Irfan Muhammad Al-Urduni

Ketua Penerangan PAS Johor.

Kolumnis