Motif UMNO Terengganu Ialah Kuasa

Motif UMNO Terengganu Ialah Kuasa

PAS mentadbir Terengganu sudah cukup cemerlang.

Wakil rakyat benar-benar berfungsi sebagai mewakili rakyat.

Banyak projek kerajaan terdahulu telah dibaiki, dibaikpulih dan diteruskan agar tidak menjadi legasi pembaziran bikinan BN.

Tiada lagi bantuan kerajaan diberi mengikut kecenderungan politik seseorang.

Wakil rakyat BN sendiri dapat merasai peruntukan daripada kerajaan negeri secara adil.

Tiba-tiba ADUN Kijal, YB Dato Seri Ahmad Said dan UMNO Terengganu tanpa segan dan silu mengumumkan bahawa UMNO akan melawan PAS di semua kerusi di Terengganu.

PAS Terengganu sebenarnya belum membuka aib pemerintahan BN di Terengganu sejak sekian lama.

PAS masih mengharapkan ada cahaya di hujung terowong dalam Muafakat Nasional (MN).

PAS menyedari perpaduan ummah amat penting seperti digariskan di dalam al-Quran yang menjadi pegangan dan panduannya.

Sepatutnya UMNO juga menyedari seruan Allah dan Rasul agar ummah ini bersatu.

Namun malangnya, UMNO lebih suka ‘bergaduh’ demi suatu yang telah hilang dari mereka, iaitu kuasa.

Sebetulnya, sekiranya wujud selepas PRU15 nanti kerajaan MN, UMNO dan PAS sama-sama dapat berkongsi kuasa.

Pastinya, UMNO juga dapat membarisi jawatan EXCO dan mengepalai jawatan-jawatan penting kerajaan termasuk GLC.

Jadi, tidak patut wujud sikap bermusuhan kalau sama-sama bertolak-ansur demi rakyat Terengganu.

Penulis yakin orang PAS dan orang UMNO di Darul Iman ini sudah cemuh bersengketa berabad-abad lamanya.

Baru sekejap merasai nikmat kasih sayang dan kemesraan ketika MN mula-mula bertunas.

Ralat rasanya apabila api kebencian ini mulai dipercikkan kembali.

Apa motifnya UMNO nekad ‘berperang’ dengan PAS jika melalui MN, PAS dan UMNO sama-sama berkongsi kuasa mentadbir negeri dan berbakti kepada rakyat?

Tidak lain tidak bukan hanya satu sahaja yang tidak dapat diterima oleh YB DS Ahmad Said dan UMNO Terengganu, iaitu beliau atau pemimpin UMNO negeri tidak berpeluang menjadi MB Terengganu lagi.

Inilah sebab mereka tidak boleh terima MN di Terengganu sekiranya dasar perkongsian kuasa dikekalkan mengikut status quo.

Hanya kerana kerusi MB, UMNO Terengganu sanggup mereka-reka justifikasi untuk menumbangkan kerajaan PAS.

Jawatan MB ialah ibu segala kuasa di peringkat negeri.

Tanpa jawatan ini, UMNO fikir tidak perlu wujud MN di Terengganu.

Jalan perang yang menggadaikan keharmonian rakyat bawahan diketepikan.

Lalu dijajalah sedikit kecacatan dan kelemahan yang berlaku.

Sepatutnya YB DS Ahmad Said dan UMNO Terengganu malu sendiri dengan kecacatan dan kerosakan pentadbiran mereka di era BN.

Murninya hati MB Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan PAS Terengganu.

Apabila mengambil jawatan MB dan pentadbiran negeri, beliau khususnya dan PAS Terengganu umumnya tidak mengambil pendekatan balas dendam atau mendedahkan penyelewengan dan kegagalan kerajaan terdahulu.

Hati UMNO dan penyokong mereka dijaga demi mempertautkan hati-hati yang sekian lama berkelodak rasa.

Alih-alih apabila mereka menyedari ‘gelap gambar’ untuk menjadi MB lagi, terus sahaja keris telanjang UMNO dihulur dan dicacak di bumi Tokku Paloh ini.

Saksikanlah wahai rakyat Terengganu.

Kita tidak bersaksikan bulan dan bintang.

Tapi kita bersaksikan kebenaran dan kejujuran.

BayangDiAir

Kolumnis