Ahmad Maslan kadang-kadang amat melucukan.
Lelucon terbaru beliau ialah cadangan agar PAS dibubarkan.
Apakah lelucon itu terbit daripada kotak fikir yang genius atau moron, rakyat boleh menilai daripada justifikasi dan ideanya.
Kalaulah atas alasan UMNO sudah mengubah dasarnya dengan meletakkan Islam di hadapan dalam perlembagaannya, hujah itu tidak cukup kuat.
Sejak perlembagaan UMNO diubah pada PAU 2019 hingga kini belum berlaku secara jelas ‘walk the talk’.
PAS yang mentadbir negeri Kedah pada 2020 sudah mampu menutup premis judi.
Perlembagaan UMNO meletakkan Islam di depan lebih awal dari itu iaitu pada 2019.
Namun sehingga kini bukan sahaja negeri-negeri yang ditadbirnya belum menutup premis judi, malah untuk bercakap tentang pengharaman judi pun masih tidak terbuka mulut.
Adakah cadangan Ahmad Maslan itu selari dengan harapan kepimpinan dan ahli-ahli UMNO masakini?
Atau adakah hanya dengan sekadar mendandani perlembagaan dengan Islam, sudah memadai bagi UMNO membuktikan bahawa perjuangan Islam hanya perlu digalas oleh UMNO lantas PAS tidak perlu wujud lagi.
Tidak pantas bagi PAS untuk melayani lelucon Ahmad Maslan walaupun sekadar untuk dijadikan bahan hibur di waktu senggang.
Bersediakah UMNO mengharamkan judi dan menutup pusat judi di Genting?
PAS telah melakukan dengan sedikit kuasa yang ada di Kelantan, Terengganu dan Kedah dengan cara tidak memperbaharui lesen premis perjudian.
UMNO ada kuasa yang besar daripada PAS dengan kemenangan 2/3 di Johor sebagai contohnya.
UMNO tak perlu bertangguh dan terlalu dayus dengan gertakan MCA atau DAP.
Sifat dayus tidak wajar ada dalam mana-mana organisasi yang mendakwa berjuang untuk Islam.
Sanggupkah UMNO menutup kilang-kilang arak dan mengehadkan penjualannya?
Adakah UMNO ada tendensi untuk menghentikan operasi pengeluaran minuman terlarang yang jelas secara saintifiknya boleh merosakkan minda dan memudaratkan masyarakat?
Apakah sekali lagi UMNO dayus tunduk pada asakan MCA dan konsensus BN-nya?
Kalau begini sikap UMNO, layakkah UMNO mendakwa Islam adalah tunjang perjuangannya.
Islam yang ada dalam perlembagaan UMNO tidak manis dijadikan solekan yang mengelirukan jutaan ahlinya.
Kalau benar UMNO mahu PAS dibubarkan, bersediakah UMNO untuk terus melaksanakan agenda besar RUU355.
Agenda yang sekian lama tertangguh ini amat penting dalam memperkukuh sistem kehakiman dan perundangan syariah.
Amat malang di sebuah negara Islam, sistem kehakiman dan perundangannya berada satu aras di bawah sistem warisan penjajah.
Apakah pemimpin-pemimpin UMNO yang turut dibarisi oleh ilmuan Islam tidak menyedari hakikat yang hina ini?
Apakah ‘kitab konsensus BN’ lebih tinggi darjatnya berbanding dengan kitab al-Quran yang orang-orang UMNO sendiri mengakui bahawa Al-Quran wahyu Allah yang menjadi petunjuk sepanjang zaman?
Penulis yakin sekiranya UMNO boleh melakukan sekurang-kurangnya tiga perkara tersebut, PAS bersedia membubarkan partinya seperti yang pernah disuarakan sejak lama dahulu oleh Almarhum TG Fadhil Noor, Almarhum TG Nik Abd Aziz dan TG Haji Abdul Hadi.
Bukan sekadar itu, ahli-ahli PAS sendiri akan berbondong-bondong menyertai UMNO dengan hasrat menguatkan lagi perjuangan UMNO yang membawa agenda suci Islam.
Ketika itu, bekas ahli-ahli PAS bersedia menjadi galang-ganti yang tegak berbaris di bahagian hadapan sekiranya ada musuh-musuh yang cuba mengusik UMNO.
Cadangan Ahmad Maslan sebenarnya bukan lelucon kalau sarat dengan niat yang ikhlas mahu menyatukan umat dalam satu gerakan politik Melayu/Islam yang tunggal.
Tiada sebab kenapa cadangan ini tidak boleh dibincangkan secara serius antara dua parti teras Melayu/Islam yang terbesar ini?
BayangDiAir