Semenjak daripada mula nama Corazon Aquino disebut massa sekitar 80-an dahulu, saya suka mengikuti perkembangan semasa Filipina.
Ia berkenaan liku-liku seorang balu yang kematian suaminya, sebagai pesaing terkuat kepada apa yang digelar Rejim Marcos ketika itu, untuk mencari keadilan.
Suaminya mati ditembak ketika sampai dari luar negara.
Dan selepas itu, dosa pembunuhan itu, diletakkan sepenuhnya atas batu jemala Marcos.
Perjuangan yang panjang bagi menuntut bela atas kematian suaminya itu mendapat simpati yang akhirnya berjaya membentuk satu gerakan rakyat yang besar, sekaligus menjatuhkan Rejim Marcos.
Penghuni Istana Malacañang, bertukar orang.
Aquino disokong majoriti rakyat kerana beliau dipercayai bakal menyelamatkan Filipina dari Marcos sang diktaktor itu.
Marcos dan Imelda terpaksa lari ke Hawaii dan akhirnya beliau menghemuskan nafasnya di sana.
Bencinya rakyat kepadanya, mayat beliau tidak dibenarkan ditanam di Makam Pahlawan Filipina.
Itulah jalan cerita secara ringkas permulaan reformasi di Filipina yang kita tahu, dikisahkan orang.
Masa berlalu, Presiden berganti Presiden kerana di Filipina, Presiden dihadkan pemerintahannya hanya sepenggal, iaitu enam tahun sahaja.
Idea ini adalah bagi mengelakkan sistem pemerintahan menjurus ke arah kediktaktoran.
Rakyat terus menanti dan berharap akan panas yang dijanjikan itu akan sampai kepetang.
Namun hampa, hujan, ribut bukan ditengahari, tetapi semenjak pagi lagi ia sudah berlaku.
Membanjirkan harapan palsu kepada rakyat.
Aquino dikatakan gagal mentadbir negara.
Beliau berjaya menggerakkan gerombolan memberontak Marcos, yang juga dibantu kuasa luar, tetapi gagal mengemudi negara dengan baik.
Dikelilingi oleh oportunis-oportunis yang kebuluran, mencari peluang, rasuah yang mereka katakan tidak berjaya dikawal oleh Marcos, malah lebih teruk dizamannya.
Fidel Ramos masuk menggantikan Aquino yang mana Ramos sebenarnya bukan pilihan parti, tetapi pilihan Aquino yang tidak menyukai seorang lagi calon yang dipilih oleh majoriti jawatankuasa partinya.
Dia sendiri menolak demokrasi dalam partinya.
Keparahan pentadbiran Filipina menjadi berganda selepas Ramos keluar dari Pejabat Presiden kerana penggantinya ialah seorang bekas pelakon, Joseph Estrada.
Beliau berjaya memenangi pilihanraya kerana kepopularannya di layar perak.
Dan apabila ‘playboy’ itu menjadi Presiden, beliau meneruskan lakonannya dengan kononnya baik, tetapi membelasah cukup-cukup wang rakyat.
Akhirnya beliau disumbat ke penjara oleh penggantinya Gloria Macapagal Aroyo.
Aroyo menggantikan Erap, panggilan manja Joseph bukan sahaja atas nama Presiden, tetapi juga perangainya sekali.
Aroyo pula dihadapkan dengan pertuduhan salahguna kuasa selepas anak kepada Aquino, Noynoy Aquino naik menjadi ketua negara.
Noynoy yang bujang itu tidak juga dapat memenuhi hasrat rakyat bagi mendirikan kerajaan yang baik.
Usaha Noynoy digagalkan oleh orang sekelilingnya.
Dia tidak berdaya, ditambah dengan penyakit yang beliau hidapi kerana tabiat kuat merokoknya.
Muncul pula Duterte, seorang budak nakal dizaman sekolahnya, bekas seorang peguam dan juga Datuk Bandar Davao, menjanjikan akan memerangi dadah habis-habisan jika dia dipilih.
Dan dia menang kerana janji itu, serta rekod beliau sebagai Datuk Bandar amat cemerlang, diketahui rakyat Filipina.
Beliau berjaya menurunkan statistik jenayah dengan begitu cepat.
Pengedar dadah, beliau perangi dengan bersungguh-sungguh sehingga pertubuhan hak asasi manusia mahu mengheretnya ke muka pengadilan.
Tetapi rakyat Filipina gembira.
Jenayah berkurangan.
Dan Duterte pula adalah penyokong kuat Marcos.
Mayat Marcos diberi kebenaran ditanam di Makam Pahlawan pada zamannya.
Beliau kemudiannya berpakat dengan Bongbong Marcos untuk Marcos menjadi Presiden dan anak perempuan Duterte menjadi Naib Presiden.
Gabungan yang memberikan ‘land slide victory’ kepada mereka.
Rakyat percaya kepada Duterte yang walau sudah tidak boleh menjadi presiden, tetapi beliau akan menjadi penasihat kepada keduanya nanti.
Sentuhan yang masih dirindui rakyat.
Seorang rakan saya dari Filipina berkata, mendiang Marcos tidak menjadi popular kerana kekuatannya memerintah, tetapi mendiang dipopularkan oleh lawannya yang ternyata gagal mengatasi cara pentadbiran Marcos yang mereka dakwa korup, diktaktor dahulu.
Jadi musuh Marcos telah memberikan bandingan yang sangat jelas kepada rakyat bahawa Marcos lebih baik daripada mereka dari banyak segi pemerintahan kerana dizaman Marcos, mata wang Peso tinggi, jenayah kurang, ekonomi baik, yang rakyat Filipina tidak diperolehi dari mana-mana Presiden selepas Marcos.
Di Malaysia, ia agak berlainan kerana Filipina hanya mempunyai dua pilihan Marcos serta lawannya.
Kedua-duanya sudah mempamerkan kemahiran masing-masing.
Tetapi di Malaysia ada tiga pihak iaitu Umno-BN, PH dan juga PN yang mana tulang belakang PN adalah PAS.
Rakan saya amat terkejut apabila saya memberitahu bahawa ada sebuah negeri yang diperintah PAS, tidak pernah ada kes rasuah selama lebih 30 tahun.
Dia seperti tidak percaya dan amat mengharapkan mereka juga mendapat nikmat itu.
Tiada masalah sebenarnya jika BN ataupun PH kembali memerintah, asalkan mengikut acuan Islam.
BN dan PH sudah membuktikan kegagalan mereka memerintah.
BN boleh mengeluarkan diri daripada cengkaman dosa lampau jika tidak melayan suara-suara yang mahukan perpecahan dengan gabungan parti Melayu Islam lain.
Kemunculan semula BN ini, mesti dengan keinsafan dan mengikut kehendak agama yang amat jauh mereka tinggalkan dahulu.
Rakyat Filipina, dari keturunan Islam yang menjadi mangsa murtad Kristian itu, memandang tinggi Malaysia kerana Mahathir, tetapi dari sudut material sahaja.
Mereka tiada asas agama untuk dibuat perbandingan dengan sebahagian besar mereka tidak mempercayai yang agama adalah pemandu manusia kerana mereka tiada sejarah.
Sekularisme mereka amat tebal.
Tetapi PAS berjaya menunjukkan kepada dunia bahawa dengan agama, mereka berjaya mentadbir kerajaan kerana berusaha mencontohi Rasulullah, walau dengan kepayahan.
Dan sungguh menyedihkan jika rakyat Malaysia yang ada pegangan agamanya, gagal mengambil faedah daripada kejayaan PAS memerintah mengikut agama ini, kerana ia berlaku di hadapan mata mereka dan mereka benar-benar memahami yang PAS berjaya kerana bantuan Allah kerana mengamalkan kehendak agama dalam mentadbir.
Mohd Nasir Abdullah