Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah akan berfirman pada hari kiamat:
‘Wahai anak Adam, Aku sakit namun engkau tidak menziarahi-Ku.’
Manusia berkata: ‘Wahai Tuhan, bagaimana aku menziarahi-Mu padahal Engkau adalah tuhan semesta alam?’
Allah berfirman:
‘Tidakkah engkau mengetahui bahawa seorang hamba-Ku si polan sakit namun engkau tidak menziarahinya? Tidakkah engkau ketahui bahawa sekiranya engkau menziarahinya,nescaya engkau akan mendapati-Ku di sisinya?’
‘Wahai anak Adam, Aku meminta makan daripadamu namun engkau tidak memberi-Ku makan.’
Manusia berkata:
‘Bagaimana aku memberi-Mu makanan padahal Engkau adalah tuhan semesta alam?’
Allah berfirman:
‘Tidakkah engkau mengetahui bahawa seorang hamba-Ku si polan meminta makanan kepadamu namun engkau tidak memberinya makan?’
‘Tidakkah engkau ketahui bahawa sekiranya engkau memberinya makanan, nescaya engkau akan mendapati balasannya di sisi-Ku?’
‘Wahai anak Adam, Aku meminta minum kepadamu namun engkau tidak memberi-Ku minum.’
Manusia berkata:
‘Bagaimana aku memberi-Mu minum padahal Engkau adalah tuhan semesta alam?’
Allah berfirman:
‘Tidakkah engkau mengetahui bahawa seorang hamba-Ku si polan meminta minum kepadamu namun engkau tidak memberinya?’
‘Tidakkah engkau ketahui bahawa sekiranya engkau memberinya minum, nescaya engkau akan mendapat balasannya di sisi-Ku?'”
(Hadis Riwayat Muslim)¹
Ketika mensyarahkan hadis Qudsi ini², Dr Umar Muhammad Noor Hafizahullah berkongsi satu kisah yang diceritakan oleh Syeikh Ramadhan Al-Buti mengenai seorang tokoh iaitu Badiuzzaman Said Al-Nursi Rahimahullah Ta’ala.
Diawalnya Badiuzzaman bukanlah orang yang cerdik pandai, hanya pelajar biasa-biasa sahaja.
Namun segalanya berubah setelah satu peristiwa.
Suatu hari di madrasah tempat beliau belajar, datang seorang lelaki yang lagaknya seorang pengemis.
Berpakaian lusuh dan berbau busuk.
Pengemis tersebut datang untuk meminta makanan bagi mengisi perutnya yang kelaparan.
Pengemis tersebut meminta pada pelajar-pelajar yang dijumpainya, semuanya menjauh kerana berasa jijik dan geli dengan penampilan pengemis tersebut.
Apabila Badiuzzaman Said Nursi melihat pengemis tersebut, beliau lantas mengambil bekal makanan yang disiapkan oleh ibunya dan turun serta berikan makanan kepada pengemis tersebut.
Beliau makan bersama, melayani dan bersembang mesra dengan pengemis tersebut sepertimana orang biasa.
Tiada sekelumit pandangan jijik ataupun hina dizahirkan pada pengemis tersebut.
Setelah peristiwa itu, Allah mengangkat darjat beliau sehingga menjadi Ulama’ dan reformis dunia Islam di Turki.
Terkenal dengan karyanya Risalah Al-Nur yang menjadi pencerahan buat ummat yang dilanda dengan keserabutan sekularisme yang dipelopori oleh Mustafa Kamal Atarturk pada ketika itu.
Tambah Dr Umar, “Agama kita bukan sekadar solat tetapi juga sejauh mana kepekaan kita terhadap kesusahan orang lain.
“Kepekaan dan kepedulian terhadap orang lain adalah sebahagian daripada agama.
“Bila lihat orang lain susah tetapi kita buat tak peduli maksudnya belum tinggi darjat kita disisi Allah Ta’ala.
“Bila tengok kesusahan orang lain, lihatlah ianya sebagai peluang Allah untuk tinggi dan angkat darjat kita sebagaimana Allah mengangkat darjat Syeikh Badiuzzaman Said Al-Nursi.”
Buatlah kebaikan sebanyaknya dan pada sesiapa pun.
Ikhlaskanlah hatimu dalam setiap kebaikan yang dibuat walau sekecil apa pun ia.
Jadilah seperti air hujan yang tidak peduli pada siapa ia jatuh.
Bersegeralah dalam kebaikan kerana kita tidak tahu bilakah nyawa ini akan terpadam.
Moga berkat berbuat baik Allah memudahkan segala urusan kita baik dunia mahupun akhirat.
Wallahua’lam.
——-
¹ Sahih. Muslim dalam Kitab al-Bir wa al-Silah
² Dr Umar mensyarahkan hadis ini di dalam Daurah 40 Hadis Qudsi karangan Syeikh Mulla ‘Ali al-Qari iaitu al-Ahadith al-Qudsiyyah al-Arba’iniyyah.
Oleh: Mohamad Afiq Faiz