Surat Terbuka Kepada Sahabat-Sahabatku Ahli Umno Yang Dikasihi

Surat Terbuka Kepada Sahabat-Sahabatku Ahli Umno Yang Dikasihi

Demikian tajuk tulisan kali ini.

Penulis amat percaya bahawa di dalam UMNO masih ramai pemimpin dan ahli yang berfikiran waras serta berkemampuan menilai baik dan buruk sesuatu perkara.

Kalian mampu membezakan antara manfaat dan musibah.

Kalian masih mampu membezakan antara dosa dan pahala.

Dan kalian mampu melihat dengan mata hati mana yang benar dan mana yang salah.

Kepada kalianlah tulisan ini ditujukan.

Penulis tidak berniat untuk menyelongkar rumah tangga UMNO.

Surat terbuka ini hanya bermotif untuk berkongsi pandangan dan pesan-berpesan seperti yang dianjurkan dalam surah al-Asr.

Kita semua tidak lupa akan firman Allah dalam surah Ali ‘Imran yang mengingatkan kita agar berpegang kukuh pada tali Allah; jangan kita bercerai-berai.

Pada suatu ketika selepas lebih 60 tahun, kita mampu menghirup udara segar persahabatan dan kemesraan rumpun bangsa.

Malangnya, atmosferanya berubah atas faktor geopolitik semasa yang kita semua sedia maklumi.

Islam yang kita anuti menyeru kita agar bersatu terutama dalam urusan politik.

Tertegaknya negara Islam Madinah apabila Aus dan Khazraj bersatu.

Di negara kita, hanya dengan bersatunya bangsa Melayu beragama Islam ini dapat menguatkan agama dan bangsa itu sendiri.

Ini hakikat yang tidak patut diremehkan.

Tujuan berpolitik yang diajar oleh Islam adalah demi melahirkan negara, kepimpinan dan rakyat yang bersatu hati, harmoni dan beriman dalam menegakkan Islam dan sistem bernegara.

Mana mungkin Islam menjadi kuat dan berdaulat sekiranya kita sentiasa bercakaran dan bersimpangan arah tujuan.

Yang untungnya ialah DAP yang solid dengan undi para kafirun.

Islam memandu kita dalam mengangkat kepimpinan yang beriman dan bertaqwa.

Pilihlah pemimpin yang menjaga solat 5 waktu, jujur, bersih dan baik akhlaknya.

Dari kalangan merekalah wujud manusia yang takut kepada Allah, takut menyeleweng harta rakyat dan negara serta takut dipertanggungjawabkan di Padang Mahsyar nanti.

Jangan sesekali kita terbalik kuang dengan mempertahankan dan mengangkat pemimpin yang terpalit dengan rasuah dan kleptokrasi.

Apalagi sekiranya pemimpin itu memperlihatkan kemewahan luar biasa dan diadili di mahkamah dengan puluhan pautan dosa.

Apakah para pemimpin begini harus diikuti dan diberi kepercayaan sedangkan masih ramai dalam kalangan pemimpin UMNO yang bersih, jujur dan mementingkan perpaduan.

Kenapa mereka yang seperti ini tidak dijulang ke atas?

Marilah kita amalkan ajaran al-Quran yang menggariskan sifat orang beriman.

Orang beriman saling berkasih sayang dan lemah lembut sesama muslim manakala dengan golongan kafir mereka bersikap keras dan berwaspada.

Kenapakah dengan sedikit pandangan yang berbeza sesama muslim, kita mudah bertelingkah dan mencari alasan untuk berpecah-belah.

Sedangkan dengan golongan kafir seperti MCA dan MIC kita boleh pula mengalah dan bertoleransi demi sokongan undi yang tidak seberapa setelah terbukti 90% daripada mereka kejap bersama DAP.

Bukankah sikap ini amat menyimpang daripada panduan kitab suci kita?

Marilah kita gerakkan semula kesatuan ummah, kemesraan dan perpaduan dari peringkat kampung dan akar umbi ini.

Jangan biarkan seorang dua pemimpin di atas sana yang bermasalah lantaran kerakusan diri sendiri mengheret ummah ke arah perpecahan undi yang merugikan agama dan bangsa.

Kemenangan 2/3 kerusi Parlimen terbentang luas kepada gabungan parti-parti yang didominasi oleh parti teras Melayu, UMNO, PAS dan BERSATU.

Kemenangan 2/3 di Parlimen ini membuka ruang untuk pertambahan kerusi-kerusi Parlimen dan DUN di kawasan majoriti Melayu pada masa akan datang.

RUU355 dan segala elemen Islam yang termaktub di dalam perlembagaan Negara dapat dilaksanakan dengan mudah.

Konklusinya, apabila UMNO, PAS dan BERSATU bercerai-berai, DAP-lah yang mendapat untung besarnya.

Bukan kita tiada perbezaan dari pelbagai sudut.

Namun kenapa kita tidak memanfaatkan persamaan yang banyak dalam kalangan bangsa seagama dan serumpun ini?

Rugilah agama dan bangsa kita sekiranya kita melalui PRU15 dalam keadaan berpecah-belah.

Tongkang pecah, yu yang kenyang.

Bijak sungguh datuk nenek kita berpesan dalam manis bahasa.

Sayangnya, kita tidak mahu berfikir sebaliknya bersemberono dalam berhujah dan membuat penilaian.

Madu di depan kita.

Tetapi cawan yang berisi racun pula kita capai dan diteguk isinya. Kenapa?

BayangDiAir,

Kolumnis