Apa Sudah Jadi Dengan Kedah!?

Apa Sudah Jadi Dengan Kedah!?

Kita semua sedia maklum pandemik COVID-19 telah melanda dunia pada 2020 yang lalu.

Kesannya sangat dahsyat.

Sektor kesihatan dan ekonomi mengalami kelumpuhan yang amat dahsyat.

Ramai kehilangan pekerjaan dan akhirnya menganggur.

Sektor pendidikan tergendala dan paling dahsyat, kesihatan masyarakat awam global terancam.

COVID-19 mengorbankan jutaan nyawa manusia.

Masuk penghujung tahun 2021 dan awal 2022 ini barulah nampak sinar di hujung terowong.

Masa inilah kesemua Kerajaan di seluruh dunia merencana perancangan untuk bangkit semula selepas survival pandemik yang memenatkan.

Kedah juga tidak terkecuali.

Menggali secebis sisa untuk bangkit.

Fasa menstrukturkan semula ekonomi bagaimanapun tidaklah mudah.

Banyak perkara perlu ditentukan keutamaannya dalam suasana sumber negeri sangatlah terhad.

Tetapi apa yang dilakukan kepimpinan YAB Dato’ Seri Hj Sanusi sebagai Menteri Besar ketika ini boleh dianggap sesuatu yang luar biasa, sama ada seseorang itu suka atau tidak kepada beliau secara peribadi.

Tahun lalu Kedah mencatatkan pelaburan RM68.3 bilion.

Lebih 90 peratus daripadanya adalah sektor perkilangan dan majoriti besar pelabur daripada pelaburan langsung asing – foreign direct investment (FDI).

Adakah ia sekadar angan-angan beliau?

Sudah tentu tidak kerana kesemua nilai tersebut telah ditermeterai di atas kertas.

Bukan Sanusi ‘syok sendiri’ seperti yang ditohmah ramai pembangkang beliau di laman mukabuku.

Beberapa hari yang lalu, sekali lagi prospek ‘luar biasa’ negeri Kedah dinyatakan oleh Sanusi ketika Majlis Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah dan Bintang Kebesaran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Negeri Kedah ke-80.

Beliau menjelaskan Kedah telah memeterai pelaburan sehingga RM20 bilion bagi suku kedua 2022.

Suku pertama tahun ini pula Kedah sekali lagi mencatatkan pelaburan tertinggi di seluruh negara dengan lebih RM8 bilion.

Saya pasti angka tersebut tidak menipu.

Hakikat tersebut sukar untuk ditepis.

Hatta lawan politik beliau mungkin tiada hujah untuk menafikannya, melainkan sememangnya kebencian politik mereka terlalu menebal.

Bagaimana Kedah – sebuah negeri pertanian yang mencatatkan pelaburan tidak sampai RM10 bilion ketika era sebelum pandemik, tetapi tahun kedua pandemik mencatatkan pelaburan lebih RM68 bilion.

Baru masuk suku kedua tahun ini pula sudah mencecah RM20 bilion?

Tidakkah kita rasa janggal bercampur bangga dengan pencapaian tersebut?

Itu saya katakan ia sesuatu yang luar biasa kerana pencapaian Sanusi ketika ini jauh dari apa yang kita jangkakan.

Jarang sekali orang membahaskan status pelaburan di Kedah sejak dekad kebelakangan ini, malah lebih ‘mesra’ dengan jolokan ‘negeri miskin.’

Tetapi dua tahun ini berubah segalanya.

KSN turut memuji Kedah yang layak diangkat sebagai contoh, walaupun Kedah bukanlah negeri industri yang menerima rekod pelaburan yang tinggi sebelum daripada ini.

Datang Sanusi juga membetulkan jolokan ‘negeri miskin’.

Ya, Kedah negeri orang miskin berteduh tetapi digabungjalin dengan tempat orang kaya datang berbakti.

Saya merasainya sekarang.

Pelaburan luar biasa adalah tanda bakti orang kaya, tanda kasih kepada orang miskin.

Semoga Kerajaan pimpinan beliau terus cemerlang memimpin negeri ini.

Hamzah Asad

Kedah